Skip to main content

Iklan

Iklan

Para majikan bakal terima S$900 juta bayaran Skim Bantuan Pekerjaan mulai 30 Sep

Bayaran Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) bernilai lebih S$900 juta akan diagihkan kepada para majikan mulai 30 September.

Anggaran Waktu Membaca:
Para majikan bakal terima S$900 juta bayaran Skim Bantuan Pekerjaan mulai 30 Sep

Gambar fail: Gaya Chandramohan

Diterbitkan : 21 Sep 2021 02:16PM Dikemas Kini : 21 Sep 2021 07:31PM

SINGAPURA: Bayaran Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) bernilai lebih S$900 juta akan diagihkan kepada para majikan mulai 30 September.

Bayaran itu akan diberikan kepada lebih 43,900 majikan di Singapura untuk meyokong gaji lebih 570,000 pekerja tempatan, menurut Kementerian Kewangan (MOH) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) pada Selasa (21 Sep)

"Dengan bayaran ini, sokongan JSS bernilai lebih S$27.6 bilion diagihkan sejak skim itu diperkenalkan dalam Belanjawan Perpaduan (Unity Budget) pada Februari 2020," menurut pihak-pihak berkuasa itu.

JSS menyediakan subsidi bagi gaji rakyat Singapura dan penduduk tetap untuk membantu syarikat yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Para majikan yang membuat sumbangan wajib kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) para pekerja tempatan bagi bulan April hingga Julai 2021 sebelum tarikh yang ditetapkan akan layak menerima bayaran itu.

Bayaran pada bulan September tersebut akan meliputi gaji pekerja dari April hingga Julai, termasuk bayaran tambahan JSS sewaktu tempoh Fasa 2 dan Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat).

"Bayaran untuk empat bulan itu lebih tinggi berbanding bayaran tiga bulan demi memberi sokongan dari segi aliran wang kepada firma-firma yang terjejas oleh krisis yang berlarutan itu," menurut pihak-phak berkuasa.

Secara keseluruhannya, para majikan dalam sektor yang ditutup atau sektor dengan langkah-langkah pengurusan selamat yang diperketat seperti F&B dan gim serta studio kecergasan, akan menerima sokongan JSS antara April dengan Julai: Tiada subsidi bagi 1 April hingga 15 Mei, 50 peratus subsidi bagi 16 Mei hingga 11 Julai, 10 peratus bagi 12 Julai hingga 21 Julai dan 60 peratus bagi 22 Julai hingga 31 Julai.

Bagi sektor-sektor yang amat teruk terjejas seperti runcit, wayang dan hiburan keluarga: Tiada subsidi bagi 1 April hingga 15 Mei, 30 peratus subsidi bagi 16 Mei hingga 11 Julai, 10 peratus bagi 12 Julai hingga 21 Julai dan 40 peratus bagi 22 Julai hingga 31 Julai.

Para majikan dalam sektor pelancongan, pelayanan, konvensyen dan pameran akan mendapat 30 peratus bagi 1 April hingga 11 Julai, 10 peratus bagi 12 Julai hingga 21 Julai dan 40 peratus bagi 22 Julai hingga 31 Julai.

Sektor-sektor lain seperti penerbangan dan pertukaran wang akan menerima 30 peratus bagi April hingga Jun dan 10 peratus bagi Julai, manakala para majikan dalam sektor persekitaran terbina, pengagih firma, pengangkutan darat dan marin serta luar pesisir akan mendapat 10 peratus bagi April hingga Jun dan tiada subsidi diberikan untuk Julai.

Bayaran untuk gaji yang dibayar selepas 31 Julai akan diberikan pada Disember.

Para majikan yang layak akan dimaklumkan menerusi pos tentang jumlah bayaran pada bulan ini. Mereka juga boleh log masuk Portal myTax untuk merujuk kepada salinan elektronik surat itu.

Para majikan yang sudahpun membuat pendaftaran bagi PayNow Corporate setakat 24 September atau sudah mempunyai aturan GIRO sedia ada bersama IRAS boleh menjangkakan akan menerima bayaran itu mulai 30 September. Bagi yang lain-lain, mereka boleh menjangkakan akan menerima cek mulai 15 Oktober.

BAYARAN SEBANYAK S$23 JUTA DITAHAN

Bayaran sekitar S$23 juta bagi bulan September ditahan daripada diagihkan kepada 500 majikan sedang pihak berkuasa menyemak dan menantikan penyerahan dokumen-dokumen kepada IRAS untuk menyokong kelayakan mereka.

Ini adalah sebahagian daripada usaha "antipenipuan" IRAS untuk memastikan bahawa bayaran diberikan secara "saksama dan betul", tambah pihak berkuasa.

Semua 500 majikan itu membentuk 1.1 peratus daripada para majikan yang layak menerima bayaran tersebut. Mereka akan mendapat bayaran tersebut sebaik sahaja IRAS sudah mengesahkan kesahihan dan ketepatan maklumat yang diserahkan.

"Bayaran mereka akan disesuaikan atau ditolak sekiranya isu-isu dikesan sewaktu penyemakan," menurut pihak berkuasa.

MOF dan IRAS mengingatkan para majikan untuk menyumbang jumlah yang betul kepada CPF para pekerja, berdasarkan gaji sebenar yang dibayar.

Sumbangan CPF mereka digunakan untuk menentukan jumlah bayaran, jelas pihak berkuasa.

"Denda bagi sebarang percubaan untuk mempergunakan JSS adalah berat," tambah pihak berkuasa.

Selain tidak menerima bayaran JSS, para pesalah boleh didakwa dengan penipuan teruk di bawah Seksyen 420 Kanun Jenayah di mana mereka akan berdepan tempoh jel sehingga 10 tahun dan denda.

Perniagaan dan individu yang mahu membuat aduan tentang amalan salah atau sebarang salah laku terhadap skim itu boleh melakukan sedemikian menerusi emel kepada jssreport [at] iras.gov.sg atau secara online.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan