Skip to main content

Pakej Bantuan Keluarga bernilai S$900 juta bantu tampung kos sara hidup

Keluarga-keluarga yang layak dan tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima bayaran khas sekali saja antara S$120 hingga S$200 tahun ini, sebagai sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga bernilai S$900 juta yang diperuntukkan bagi membantu rakyat Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Feb 2021 06:50PM Dikemas Kini : 16 Feb 2021 11:42PM

SINGAPURA: Keluarga-keluarga yang layak dan tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima bayaran khas sekali saja antara S$120 hingga S$200 tahun ini, sebagai sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga bernilai S$900 juta yang diperuntukkan bagi membantu rakyat Singapura.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengumumkan pada Selasa (16 Feb) bahawa lebih banyak bantuan akan dihulurkan bagi keluarga-keluarga di sini dalam Belanjawan 2021 - yang diberi nama Bangkit Lebih Kukuh Bersama atau 'Emerging Stronger Together' - sedang situasi ekonomi Singapura kekal 'tidak menentu' di tengah-tengah kegawatan yang terburuk sejak kemerdekaan.

Pakej Bantuan Keluarga termasuk pelanjutan khidmat dan rebat kos penyenggaraan, tokokan S$200 dalam akaun pendidikan yang relevan bagi setiap anak yang berusia bawah 21 tahun dan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai S$100 bagi semua keluarga rakyat Singapura.

Keluarga berpendapatan rendah dan sederhana juga akan menerima bayaran tunai tambahan bernilai S$200 di bawah skim Baucar GST.

Ini menjadikannya Belanjawan keenam yang bertujuan untuk mengurangkan kesan pandemik COVID-19. Tahun lalu, pemerintah mengumumkan lima Belanjawan, yang menghulurkan "bantuan dan sokongan segera" kepada keluarga dan para pekerja, menurut Encik Heng, yang juga adalah Menteri Kewangan.

Lima Belanjawan itu termasuk Pakej Bantuan Keluarga dan Bayaran Pakej Kesepakatan, kedua-duanya menawarkan bayaran tunai sekali saja kepada rakyat Singapura berusia 21 tahun ke atas.

Geran Bantuan COVID-19, Skim Bantuan Pendapatan Individu Bekerja Sendiri (SIRS) dan Dana Bantuan Sementara menyediakan bantuan kewangan kepada para pekerja yang hilang mata pencarian.

Para pekerja dan keluarga berpendapatan rendah menerima lebih banyak bantuan menerusi Bayaran Khas Daya Kerja (Workfare), baucar barang dapur dan tambahan Baucar GST - U Save. Tahun lalu, keluarga yang layak menerima sekurang-kurangnya seganda daripada Baucar-U Save tahunan mereka.

LEBIH BANYAK BANTUAN BAGI KELUARGA PADA 2021

Bayaran Khas sekali saja Baucar GST - U Save akan memberi manfaat kepada sekitar 950,000 keluarga rakyat Singapura tahun ini.

Bayaran tersebut adalah antara S$120 hingga S$200 - membawa kepada tambahan 50 peratus bagi rebat U-Save untuk keluarga-keluarga yang tinggal di HDB selama setahun - akan diberikan pada April dan Julai, bersama rebat biasa U-Save.

Rebat Baucar GST - U Save diberikan setiap tiga bulan bagi membantu keluarga yang menginap di HDB dengan bil api air mereka.

Selain itu, Rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan akan dilanjutkan setahun lagi, kata Encik Heng semasa menyampaikan Kenyataan Belanjawan itu.

Rebat itu akan mengimbangi kos antara satu bulan setengah hingga tiga bulan setengah, bergantung kepada jenis flat HDB mereka. Keluarga-keluarga akan menerima rebat sepanjang tempoh empat suku pada April, Julai, Oktober tahun ini dan Januari tahun depan.

Pemerintah juga akan memberikan semua keluarga rakyat Singapura baucar CDC bernilai S$100 untuk digunakan di kedai-kedai kejiranan dan penjaja yang turut serta.

Meskipun "semangat perpaduan dan disiplin" rakyat Singapura dalam melaksanakan langkah-langkah keselamatan COVID-19 membantu negara ini melawan pandemik tersebut, pengusaha dan penjaja tempatan "agak terjejas" oleh langkah-langkah itu, menurut Encik Heng.

"Saya berharap baucar-baucar baru ini boleh menjana lebih banyak perniagaan bagi penjaja dan kedai-kedai kejiranan kita," jelas beliau, sambil menambah pemerintah akan menyediakan geran tambahan bernilai S$150 juta kepada CDC bagi inisiatif ini.

Bagi setiap kanak-kanak rakyat Singapura berusia bawah 21 tahun, pemerintah akan memperuntukkan tokokan tambahan S$200 melalui Akaun Pembangunan Anak (CDA), Akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah. Tokokan ini adalah tambahan kepada tokokan tahunan Edusave bagi para pelajar sekolah rendah dan menengah.

Ini bagi menyokong ibu bapa kerana mereka "melabur dalam masa depan anak-anak mereka," kata DPM Heng.

Bagi rakyat Singapura yang berpendapatan rendah dan pertengahan yang layak bagi Baucar GST - Tunai, mereka akan menerima tambahan S$200 pada bulan Jun. Baucar GST - Tunai diberikan setiap bulan Ogos.

Secara keseluruhannya, 1.4 juta rakyat Singapura akan menerima sehingga S$500 berbentuk Baucar GST - Tunai dan Bayaran Khas Tunai tahun ini. 

Sumber : CNA/IM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita