Pembekal oksigen di Indonesia diarah utamakan keperluan bagi kegunaan perubatan
Sebilangan wilayah di Indonesia mengalami masalah kekurangan bekalan oksigen disebabkan jumlah pesakit COVID-19 yang sakit teruk dan memerlukan

Para pekerja perubatan merawat pesakit di sebuah khemah kecemasan yang dibangunkan untuk memenuhi lonjakan kes COVID-19 di Hospital Pusat Dr Sardjito di Yogyakarta, Indonesia, pada 4 Jul 2021. (Gambar: Kalandra/AP)
JAKARTA: Sebilangan wilayah di Indonesia mengalami masalah kekurangan bekalan oksigen disebabkan jumlah pesakit COVID-19 yang sakit teruk dan memerlukan
bahan itu meningkat, kata ketua pasukan bertindak pandemik negara itu pada Isnin (5 Jul), setelah puluhan pesakit meninggal dunia di sebuah hospital awam yang kehabisan bekalan.
"Oleh kerana mereka yang memerlukan (oksigen) meningkat tiga hingga empat kali lipat, pengedarannya terhambat," kata Luhut Binsar Pandjaitan, yang juga menteri penyelaras ehwal maritim dan pelaburan.
Sehubungan itu, pemerintah mengarahkan semua pembekal oksigen mengutamakan keperluan bahan itu bagi kegunaan perubatan selain mengimportnya, jika perlu, kata Encik Pandjaitan dalam satu sidang media maya.
Beliau berkata demikian selepas Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikit, pada 26 Jun lalu memberi jaminan bekalan oksigen bagi pesakit COVID-19.
Sekurang-kurangnya 63 pesakit COVID-19 di Hospital Awam Dr Sardjito di Yogyakarta meninggal dunia sejak Sabtu, 33 daripada mereka akibat kehabisan bekalan cecair oksigen.
Jumlah kematian meningkat walaupun pihak hospital sudah menggunakan tangki silinder oksigen bagi merawat pesakit kronik, kata jurucakap hospital Banu Hermawan.
"Kebanyakan pesakit tiba dalam keadaan tenat," kata Encik Hermawan.
Bekalan oksigen di hospital tersebut kembali pulih sekitar 4.45 pagi pada Ahad selepas kira-kira 15 tan bekalan cecair oksigen tiba.
Indonesia sedang bertarung dengan peningkatan kes COVID-19 sejak dua minggu lalu sehingga menyaksikan sistem kesihatannya hampir lumpuh.
Kementerian Kesihatan negara itu mencatat 27,233 kes baru COVID-19 dan 555 kematian pada Ahad.
Kadar pengebumian harian mangsa koronavirus turut meningkat 10 kali ganda sejak Mei lalu, dengan 392 pengebumian dilakukan Sabtu lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.