Penghuni Rumah Peralihan Jamiyah Darul Islah ceriakan sambutan Raya warga tua kurang upaya
Para penghuni Rumah Peralihan Jamiyah Darul Islah membawa keceriaan kepada seorang penerima bantuan kurang upaya dengan menghiasi rumahnya sempena Aidilfitri yang bakal menjelang.
SINGAPURA: Para penghuni Rumah Peralihan Jamiyah Darul Islah membawa keceriaan kepada seorang penerima bantuan kurang upaya dengan menghiasi rumahnya sempena Aidilfitri yang bakal menjelang.
Usaha menyingsing lengan itu sebagai sebahagian daripada 'Project Happiness' yang bermatlamat untuk membantu rakyat Singapura memerlukan, menjelang musim perayaan.
Kehadiran para penghuni Rumah Peralihan Jamiyah Darul Islah untuk membersihkan, mengecat dan memasang peralatan baru ibarat sinar keceriaan bagi Encik Marzuki Repu.
Kedua-dua kaki Encik Marzuki terpaksa dikudungkan dan kini hanya mampu bergerak dengan bantuan kerusi roda.
Kini Encik Marzuki yang tinggal sendirian bukan sahaja dapat menikmati keadaan rumah yang lebih terurus, malah dapat meraikan Syawal dengan lebih ceria.
Encik Marzuki berkata: "Alhamdulillah, banyak yang memberikan bantuan. Selesa sikit saya duduk, lagipun begitu kemas dan teratur, tidak semacam yang mula-mula dulu."
Seorang penghuni Darul Islah, Ahmad (bukan nama sebenar), berbesar hati diberi peluang untuk menceriakan suasana perayaan bagi golongan mereka yang kurang upaya.
"Syukur Alhamdulillah kami dapat membantu Encik Marzuki untuk memberi perubahan kepada rumahnya dan saya tengok Encik Marzuki pun bahagia dengan perubahan dia," kata Encik Ahmad.
Usaha murni itu juga merupakan projek pertama di bawah Project Happiness yang baru-baru ini dilancarkan Darul Islah.
Ketua Rumah Peralihan Jamiyah, Mohamad Faizal Abas berkata: "Ada dua objektif untuk kita kecapi, pertama, untuk memberi peluang kepada penghuni Jamiyah Halfway House untuk mereka melakukan projek amal."
"Yang kedua, untuk memberi penerima bantuan peluang untuk merasakan suasana rumah yang lebih ceria untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan datang."
Yang pasti, hasil rumah Encik Marzuki selepas dihias dan dibersihkan membawa senyuman kepada kedua-dua penghuni dan tuan rumahnya bagi menyambut Lebaran nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.