Para majikan akan dapat rebat levi hampir S$675 juta untuk bantu jaga kebajikan pekerja asing
Hampir S$675 juta akan diagihkan kepada 62,000 majikan pekerja asing yang memegang permit kerja atau Pas S mulai Selasa (21 Apr), menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
(Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Hampir S$675 juta akan diagihkan kepada 62,000 majikan pekerja asing yang memegang permit kerja atau Pas S mulai Selasa (21 Apr), menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Jumlah wang itu adalah pembayaran pertama rebat levi pekerja asing, selain pengecualian levi pekerja asing bulanan pada bulan April.
Inisiatif-inisiatif itu, yang diumumkan oleh Pemerintah pada 6 Apr sebagai sebahagian daripada Belanjawan Kesepakatan, akan membantu para majikan "menjaga kebajikan pekerja asing semasa tempoh Pemutus Rantaian ini", menurut MOM dalam satu kenyataan media.
Rebat sebanyak S$750 bagi setiap pekerja akan diberikan kepada para majikan yang layak, yang sudah membayar sekurang-kurangnya sebulan levi pada 2020, menurut MOM lagi.
Para majikan tidak perlu membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan rebat itu, dan mereka yang sudah berjaya berdaftar untuk PayNow Corporate akan menerima pembayaran pada Selasa. Mereka akan dimaklumkan sebaik sahaja rebat itu berjaya dimasukkan, menurut kementerian itu.
Ia juga menggesa para majikan yang belum mendaftar untuk PayNow Corporate untuk berbuat demikian selewat-lewatnya 29 Apr, sebelum pemindahan kedua yang dijadualkan pada 30 Apr.
Jika tidak, mereka akan menerima rebat itu menerusi cek dari 15 Mei, tambahnya.
PARA MAJIKAN AKAN PASTIKAN MAKANAN YANG CUKUP
Para majikan mesti memastikan para pekerja asing di sektor binaan yang sedang menjalani notis jangan keluar rumah, mempunyai makanan dan barangan keperluan harian yang mencukupi, menurut MOM dan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA).
Semua pemegang permit kerja dan Pas S dalam sektor binaan sudah diberikan notis jangan keluar rumah sejak Isnin, bagi mencegah penularan lanjut COVID-19, yang sudah dijangkiti beberapa orang di tapak-tapak binaan.
Dalam satu nasihat yang dikeluarkan pada Selasa, pihak berkuasa menyatakan bahawa makanan patut dipesan bagi para pekerja yang tidak dibenarkan menggunakan kemudahan memasak yang dikongsi. Ini merujuk kepada mereka yang tinggal di kilang yang diubah kepada dormitori dan tempat-tempat tinggal sementara.
Bagi para pekerja yang tinggal di hartanah kediaman privet dan flat HDB, para majikan boleh mengaturkan untuk barangan dapur atau makanan dihantar, atau meminta para pekerja untuk membuat pesanan.
Pihak berkuasa juga menasihati para majikan untuk mengambil kira waktu berpuasa pada Ramadan ketika mengaturkan makanan bagi para pekerja Muslim.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.