Penipu samar diri sebagai pegawai MOH, pasukan pengesanan kontak COVID-19
Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bahawa pihaknya sudah dimaklumkan mengenai penipu yang menggunakan panggilan telefon automatik atau menyamar diri sebagai anggota pasukan pengesanan kontak COVID-19.
(Gambar fail: AFP)
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bahawa pihaknya sudah dimaklumkan mengenai penipu yang menggunakan panggilan telefon automatik atau menyamar diri sebagai anggota pasukan pengesanan kontak COVID-19.
Para penipu meminta maklumat peribadi daripada orang ramai, termasuk butiran kewangan atau meminta mereka mengambil dokumen-dokumen daripada MOH, menurut kementerian tersebut dalam makluman yang dikeluarkan pada Jumaat (27 Mac).
Menurut laman Scam Alert, beberapa orang sudah melaporkan pengalaman serupa.
Salah seorang daripada mereka berkata pada Jumaat bahawa dia menerima panggilan telefon daripada MOH dalam bahasa Inggeris dan Mandarin yang bertanya mengenai "hal penting" yang masih tertunggak dan "manfaat perubatan yang akan dihentikan dalam tempoh dua minggu". Mereka diminta menekan butang "9" di telefon mereka bagi bantuan lanjut.
"MOH TIDAK AKAN MINTA BUTIRAN KEWANGAN SEMASA PENGESANAN KONTAK"
Dalam penjelasannya, MOH menegaskan: "MOH tidak akan menanyakan butiran kewangan semasa pengesanan kontak; dan MOH juga tidak akan meminta anda mengambil dokumen daripada pihak kami, sekiranya anda tidak mempunyai sebarang urusan dengan kami."
"Apabila berasa sangsi, sila periksa kesahihan panggilan telefon sedemikian dengan menghubungi MOH di talian 1800-333-9999.”
Selain itu, terdapat juga khabar angin yang mendakwa bahawa Singapura menguatkuasakan perintah berkurung pada hujung minggu lalu dan penyebaran berita palsu itu dikecam oleh Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.