Penularan COVID-19 di New Zealand meluas; sekatan pergerakan mungkin dilanjutkan
Penularan COVID-19 di New Zealand menjangkaui bandar terbesarnya, Auckland, hari ini (20 Ogos) sedang jangkitan baru dikesan di ibu kota Wellington dan bilangan kes melonjak kepada 31.

Lambton Quay di Wellington kekosongan selepas sekatan pergerakan dikuatkuasakan di New Zealand. (Gambar: REUTERS)
WELLINGTON: Penularan COVID-19 di New Zealand menjangkaui bandar terbesarnya, Auckland, hari ini (20 Ogos) sedang jangkitan baru dikesan di ibu kota Wellington dan bilangan kes melonjak kepada 31.
Dapatan itu bermakna Perdana Menteri Jacinda Ardern berkemungkinan besar akan melanjutkan sekatan pergerakan yang diumumkan minggu ini untuk cuba membendung penularan varian Delta COVID-19 yang amat mudah dijangkiti.
Pihak berkuasa kesihatan negara itu menyatakan terdapat 11 kes baru dilaporkan hari ini, dengan tiga daripadanya dikesan di Wellington.
Ketiga-tiga kes di Wellington baru-baru ini melakukan lawatan ke Auckland dan mengunjungi lokasi-lokasi yang dikenal pasti sebagai terdedah kepada penularan, menurut kementerian kesihatan dalam satu kenyataan.
Warga New Zealand sebelum ini bebas daripada virus tersebut dan tidak dikenakan sebarang sekatan sepanjang hampir enam bulan sebelum PM Adern mengarahkan sekatan pergerakan tiga hari ke atas seluruh negara pada Selasa (17 Ogos) menyusuli satu kes yang dikesan di Auckland, kes pertama di negara itu sejak Februari.
Beliau dijangka membuat satu pengumuman pada pukul 3.00 petang ini (waktu tempatan) tentang sama ada sekatan pergerakan akan ditamatkan atau dilanjutkan lagi.
PM Adern dipuji atas usahanya membendung penularan jangkitan tempatan COVID-19 sebelum ini menerusi strategi penyisihan dengan melaksanakan sekatan pergerakan dan menutup sempadan antarabangsa New Zealand pada Mac 2020.
Bagaimanapun, pemerintahannya kini berdepan soalan-soalan tentang program vaksinasi yang tertangguh selain kos yang semakin meningkat di negara yang amat bergantung kepada tenaga kerja hijrahan.
Hanya sekitar 19 peratus daripada 5.1 juta penduduk New Zealand sudah lengkap divaksinasi sejauh ini, iaitu kadar paling rendah dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.