Orchard Hotel digantung 30 hari benarkan 11 orang sambut hari lahir; 117 didenda langgar peraturan COVID-19
Orchard Hotel diarahkan supaya menggantung operasinya selama 30 hari selepas pihak berkuasa mendapati ia membenarkan 11 orang untuk berkumpul dalam sebuah bilik bagi menyambut majlis hari lahir pada Februari lalu.
SINGAPURA: Orchard Hotel diarahkan supaya menggantung operasinya selama 30 hari selepas pihak berkuasa mendapati ia membenarkan 11 orang untuk berkumpul dalam sebuah bilik bagi menyambut majlis hari lahir pada Februari lalu.
Sewaktu tempoh itu, peraturan-peraturan pengurusan selamat COVID-19 hanya membenarkan orang ramai berkumpul dalam kumpulan sehingga 8 orang saja ketika itu.
Hotel itu tidak dibenarkan mengambil sebarang tempahan baru dari Jumaat (25 Jun) hingga 24 Julai, menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dalam kenyataannya hari ini.
Namun, ia boleh memenuhi tempahan-tempahan yang sudah dibuat sebelum arahan itu dikeluarkan, tambah kementerian tersebut.
Orchard Hotel juga disaman S$1,000 atas kesalahan pada 6 Februari itu.
Siasatan ke atas para individu yang terbabit dalam insiden tersebut sedang dijalankan dan tindakan kuat kuasa boleh dikenakankan, menurut MSE.
Kementerian itu juga menyatakan bahawa Lembaga Pelancongan Singapura (STB) akan terus menjalankan pemeriksaan-pemeriksaan berkala di hotel-hotel dan mengambil tindakan penguakuasaan ketat terhadap sebarang pelanggaran peraturan oleh hotel-hotel atau para tetamunya.
117 PENGUNJUNG TAMAN, PANTAI DIDENDA
Dalam pada itu, 117 orang didenda melanggar peraturan-peraturan COVID-19 di taman-taman dan pantai-pantai awam sejak tempoh Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat) bermula Isnin lalu (21 Jun), dedah MSE.
Kesalahan-kesalahan yang dilakukan termasuk tidak memakai pelitup sewaktu bersenam dan berkumpul dalam kumpulan melebihi lima orang.
Selain 117 individu yang disaman itu, 1,800 makluman juga dikeluarkan terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan-peraturan COVID-19 di taman-taman dan pantai-pantai yang diuruskan oleh Lembaga Taman Negara (NParks).
Para pesalah kali pertama boleh didenda S$300 manakala pesalah berulang akan dikenakan denda lebih tinggi atau dihadapkan ke mahkamah bagi kes-kes lebih serius.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.