Skip to main content

Pemerintah merata Eropah perhebat usaha bendung gelombang kedua COVID-19

Pemerintah-pemerintah di merata Eropah sedang memperhebatkan usaha mengekang gelombang kedua pandemik COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah merata Eropah perhebat usaha bendung gelombang kedua COVID-19

Bandar Paris, Perancis. (Gambar: Ludovic Marin/AFP)

Diterbitkan : 15 Oct 2020 07:17PM Dikemas Kini : 15 Oct 2020 07:21PM

PARIS: Pemerintah-pemerintah di merata Eropah sedang memperhebatkan usaha mengekang gelombang kedua pandemik COVID-19.

Secara purata, Kesatuan Eropah (EU) dan Britain sudahpun mencatatkan 78,000 kes setiap hari dalam tempoh tujuh hari yang berakhir pada Isnin lalu iaitu hampir 30,000 kes lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat sepanjang tempoh yang sama.

Amerika Syarikat bagaimanapun mencatatkan purata dua kematian setiap hari bagi setiap juta penduduk - seganda lebih tinggi berbanding Eropah.

Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan perintah berkurung pada sebelah malam di sembilan wilayah, termasuk Paris.

Sekatan itu akan berkuat kuasa Sabtu ini hingga 1 Disember.

Seramai 18 juta penduduk atau hampir sepertiga daripada keseluruhan penduduk di negara itu akan terjejas akibat langkah terbaru itu.

Sejauh ini, Perancis mengesahkan 798,000 kes COVID-19 dengan hampir 33,000 kematian akibat jangkitannya.


Sementara itu, Perdana Menteri Britain Boris Johnson semakin tertekan untuk memperkenalkan sekatan pergerakan selama dua minggu, yang dipanggil tempoh pemutus rantaian jangkitan atau "circuit breaker".

Encik Johnson berkata sekatan pergerakan secara meluas adalah satu "bencana" tetapi beliau tidak menolak kemungkinan ia dilaksanakan.

Minggu ini, Britain memperkenalkan sistem sekatan pergerakan yang baru pada peringkat daerah dan wilayah.

Liverpool menjadi bandar yang pertama dikenakan sekatan paling ketat, dengan semua gimnasium, bar dan kedai judi ditutup.

London pula diletakkan di bawah peringkat sederhana.

Di Itali pula, yang merupakan pusat penularan terbesar pertama di Eropah, pihak berkuasanya telah mencatatkan lebih 7,330 kes baru COVID-19 semalam.

Jumlah itu merupakan yang tertinggi dilaporkan dalam masa sehari. 

Sumber : Agensi berita/AI/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita