Pekerja Sheng Siong positif COVID-19; semua kakitangan jalani ujian swab
Semua pekerja Sheng Siong di cawangannya di Bukit Batok akan menjalani ujian swab selepas seorang pekerja duji positif COVID-19, dedah syarikat tersebut hari ini (16 Mei).

Cawangan Sheng Siong yang terjejas. (Gambar: Facebook/Amy Khor)
SINGAPURA: Semua pekerja Sheng Siong di cawangannya di Bukit Batok akan menjalani ujian swab selepas seorang pekerja duji positif COVID-19, dedah syarikat tersebut hari ini (16 Mei).
Pekerja berkenaan,yang bertugas syif sebelah malam di cawangan Sheng Siong di Blok 440 Bukit Batok Avenue 8 dimasukkan ke hospital dan sedang dipantau, menurut Sheng Siong dalam satu kenyataan media.
Tugas pekerja itu melibatkannya menambah stok di cawangan tersebut dan tidak banyak berinteraksi dengan pelanggan, tambah pasar raya itu.
Beliau kali terakhir bekerja di cawangan tersebut pada awal pagi Sabtu selepas selesai syif yang bermula pada Jumaat malam. Menurut Sheng Siong lagi, pekerja itu pergi berjumpa doktor pada hari Sabtu kerana mengalami gejala demam dan selesema.
Pekerja tersebut sudah selesai menerima kedua-dua dos vaksin dengan suntikan pertama pada 4 Mac dan yang kedua pada 25 Mac.
Rakan kerjanya yang dikenal pasti sebagai kontak rapat sudah diasingkan dan disuruh mengambil cuti ketidakhadiran.
"Sejajar dengan garis panduan Agensi Sekitaran Kebangsaan untuk menjalankan kerja-kerja pembasmian kuman di premis itu, cawangan tersebut akan ditutup mulai 4.00 petang pada 16 Mei 2021 sepanjang dua hari untuk kerja-kerja pembersihan," menurut Sheng Siong. "Ia akan dibuka pada 7.00 pagi, Selasa, 18 Mei 2021."
Kali terakhir kerja-kerja pembersihan dijalankan di cawangan tersebut adalah pada hari Sabtu.
"Sheng Siong memohon maaf atas apa jua kesulitan akibat kejadian itu dan akan bekerja rapat dengan pihak berkuasa bagi membantu dalam pengesanan kontak. Syarikat kami juga akan memantau rapi keadaan dan akan berusaha menyediakan sekitaran yang selamat dan sihat bagi pekerja dan pelanggan," jamin Sheng Siong.
Ia turut menambah akan "menghulurkan bantuan kepada pekerja yang terjejas" dan juga keluarganya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.