Skip to main content

Iklan

Iklan

Penghuni dormitori antara 2 kes jangkitan baru COVID-19

Singapura melaporkan dua jangkitan tempatan baru COVID-19 setakat tengah hari Selasa (6 Jul). Kedua-duanya tidak menunjukkan hubung kait dengan kes-kes lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Penghuni dormitori antara 2 kes jangkitan baru COVID-19

Kakitangan perubatan membawa seorang pekerja hijrahan ke sebuah khemah di sebuah dormitori di Singapura pada 29 Apr 2020. (Gambar: Edgar Su/REUTERS)

Diterbitkan : 06 Jul 2021 11:40PM Dikemas Kini : 06 Jul 2021 11:43PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan dua jangkitan tempatan baru COVID-19 setakat tengah hari Selasa (6 Jul). Kedua-duanya tidak menunjukkan hubung kait dengan kes-kes lalu.

Salah satu kes itu menetap di dormitori, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Ini adalah kes COVID-19 yang pertama melibatkan dormitori sejak 14 Jun.

MOH tidak memberikan butiran lanjut tentang lokasi dormitori berkenaan dalam kemas kininya pada Selasa malam.

Terdapat juga lapan kes import dan kesemuanya sudah diletakkan di bawah Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan setibanya di sini.

Tujuh daripada kes import itu dikesan sebaik sahaja mereka tiba di Singapura manakala lagi seorang mengalami penyakit itu ketika menjalani SHN atau pengasingan.

Secara keseluruhannya, 10 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Selasa.

2 LAGI KELOMPOK BEBAS COVID-19

MOH juga mengumumkan dua kelompok COVID-19 ditutup kerana tiada lagi kes berhubung kait dengannya sepanjang dua tempoh inkubasi lalu.

Ia adalah kelompok Atatcutz Singapore dan kelompok terkait dengan Kes 63964, seorang wanita Singapura berusia 61 tahun yang bekerja di pasar raya NTUC FairPrice di Clementi Avenue 3.

Kes terawal dalam kelompok Atatcutz Singapore melibatkan seorang lelaki Malaysia berumur 26 tahun yang bekerja sebagai pekerja penghantaran bagi Pizza Hut di Hougang Green.

Kontak rapatnya, seorang warga Malaysia berusia 24 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting rambut di Atatcutz Singapore, kemudian diuji positif COVID-19.

Seorang pegawai teknikal di Singapore Power yang bekerja sebagai tukang gunting rambut sambilan di kedai berkenaan serta seorang pengurus di Prudential Services Singapore adalah dalam kalangan jangkitan lain dalam kelompok itu. Kelompok tersebut bertambah kepada lapan kes secara keseluruhannya.

Kelompok berhubung kait dengan pekerja di pasar raya NTUC FairPrice, Kes 63964, mempunyai enam jangkitan.

Dalam kalangan mereka adalah mahasiswa Singapura berusia 23 tahun di Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS), seorang pembantu rumah Indonesia berumur 30 tahun dan seorang rakyat Singapura berusia 51 tahun yang bekerja sebagai pemandu kereta sewa privet.

22 KELOMPOK AKTIF DI S'PURA

Kini terdapat 22 kelompok aktif di Singapura, yang mempunyai antara tiga hingga 93 jangkitan. Kelompok di 115 Pasar dan Pusat Makanan Bukit Merah View kekal sebagai kelompok aktif terbesar di negara ini.

MOH menyatakan bilangan kes baru dalam masyarakat merosot kepada 24 kes pada minggu lalu daripada 76 kes pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat juga turun kepada lima kes pada minggu lalu berbanding 11 kes pada minggu sebelumnya.

(Gambar: MOH)

MOH menyatakan 99 pesakit sedang dirawat di hospital dengan kebanyakannya dalam keadaan baik dan di bawah pemerhatian.

Buat masa ini, ada lapan kes yang memerlukan bantuan oksigen tambahan manakala lagi tiga dalam keadaan tenat di unit jagaan rapi (ICU).

"Terdapat bukti berterusan bahawa vaksinasi membantu untuk mencegah penyakit serius apabila seseorang dijangkiti. Sepanjang 28 hari lalu, 23 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen tambahan, dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia.

"20 daripada mereka tidak divaksinasi, tiga sudah menerima satu suntikan dos dan tiada satu pun yang divaksinasi sepenuhnya," menurut MOH.

Setakat Selasa, Singapura mencatatkan 62,640 kes COVID-19 keseluruhannya dan 36 kematian akibat koronavirus itu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan