Pedoman, iktibar yang dipelajari setelah sebulan terkurung di rumah dek 'circuit breaker'
Pejam celik sudah genap sebulan Singapura melaksanakan langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 yang berkuat kuasa 7 April lalu.
SINGAPURA: Pejam celik sudah genap sebulan Singapura melaksanakan langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 yang berkuat kuasa 7 April lalu.
Meskipun suatu pengalaman yang sukar melaluinya kerana banyak perkara dan serba serbi tersekat, ada sesetengah keluarga menganggapnya sebagai ada suatu rahmat yang terselindung.
Itulah rumusan Cik Nashita Kamir. Beliau dan keluarga tiga generasinya tinggal sebumbung sepanjang tempoh 'circuit breaker' ini.

Pertama sekali kami tanyakan kepada beliau, apa rasanya hidup terkurung di rumah selama sebulan? Ini jawapan terus terang Cik Nashita:
"Kami sekeluarga bukan jenis kaki jalan. Jadi pada awalnya, kami ingat mungkin ia tidak akan menjejas banyak dari segi mungkin seharian kami.
"Tetapi masuk minggu kedua dan seterusnya itu, baru mula kami merasakan kesannya apabila pergerakan kami terbatas dan kami terpaksa terkurung di rumah."
Semestinya jawapan Cik Nashita juga sesuatu yang dirasakan dan dilalui ramai keluarga lain di negara ini sejak sebulan lalu.
Ibu bapanya misalnya juga cukup terkesan dengan 'circuit breaker' dan berasa "rimas" kerana tidak dapat ke pasar pada bila-bila masa yang mereka lakukan seperti lazimnya. Mereka pada awalnya "agak sukar" untuk menerimanya, akui beliau.
Setelah diterangkan tentang risiko jangkitan COVID-19 kepada warga tualebih tinggi, orang tua beliau menerimanya dan faham.
"Kami pun cuba-cuba untuk memesan barangan keperluan secara online. Dan itupun saya perlu menyakinkan ibu saya juga. Tapi beliau dapat menyerimanya.
"Alhamdulillah segala barang-barang keperluan kami yang kami pesan secara online itu dapat mutunya agak memuaskan. Jadi, kami teruskan hingga ke hari ini," kongsi Cik Nashita kepada BERITAmediacorp.
Nampaknya satu adaptasi gaya kehidupan baru sudah berjaya dilakukan.
JIMAT 3 JAM SEHARI
Satu lagi penyesuaian penting adalah soal keluar rumah untuk menjalankan tugas.
Sebelum ini, Cik Nashita ke kampus dari pagi hingga ke petang untuk mengikuti kuliah, sementara anaknya yang berusia dua tahun pula dihantar ke tajaka.

Ekoran perintah 'circuit breaker', kini beliau mengikuti kuliah secara online sahaja dari rumah. Pada masa yang sama, beliau perlu menjaga dan mendidik anaknya sendiri di rumah kerana tajaka ditutup. Jadi beliau kini juga memikul satu lagi peranan besar - iaitu menjadi 'guru tajaka" kepada anaknya.
Ya, ini mengganggu rutin tetapi nampaknya ada juga "bagusnya" kata Cik Nashita kerana dapat menghabiskan lebih banyak masa bersama anak kecilnya.
"Satu hari saya mengeluarkan tiga jam sekurang-kurangnya untuk ke kampus dan sebagainya tetapi sekarang dengan masa yang saya dapat jimat itu, saya dapat meluangkan bersama anak. Jadi apa–apa yang boleh bantu, saya bantu anak saya itu."
ORANG LAIN LAGI BESAR CABARAN MEREKA
Satu lagi perubahan yang cukup ketara adalah cara beliau kini mengikuti kuliah. Segala urusan dibuat secara online sahaja.
"Itu perubahan yang paling ketara bagi saya sebab sebelum ini saya pun tak tahu Zoom itu apa. Sekarang ini hampir setiap hari terpaksa berkommunikasi menerusi Zoom ataupun wadah-wadah lain," kongsi beliau, yang pernah bertugas sebagai wartawan.
Sejujurnya, Cik Nashita akur memang semua itu adalah cabaran besar bagi beliau. Banyak perubahan yang perlu dilakukan dalam masa yang singkat.
Satu lagi cabaran adalah soal perhubungan keluarga. Cik Nashita bersimpati dengan suaminya yang merupakan anak sulung, tetapi tidak dapat menziarahi ibunya seperti lazimnya setiap minggu.
Pun begitu beliau bersyukur kerana jika difikirkan balik, ia tidak sehebat dugaan yang dihadapi orang lain. Contohnya para pekerja barisan hadapan yang mempertaruhkan nyawa untuk melawan COVID-19. Keluarga mereka semestinya lebih terkesan lagi, kata beliau.
ERTI BEBAS DAN BERI RUANG
Pada akhirnya, antara pengajaran penting yang beliau mempelajari ialah soal kebebasan dan ruang individu yang banyak diambil ringan sebelum ini.

"Sebelum ini saya tidak pernah terfikir pun bernilainya kebebasan itu tetapi dengan adanya CB ini, baru saya menghargai ‘oh sebenarnya, hidup kita begitu bebas’. Walaupun saya sendiri bukan kaki jalan sangat, tetapi bila hendak keluar itu, bila-bila masa itu kita boleh keluar. Itu pertama.
Yang kedua, katanya, oleh kerana keluarga tiga generasi itu sentiasa meluangkan masa bersama dan terkongkong dalam ruang yang sama, maka penting untuk bersikap bertimbang rasa antara satu sama lain. Konflik boleh juga berlaku.
"Kalau macam ada masanya, katakan suami saya penat ke apa, berilah dia ruang. Kalau saya perlukan masa, saya pun bawa diri masuk ke bilik.
"Setiap orang perlukan ruang mereka masing-masing, kerana ya lah, buat masa sekarang ini semua orang bersama sentiasa (di rumah). Jadi, bertimbang rasa itu perlu," kongsi beliau.
Ini kerana ruang peribadi yang dahulunya 'didapatkan' kerana kita lazimnya berada di luar untuk bekerja atau bersekolah, kini dirampas oleh COVID-19 dan 'circuit breaker' yang memaksa kita berkongsi ruang bersama di rumah.
Bagaimanapun, bersandarkan iktibar keluarga Cik Nashita itu, kata orang alah bisa tegal biasa.
Kebiasaan baru atau norma baru kehidupan kini semakin menjadi basahan. Disebabkan itu juga, perjalanan menempuh 'circuit breaker' untuk tempoh sebulan lagi mungkin akan lebih mudah lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.