Pelajar Menengah Jurong West silap didiagnos dengan COVID-19
Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Jurong West silap didiagnos dengan COVID-19, setelah Hospital Tan Tock Seng (TTSH) salah melabel sampel ujian.
SINGAPURA: Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Jurong West silap didiagnos dengan COVID-19, setelah Hospital Tan Tock Seng (TTSH) salah melabel sampel ujian.
"Ujian asal dilakukan oleh makmal kami. Kemudian, pelajar itu dimasukkan ke NUH dan diuji lagi sebanyak dua kali dan didapati negatif kedua-dua kali. Makmal kami mengulangi satu ujian PCR ke atas sampel asal dan hasilnya adalah negatif," menurut TTSH dalam satu kenyataan media pada Selasa (14 Jul).
"Siasatan kami mendedahkan terdapat kesilapan pada laporan kes ini oleh makmal kami. Ini timbul akibat kesilapan manusia di makmal di mana label spesimen dua pesakit tertukar."
Selain daripada itu, pelajar tersebut "dalam keadaan baik" dan sudah dibenarkan pulang dari hospital, menurut pihak hospital.
Minggu lalu, pelajar perempuan 13 tahun itu dilaporkan dijangkiti COVID-19. Menurut Kementerian Pendidikan, kesnya dikaitkan dengan seorang lagi pelajar di sekolah.
Menurut TTSH, sejak itu seorang lagi pesakit yang diletakkan dalam pengasingan telah dimasukkan ke NCID dan keadaannya kekal mantap.
"Sejak itu kami sudah memaklumkan kedua-dua pesakit mengenai kesilapan dalam pelabelan dan meminta maaf kerana kegusaran yang ditimbulkan," menurut TTSH.
"Kami meminta maaf atas kesilapan itu dan benar-benar menyesali sebarang kesulitan yang ditimbulkan kepada pesakit-pesakit kami dan sekolahnya," tambahnya.
"Kami sudah menjalankan audit ke atas ujian makmal kami untuk COVID-19 bagi tempoh itu dan tiada kesilapan pelabelan dikesan. Kami juga sudah melaksanakan pemeriksaan tambahan untuk mencegah kejadian sedemikian daripada berlaku lagi."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.