Skip to main content

Iklan

Iklan

Pengendali dormitori dibenar adakan solat tarawih di dormitori pekerja migran semasa Ramadan

 Para pengendali dormitori dibenarkan untuk mengadakan solat berjemaah di dormitori pekerja asing semasa bulan Ramadan dari 13 April hingga 12 Mei. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pengendali dormitori dibenarkan untuk mengadakan solat berjemaah di dormitori pekerja migran semasa bulan Ramadan dari 13 April hingga 12 Mei.

Keputusan tersebut dibuat oleh Kumpulan Jaminan, Penjagaan dan Pendampingan (ACE) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), menurut kenyataan media oleh Kementerian Tenaga Manusia pada Jumaat (9 Apr).

Solat berjemaah akan diadakan bagi solat tarawih semasa bulan Ramadan dan solat Hari Raya Aidilifitri.

Para pengendali dormitori boleh mendaftar menerusi ACE Group untuk mengadakan solat-solat berjemaah tersebut.

Sesi solat berjemaah boleh diadakan di kawasan yang sesuai di dalam dormitori, seperti di ruang serbaguna atau dewan tertentu dengan langkah-langkah jarak selamat dilaksanakan.

"Kami akan membenarkan dormitori mengadakan dua sesi solat berjemaah. Bergantung kepada saiz dan tempat-tempat dalam dormitori yang boleh digunakan, sehingga 200 penghuni boleh menghadiri sesi solat jemaah bagi setiap dormitori," menurut kenyataan media itu lagi.

Dormitori-dormitori yang sudah menyuarakan hasrat untuk mengadakan sesi solat berjemaah boleh melantik seorang imam yang diluluskan oleh MUIS dalam kalangan penghuni dormitori masing-masing.

Bagi para penghuni dormitori yang tidak dapat mengerjakan solat berjemaah, mereka boleh bersolat dalam bilik masing-masing. Mereka juga boleh mengakses program masjid online yang diterjemahkan ke bahasa Benggali melalui saluran Youtube MUIS, SalamSG TV.

Selain itu, Panduan Ramadan MUIS 2021 juga sudah diterjemahkan ke bahasa Benggali dan diagihkan kepada para pekerja migran Muslim di dormitori-dormitori serta yang tinggal di aturan perumahan yang lain.

REJIM VAKSINASI SEMASA RAMADAN

Suntikan vaksin tidak membatalkan ibadah puasa dan para pekerja migran digalakkan supaya mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 apabila mereka diberikan peluang untuk berbuat demikian.

Semasa Ramadan kelak, aturan sudah dibuat bagi melanjutkan tempoh vaksinasi sehingga pukul 10.00 malam bagi menampung para pekerja Muslim yang perlu berbuka puasa sebelum mendapatkan suntikan vaksin itu.

MOM akan terus bekerjasama dengan para pengendali dormitori dan majikan untuk memenuhi keperluan para pekerja migran Muslim yang berpuasa semasa bulan Ramadan. Ini sambil memastikan langkah-langkah wajib terus dipatuhi bagi menangani risiko COVID-19. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan