Penawar Ebola diguna untuk rawat pesakit COVID-19 di S'pura; sebahagian daripada ujian klinikal
Para doktor di Singapura sedang menggunakan remdesivir - ubat yang pada awalnya dihasilkan untuk menangani wabak Ebola - untuk merawat pesakit COVID-19 di sini sebagai sebahagian daripada ujian klinikal.
Ubat antivirus remdesivir. (Gambar: Ubat antivirus remdesivir)
SINGAPURA: Para doktor di Singapura sedang menggunakan remdesivir - ubat yang pada awalnya dihasilkan untuk menangani wabak Ebola - untuk merawat pesakit COVID-19 di sini sebagai sebahagian daripada ujian klinikal.
Dr Shawn Vasoo, pengarah klinikal di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), memberitahu Mediacorp bahawa "tiada terapi terbukti mujarab" bagi virus korona, dan remdesivir adalah antara ubat yang sedang diuji di sini sebagai salah satu rawatan bagi pesakit COVID-19.
Remdesivir disifatkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai antara terapi yang paling berpotensi melawan COVID-19, yang juga termasuk ubat-ubatan bagi HIV dan ubat antimalaria 'chloroquine' dan 'hydroxychloroquine'.
Penggunaan Remdesivir bagi tujuan darurat diluluskan oleh Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) pada Jumaat lalu (1 Mei) bagi kes-kes COVID-19 yang teruk. Jepun menyatakan bahawa ia akan "mempercepatkan" semakan bagi ubat itu agar penggunaannya dapat diluluskan dalam tempoh "sekitar seminggu".
NCID adalah sebahagian daripada kumpulan kerja yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Mac yang akan mengkaji bagaimana ubat-ubatan dan terapi baru boleh digunakan untuk merawat penyakit itu.
Ini termasuk ubat antivirus, ubat antikeradangan dan terapi keimunan.
Kumpulan itu kemudian akan menjalankan penilaian kritikal bagi rawatan-rawatan yang disarankan dan memberikan penjelasan kepada sebarang pertanyaan mengenai rejimen rawatan atau kesan sampingan.
Para pesakit yang mendaftar untuk mengambil bahagian dalam ujian klinikal tersebut akan diberikan remdesivir atau plasebo jika mereka disenaraikan dalam sebuah kumpulan kawalan.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.