Pembantu rumah asing warga Indonesia, satu-satunya kes import baru COVID-19 di S'pura
Hanya satu kes baru COVID-19 dilaporkan sehingga tengah hari Selasa (16 Feb), kenaikan harian terendah dalam lebih tiga bulan.
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Hanya satu kes baru COVID-19 dilaporkan sehingga tengah hari Selasa (16 Feb), kenaikan harian terendah dalam lebih tiga bulan.
Satu-satunya kes itu melibatkan kes import yang sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di negara ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam laporan awalnya.
Pembantu rumah asing warga Indonesia dikenakan SHN sebaik tiba di Singapura pada 2 Feb dan diuji positif COVID-19 semasa menjalani notisnya. Wanita berusia 34 tahun itu tidak menunjukkan gejala.
"Hasil ujian serologinya kembali positif, menunjukkan ia kemungkinan jangkitan lama. Bagaimanapun oleh kerana beliau tidak menjalani ujian serologi apabila tiba di Singapura, kami tidak dapat memastikan sama ada beliau tidak lagi dalam keadaan berjangkit apabila tiba di Singapura," menurut MOH.
Tiada kes jangkitan tempatan mahupun kes dalam dormitori pekerja asing dilaporkan.
MOH juga menyatakan pemegang permit kerja dan Pas S baru dalam sektor binaan, marin dan pemprosesan serta pembantu rumah asing dan pengasuh anak yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara dan rantau berisiko tinggi sudah diperlukan menjalani ujian reaksi rantaian polimerase COVID-19 (PCR) dan ujian serologi sejak 5 Feb.
Kali terakhir Singapura melaporkan hanya satu kes baru COVID-19 ialah pada 2 Nov tahun lalu.
MOH juga mengumumkan bahawa kelompok Kes 59280 sudah ditutup kerana tiada lagi jangkitan yang berkaitan dengannya sejak 28 hari lalu.
Kelompok itu terbentuk pada Januari setelah pembantu doktor haiwan di Pasukan Polis diuji positif COVID-19.
Lagi 20 kes dibenarkan pulang dari hospital dan kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan 59,661 kes sudah pulih sepenuhnya daripada COVID-19.
30 kes masih dirawat di hospital dengan sebilangan besarnya berada dalam keadaan stabil atau beransur pulih manakala satu dirawat di unit jagaan rapi (ICU).
Sebanyak 90 kes sedang menjalani pengasingan dan dirawat di kemudahan masyarakat.
Singapura melaporkan 59,810 kes COVID-19 setakat hari ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.