Skip to main content

Iklan

Iklan

Pelitup muka 'perisai' penting lawan COVID-19

Percaya atau tidak, kini pelitup separuh muka, yang biasanya hanya dipakai sewaktu musim jerebu di Malaysia kini sudah dikategorikan sebagai 'perisai' paling penting dalam menghadapi musuh tidak kelihatan COVID-19, selain daripada memastikan penjarakan sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelitup muka 'perisai' penting lawan COVID-19

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 25 Jul 2020 10:41AM Dikemas Kini : 25 Jul 2020 10:45AM

KUALA LUMPUR: Percaya atau tidak, kini pelitup separuh muka, yang biasanya hanya dipakai sewaktu musim jerebu di Malaysia kini sudah dikategorikan sebagai 'perisai' paling penting dalam menghadapi musuh tidak kelihatan COVID-19, selain daripada memastikan penjarakan sosial.

Pemakaiannya dikatakan sebagai kaedah pencegahan penting bagi mengelakkan penyebaran 60 peratus penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus, termasuk COVID-19.

Selaras dengan itu, mulai 1 Ogos ini, pelitup separuh muka wajib dipakai di dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum, dengan orang ramai boleh didenda RM1,000 (S$324) di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988), sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaru itu.

Ini kerana walaupun Malaysia diiktiraf sebagai antara negara yang berjaya dalam menangani pandemik itu, namun nampaknya rakyat bersikap sambil lewa dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan wabak itu.

Peraturan baru itu menimbulkan reaksi pelbagai pihak, pakar kesihatan dan orang awam yang bersetuju dengan langkah itu, menyifatkannya sebagai amat tepat bagi memastikan disiplin dan pematuhan orang ramai, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan.

Menyedari keputusan kerajaan itu adalah untuk kebaikan bersama, seorang pekerja swasta Zaiton Mohamad, 35, berkata beliau sendiri berasa lebih yakin untuk berada di tempat awam apabila melihat ramai yang turut mengenakan pelitup separuh muka.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata pemakaian pelitup separuh muka seharusnya sudah lama diwajibkan di kawasan sesak dan padat.

“Bila pakai pelitup separuh muka ini, secara tidak langsung kita menghalang tangan daripada menyentuh bahagian pada anggota badan, yang boleh menyebabkan kemasukan virus ke dalam badan kita,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Farmasi Malaysia menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati semasa membeli pelitup muka fabrik atau tiga lapis yang banyak dijual dalam talian.

“Pada saya masyarakat kena tahulah, jangan main pakai saja tapi benda itu tidak mendatangkan kesan perlindungan, atau pencegahan.

“Kalau beli dalam talian siapa nak bertanggungjawab jika terjadi apa-apa. Bagaimana mahu tahu sumber pelitup muka itu dari mana pembuatannya. Sebab kita mahukan yang pertama berkualiti yang kedua, selamat digunakan dan ketiga ia berfungsi,” kata Pengerusinya, Amrahi Buang.

Pada masa yang sama, di sebalik sambutan positif pelbagai pihak atas peraturan baru itu, timbul juga keluhan mengenai harga pelitup separuh muka yang dikatakan agak mahal, ekoran terdapat peniaga yang menaikkan harga sesuka hati selain penjualan tiruan.

Malahan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), melalui pemeriksaan ke atas 43,402 premis di seluruh negara mulai 29 Jan sehingga hari ini, telah mengeluarkan sebanyak RM392,400 (S$127,000) kompaun atas pelbagai kesalahan seperti menjual pelitup separuh muka melebihi harga maksimum.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan