Pekerja Bangladesh yang diuji positif COVID-19 sudah keluar ICU
Seorang pekerja binaan, yang isterinya melahirkan anak sulung mereka di Bangladesh semasa beliau dirawat di Singapura kerana COVID-19 sudah tidak lagi memerlukan bantuan alat pernafasan kerana sudah boleh bernafas sendiri. Beliau juga sudah dipindahkan dari unit jagaan rapi.
Gambar fail. (Gambar: Shannon Fagan/Canva)
SINGAPURA: Seorang pekerja binaan, yang isterinya melahirkan anak sulung mereka di Bangladesh semasa beliau dirawat di Singapura kerana COVID-19 sudah tidak lagi memerlukan bantuan alat pernafasan kerana sudah boleh bernafas sendiri. Beliau juga sudah dipindahkan dari unit jagaan rapi. Ini menurut Pusat Pekerja Asing (MWC) pada Khamis (16 Apr).
Lelaki berusia 39 tahun, yang diuji positif COVID-19 pada 8 Feb, dirawat di unit jagaan rapi selama lebih dua bulan sejak dimasukkan pada 7 Feb, disebabkan komplikasi akibat jangkitan itu.
Pada lewat Februari, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh mengesahkan bahawa pekerja itu berada dalam keadaan amat kritikal, sambil menambah bahawa sebelum dijangkiti COVID-19, beliau sudah pun mengalami masalah pernafasan dan penyakit buah pinggang termasuk radang paru-paru.
Dalam satu catatan Facebook pada Khamis, MWC menyatakan bahawa pekerja itu sudah pun dipindahkan dari unit jagaan rapi (ICU) ke wad biasa.
Beliau kini boleh bernafas dengan sendiri tetapi memerlukan terapi perbualan sebagai sebahagian daripada proses pemulihannya.
"Pihak MWC mengikuti rapi kesnya sepanjang hampir empat bulan, dan menjadi rapat dengan keluarga pekerja itu serta majikannya.
"Kami sudah menghubungi keluarga dan majikannya mengenai berita yang menggalakkan dan menggembirakan ini dan semuanya gembira," menurut MWC.
Anak sulung pekerja itu dilahirkan pada 30 Mac 2020.
Isteri beliau mengucapkan terima kasih kepada semua di Singapura, khususnya pekerja perubatan yang menjaga suami beliau, ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.