Skip to main content

Iklan

Iklan

Pelajar Politeknik Singapura diuji positif COVID-19; semua kuliah beralih online

Seorang penuntut di Politeknik Singapura (SP) diuji positif COVID-19 sekaligus  semua kuliah dan tutorial beralih  online mulai Isnin (17 Mei). 

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar Politeknik Singapura diuji positif COVID-19; semua kuliah beralih online

Gambar fail Politeknik Singapura.

Diterbitkan : 16 May 2021 11:44PM Dikemas Kini : 16 May 2021 11:46PM

SINGAPURA: Seorang penuntut di Politeknik Singapura (SP) diuji positif COVID-19 sekaligus semua kuliah dan tutorial beralih online mulai Isnin (17 Mei).

Penuntut Tahun 2 dari Sekolah Media, Kesenian dan Reka Bentuk itu diuji positif pada Sabtu namun beliau tidak bergejala apabila kali terakhir berada di kampus pada 11 Mei, menurut seorang jurucakap SP. Penuntut itu mengalami simptom pada 13 Mei dan berjumpa doktor pada keesokan harinya.

"Kami sudah berhubungan dengan penuntut itu untuk menghulurkan sokongan yang sewajarnya. Kawasan-kawasan yang dikunjungi penuntut itu sudahpun dibersihkan dan dibasmi kuman dengan rapi," kata jurucakap itu.

Beliau menambah para pelajar dan anggota kakitangan yang berhubungan rapat dengan penuntut itu pada 11 Mei, termasuk rakan sekelasnya, sudahpun dikenakan arahan kuarantin.

"Kami sudah menasihatkan pelajar terjejas supaya memantau rapi kesihatan mereka dan akan memberikan mereka sokongan sepenuhnya bagi memastikan terdapat kesan minimum ke atas pembelajaran mereka menerusi pembelajaran di rumah," kata jurucakap itu.

Sebagai "langkah berjaga-jaga lanjut", mulai 17 Mei hingga 28 Mei, kelas makmal dan praktikal bagi semua Tahun 2 dari Sekolah Media, Kesenian dan Reka Bentuk akan dijalankan secara online di mana sesuai atau ditangguhkan ke satu tarikh kelak.

SEMUA KULIAH, TUTORIAL BERALIH ONLINE

SP juga akan mengendalikan semua kuliah dan tutorial secara online sehingga akhir Fasa 2 (Kewaspadaan Meningkat), kata jurucakap itu. Sesi-sesi di makmal dan praktikal yang perlu serta projek akhir tahun akan dikendalikan secara bertemu muka dengan pelaksanaan langkah-langkah pengurusan selamat.

Semua sekolah rendah dan menengah serta maktab rendah dan Institut Millennia akan beralih sepenuhnya ke pembelajaran di rumah (HBL) mulai Rabu (19 Mei) hingga akhir penggal persekolahan pada 28 Mei sedang Singapura menyaksikan lonjakan dalam kes masyarakat COVID-19. Demikian diumumkan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Ahad.

Institut pengajian tinggi (IHL) akan mengurangkan kehadiran di kampus dengan lebih banyak kuliah beralih ke pembelajaran online seberapa mungkin kecuali bagi sesi-sesi bertemu muka yang penting seperti sesi makmal, praktikal dan projek akhir tahun, tambah beliau.

"Keselamatan dan kesejahteraan penuntut dan kakitangan kami amat penting bagi SP," kata jurucakap politeknik itu.

Singapura melaporkan 38 kes baru COVID-19 dalam masyarakat setakat tengah hari Ahad. Ia adalah jumlah tertinggi kes dalam masyarakat yang dilaporkan sejak 14 April 2020 apabila 40 jangkitan dalam masyarakat dicatatkan.

Ahad juga menandakan hari pertama langkah-langkah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) diperkenalkan di serata negara termasuk orang ramai dilarang menjamu selera di kedai makanan dan minuman serta mengurangkan saiz kumpulan dari lima orang kepada dua orang.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan