Skip to main content

Pemulihan di rumah: Penularan COVID-19 dalam kalangan keluarga bentuk 'kurang 10% daripada jumlah kes'

Sekalipun tidak mempunyai sebuah kamar yang terhubung dengan bilik air, para pesakit COVID-19 yang menjalani pemulihan di rumah boleh mengurangkan risiko menjangkiti anggota keluarga yang lain. Seorang doktor dan seorang pegawai Kementerian Kesihatan (MOH) memberikan jaminan tersebut. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pemulihan di rumah: Penularan COVID-19 dalam kalangan keluarga bentuk 'kurang 10% daripada jumlah kes'

Blok flat HDB di Singapura. (Gambar fail: Calvin Oh)

Diterbitkan : 16 Oct 2021 05:26PM Dikemas Kini : 16 Oct 2021 05:32PM

SINGAPURA: Sekalipun tidak mempunyai sebuah kamar yang terhubung dengan bilik air, para pesakit COVID-19 yang menjalani pemulihan di rumah boleh mengurangkan risiko menjangkiti anggota keluarga yang lain. Seorang doktor dan seorang pegawai Kementerian Kesihatan (MOH) memberikan jaminan tersebut.

Kebanyakan pesakit yang menjalani pemulihan di rumah tidak mempunyai bilik yang dilengkapi dengan sebuah tandas dan ini menyebabkan kebimbangan serta kemarahan para keluarga di Singapura kerana beribu-ribu kes baru COVID-19 didiagnosis setiap hari.

Sejak Ahad lalu (10 Okt), pemulihan di rumah adalah aturan pilihan bagi ramai individu positif COVID-19 kecuali bagi kumpulan-kumpulan seperti kanak-kanak berusia bawah satu tahun serta individu divaksin berusia 80 tahun dan ke atas.

Setakat 14 Oktober, 16,723 pesakit menjalani pemulihan di rumah, membentuk hampir 78 peratus daripada kes-kes COVID-19 dalam masyarakat.

Penularan di rumah membentuk "kurang 10 peratus" daripada jumlah kes jangkitan, dengan bakinya daripada persekitaran seperti tempat makan, kata Encik Dinesh Vasu Dash, Pengarah Kumpulan Strategi Krisis dan Operasi MOH.

Maka itu, penting untuk mengambil langkah berjaga-jaga, tambah beliau.

Anggota keluarga boleh berkongsi bilik air dengan seorang individu yang positif COVID-19 jika mereka membersihkan bilik air selepas menggunakannya, membenarkan pengaliran udara selama 30 minit dan menutup mangkuk tandas sebelum mengepamnya, kata Dr Rachel Teoh, pengasas bersama penyedia teleperubatan, MaNaDr.

“Kajian menunjukkan kebanyakan penularan berlaku sewaktu kegiatan tanpa pelitup. Ia bukannya apabila mereka bercakap dengan satu sama lain atau penggunaan tandas," katanya. "Selagi pesakit positif COVID-19 (terus) berada di dalam bilik apabila mereka makan, saya rasa tiada apa-apa."

Berdasarkan pengalamannya, hanya 25 peratus daripada pesakit yang menjalani pemulihan di rumah mempunyai bilik air di dalam bilik mereka.

Para pesakit COVID-19 yang menjalani pemulihan di rumah juga harus makan jauh daripada anggota keluarga.

Dr Teoh dan Encik Dinesh berkata demikian dalam rancangan 'Talking Point' yang disiarkan pada sebelah malam Khamis lalu (14 Okt). Dihoskan oleh Steven Chia, forum mengenai pemulihan di rumah itu juga menampilkan Encik Adrian Tan, pengasas bersama wadah bantuan masyarakat, SG Assist.

RISAU ANDAINYA RUMAH 'TIDAK SESUAI'

Ketiga-tiga tetamu rancangan itu menjawab soalan dan isu yang dibangkitkan oleh para penonton. Sesetengah anggota masyarakat bercakap tentang perlunya bermundar-mandir dari satu agensi ke satu agensi lain untuk mencari jawapan kepada pertanyaan mereka.

Sementara itu, sesetengah penonton pula ingin tahu mengapa pesakit COVID-19 yang tidak mempunyai kediaman yang sesuai tetap diletakkan di bawah pemulihan di rumah.

Meskipun Encik Dinesh dan Dr Teoh memberikan jaminan, Encik Tan dari SG Assist berkata soalan-soalan masih lagi berlegar dalam kalangan orang ramai. Beliau menarik perhatian sesetengah pesakit akan berasa ragu tentang cara bagaimana untuk membersihkan sebuah tandas dengan betul manakala yang lain mempunyai anggota keluarga lanjut usia yang tidak boleh membersihkan tandas selepas menggunakannya.

Walaupun sebahagian besar individu lengkap divaksin tidak akan sakit teruk sekalipun jika mereka dijangkiti COVID-19, kebanyakan orang tidak mahu menanggung rasa kesal merebakkan virus itu kepada anggota keluarga lain, kata Encik Tan.

SG Assist mempunyai sebuah aplikasi yang memadankan relawan dengan individu yang memerlukan bantuan serta mengendalikan sebuah pusat panggilan.

Bagi meraka yang tidak boleh mengasingkan diri sendiri di rumah atau yang mempunyai anggota keluarga mudah terdedah, terdapat kemudahan pengasingan masyarakat, kata Encik Dinesh.

Beliau berkata pilihan ini sesuai bagi pesakit COVID-19 seperti Encik Nico Sim, yang bertanya mengapa beliau diletakkan di bawah pemulihan di rumah walaupun keadaan "tidak sesuai". Encik Sim berkongsi flat satu bilik yang mempunyai sebuah bilik air bersama ibunya, berusia 64 tahun.

Pada masa hadapan, MOH juga akan menguruskan kes COVID-19 dengan meneliti entiti keluarga memandangkan protokol lebih mudah dilaksanakan sekarang, kata Encik Dinesh.

Sebaik sahaja seorang individu dijangkiti COVID-19 menyatakan siapa yang tinggal di rumahnya, "kami akan melihatnya sebagai sebuah unit keluarga yang menyeluruh - bukan lagi sama ada anda dikuarantin atau anda adalah pesakit positif COVID-19", terang Encik Dinesh.

Ini bermakna teleperubatan tidak hanya akan disediakan bagi pesakit COVID-19 tetapi juga buat anggota keluarga lain yang menunjukkan sebarang penyakit, jelasnya. Begitu juga bagi khidmat masyarakat.

Beliau memberi respons kepada seorang ibu muda, Tng Pei Wei, yang bertanya mengapa keluarganya seramai enam orang - semuanya dijangkiti COVID-19 - diuruskan sebagai enam kes berbeza dan bukannya sebagai satu kumpulan dengan satu alamat yang sama.

Cik Tng berkata beliau menerima sekitar lima panggilan bagi setiap anggota keluarga, atau 30 secara keseluruhannya.

"Ia menimbulkan banyak tekanan dan kegelisahan di samping menjaga anak-anak kecil yang sakit serta diri saya sendiri yang dijangkiti COVID-19. Kami tidak ada masa untuk berehat disebabkan oleh tugasan yang bertindih," ujarnya. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita