Skip to main content

Iklan

Iklan

Pemerintah, majikan dan NGO main peranan aktif jaga kebajikan pekerja asing di dormitori, dedah Zaqy

Setakat sehingga hujung minggu ini, lebih 10 juta makanan disediakan melalui khidmat katering untuk para pekerja asing yang menetap di 43 dormitori merata Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setakat sehingga hujung minggu ini, lebih 10 juta makanan disediakan melalui khidmat katering untuk para pekerja asing yang menetap di 43 dormitori merata Singapura.

Makanan untuk para pekerja asing disediakan melalui khidmat katering bagi mengurangkan risiko jangkitan lanjut dalam kalangan pekerja asing yang menginap di kemudahan sedemikian.

Perkembangan ini dikongsi oleh Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad melalui catatan Facebooknya pada Rabu (29 Apr).

Pemerintah, menurut Encik Zaqy, membuat keputusan untuk menyediakan makanan menerusi khidmat katering dan menghentikan para pekerja daripada memasak makanan mereka sendiri di ruang masak dormitori.

Menurut beliau lagi, risikonya terlalu tinggi dan tahap penularan boleh bertambah teruk jika mereka terus berkongsi ruang masak yang sama.

RAMAI ORANG LUAH KEPRIHATINAN TERHADAP KEBAJIKAN PEKERJA ASING DI S'PURA

Encik Zaqy turut berkongsi bahawa sejak beberapa hari lalu, beliau menerima mesej bertulis, kiriman peribadi menerusi Facebook, emel serta maklum balas daripada orang ramai.

Mereka menanyakan sama ada benarkah makanan yang dihidangkan itu begitu teruk sekali dan sama ada pemerintah menimbangkan maklum balas daripada para pekerja tentang pemakanan mereka.

(Gambar-gambar: Zaqy Mohamad/Facebook)

Dalam catatannya itu, Encik Zaqy mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyuarakan keprihatinan tentang makanan yang disediakan oleh pihak berkuasa untuk para pekerja yang tinggal di dormitori.

Menyentuh tentang soalan-soalan yang dibangkitkan, Encik Zaqy berkata: "Seperti yang dapat anda bayangkan, skala kerja yang perlu dijalankan ini amat besar sekali. Ia melibatkan sekitar 200,000 pekerja daripada sekurang-kurangnya 6 negara."

Sebagai perbandingan, ia seumpama menyediakan hidangan makanan bagi seluruh penduduk GRC Ang Mo Kio. Jika semua kem tentera di Singapura disatukan, jumlahnya masih tidak setanding dengan tugas yang sedang diusahakan ini.

Sepanjang tiga minggu lalu, kata Encik Zaqy, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian bagi COVID-19 bekerja keras siang dan malam untuk memastikan para pekerja mendapat makanan yang sesuai dan menepati syarat pemakanan serta cita rasa mereka. Pihak berkuasa juga memastikan makanan-makanan dihantar tepat pada masanya. Selain itu, pasukan bertindak tersebut juga mula mendampingi para pekerja yang tidak menetap di dormitori.

Berkongsi lebih lanjut, Encik Zaqy mendedahkan bahawa secara keseluruhannya, usaha menguruskan tempat pengasingan para pekerja asing di dormitori melibatkan 34 khidmat katering profesional yang sentiasa menyesuaikan hidangan-hidangan mereka mengikut maklum balas yang dikumpulkan mereka sendiri.

Beribu-ribu majikan juga memainkan peranan penting dalam mengambil tahu keperluan para pekerja masing-masing dan cuba memenuhinya.

Selain itu, 10 badan bukan pemerintah (NGO), termasuk Pusat Pekerja Asing (MWC), Alliance of Guest Workers Outreach, HealthServer dan Perikatan Sokongan Pekerja Asing COVID-19, turut menyumbang tenaga beratus-ratus relawannya untuk sama-sama menjayakan usaha tersebut.

KEADAAN KINI BERTAMBAH BAIK

Pemerintah akur bahawa usaha menguruskan para pekerja asing yang tinggal di dormitori akan menimbulkan cabaran. Namun menurut Encik Zaqy, para penduduk - kakitangan perkhidmatan awam, rakyat Singapura dari segenap lapisan masyarakat meluangkan masa secara sukarela di barisan hadapan dan NGO - bertindak dengan penuh semangat dan menawarkan diri untuk membantu.

(Gambar: Zaqy Mohamad)

Encik Zaqy akui pada tahap awal pelaksanaan operasi tersebut, pihak berkuasa berdepan dengan beberapa isu yang memerlukan penyesuaian. Namun, keadaan kini sudah bertambah baik dan terus dipertingkatkan. Selain menyediakan makanan harian, pihak berkuasa juga memastikan bahawa para pekerja tersebut diberikan kuih-muih sempena sambutan Tahun Baru Tamil dan Bangladesh pada pertengahan April lalu.

Persiapan-persiapan khas juga dibuat untuk para pekerja Muslim sempena bulan Ramadan, agar mereka boleh berbuka puasa dengan lancar.

ELAK DARIPADA MENGETENGAHKAN KES DI MEDIA SOSIAL

Baru-baru ini, semakin ramai orang bertindak memuat naik video atau catatan di media-media sosial untuk meluahkan keprihatinan dan rasa tidak puas hati mereka terhadap isu-isu berkaitan langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Mengenai perbuatan membangkitkan kes melibatkan pekerja asing di media sosial, Encik Zaqy menjelaskan bahawa para pegawai Pasukan Sokongan dan Jaminan ke Hadapan (FAST) akan memerlukan masa untuk mengesan setiap kes yang diketengahkan di wadah tersebut.

"Kadangkala, gambar lama dikongsikan dan ini menimbulkan rasa cemas. Kita tidak mahu mengerahkan para pegawai kita untuk melakukan tugas yang sia-sia sedangkan masa yang diluangkan itu boleh digunakan dengan lebih baik untuk memenuhi keperluan para pekerja," kata Encik Zaqy.

"Kita semua mengambil berat tentang kebajikan para pekerja asing kita. Maka itu, marilah bekerjasama dengan MOM dan Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian mengenai COVID-19 berhubung hal seperti ini supaya kita boleh sama-sama mengharungi masa yang sukar ini," tambah beliau.

Dalam pada itu, Encik Zaqy menggesa para majikan dan pengendali dormitori supaya mengumpul maklum balas daripada para pekerja dengan kerap supaya mereka sedia maklum tentang sebarang keprihatinan dan boleh bekerjasama dengan FAST dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk mencari huraian dengan segera.

Berikut adalah cara-cara bagaimana para pekerja dan rakan masyarakat boleh membantu agar pihak berkuasa boleh mengambil tindakan ke atas maklum balas yang diterima, tepat pada masanya:

- Untuk maklum balas atau bantuan berhubung dormitori, orang ramai boleh menghubungi para pegawai FAST yang bertugas.

- Bagi maklum balas melibatkan kilang yang diubah menjadi dormitori dan kemudahan-kemudahan pengasingan yang lain, sila hubungi para majikan masing-masing untuk membangkitkan keprihatinan supaya mereka boleh menghulurkan bantuan. MOM juga akan menghulurkan lebih banyak bantuan jika diperlukan.

Orang ramai juga boleh menghubungi MOM menerusi laman web www.mom.gov.sg/feedback untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau mendapatkan bantuan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan