Skip to main content

Orang ramai tidak tergesa-gesa beli kit uji sendiri COVID-19 walau sudah mula dijual

Masyarakat umum belum lagi kelihatan tergesa-gesa untuk membeli kit-kit uji sendiri COVID-19 yang mula dijual di farmasi hari ini (16 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat umum belum lagi kelihatan tergesa-gesa untuk membeli kit-kit uji sendiri COVID-19 yang mula dijual di farmasi hari ini (16 Jun).

Buat masa ini, hanya dua daripada empat jenama kit uji sendiri yang diluluskan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) boleh dibeli.

Bekalan bagi dua jenama kit uji sendiri COVID-19 - iaitu Ujian Sendiri Antigen Covid-19 Abbott Panbio dan Ujian Covid-19 Quickvue At-Home OTC - mula mengisi kaunter-kaunter farmasi Unity, Watsons dan Guardian.

Related article image

Kit Ujian Sendiri Antigen Covid-19 Abbott Panbio yang dijual di cawangan Guardian di Bedok Mall. (Gambar: Vanessa Lim)

Namun, pada hari pertama penjualannya, penjualannya tidak begitu memberangsangkan di kaunter-kaunter farmasi yang BERITAmediacorp lawati.

Ketiga-tiga farmasi masing-masing menyatakan belum dapat berkongsi bilangan penjualan kit-kit tersebut buat masa ini. Namun begitu, penjualannya memang jelas tidak begitu laris.

"Sejauh ini, permintaan tidak terlalu tinggi dan saya rasa ada jumlah pelanggan yang tetap tetapi saya tidak fikir ada orang ramai yang beratur," kata Cik Ong Qijun, seorang kakitangan farmasi di Guardian.

Menurutnya lagi, para pelanggan sebahagian besar membelinya untuk keluarga masing-masing. Ini termasuklah pelanggan seperti Encik Raymond Lim, 56 tahun.

"Kenapa saya beli? Untuk keselamatan keluarga saya. Penting untuk kita jalani ujian sekali-sekala jadi sekurang-kurangnya kita tahu kita selamat. Jika kita selamat, orang berdekatan kita pun selamat," kata Encik Lim, yang bertugas sebagai seorang pemandu Grab.

PELANGGAN BELI KIT BUKAN UNTUK DIRI SENDIRI SAHAJA

Kit-kit uji sendiri itu berharga antara S$10 hingga S$13.

Namun hakikatnya tidak semua pelanggan membelinya untuk kegunaan sendiri - malah bukan juga untuk kegunaan di Singapura.

Cik Irene Ee, 68 tahun berkata: "Saya beli berikan kepada saudara-mara di Kuching (Malaysia), ramai saudara di sana dan beli berikan kawan di Perth (Australia). (Saya) beli dua kit Quickvue dan dua kit Abbott Panbio."

Cik Irene membeli kedua-dua jenama tersebut untuk menguji kit mana yang lebih tepat sebelum dihantarkan keluar.

Bagi Cik Florence Jeremiah, 62 tahun pula, dia membeli kit Abbott Panbio sebagai bekalan persiapan untuk seorang sepupunya.

"Saya beli kit ini untuk sepupu saya yang akan pergi ke Jakarta dan isterinya bimbang. Jadi saya beli satu kotak dan berkongsi dengannya. Ini untuk memberi ketenangan jiwa," kongsi Cik Florence.

Related article image

Seorang pelanggan membeli kit ujian sendiri di farmasi. (Gambar: Vanessa Lim)

DIHADKAN KEPADA 10 KIT SETIAP PEMBELI

Yang pasti, kit-kit uji sendiri itu merupakan suatu 'senjata' yang kini boleh disimpan di rumah-rumah demi menjaga maslahat seluruh rakyat Singapura.

Malah, proses mendapatkannya juga mudah, dengan mengambil masa kurang lima minit.

Untuk membelinya, para pengguna akan dinilai dahulu sama ada mereka sesuai untuk mendapatkannya selain diberi maklumat mengenai penggunaan kit-kit tersebut.

Pengarah Pelanggan Watsons, Cik See Siow Ying berkata: "Ini adalah sesuatu yang baru dalam pasaran jadi ia penting untuk menyediakan maklumat kepada para pengguna demi memastikan mereka tahu cara-cara menggunakannya dan agar hasil ujiannya tepat. Jika mereka tidak menggunakannya dengan cara yang betul, ia mungkin boleh menjejas hasil ujian."

Pada fasa pertama penjualan kit-kit uji sendiri COVID-19 itu, masyarakat umum hanya boleh membelinya dari kaunter-kaunter farmasi sahaja.

Related article image

Seorang warga emas mendapatkan nasihat ahli farmasi di cawangan Guardian di Vivovity. (Gambar: Sherlyn Seah)

Kakitangan farmasi akan menanyakan beberapa soalan - antaranya sama ada mereka perlu membeli jumlah yang banyak, siapa yang akan menggunakannya dan sama ada mereka membelinya sebagai langkah berjaga-jaga sahaja.

Ia demi memastikan bahawa semua orang membelinya dengan bertanggungjawab dan tidak membeli terlalu berlebihan.

"Kami menasihati orang ramai untuk membeli apa yang penting dan tidak perlu menambah bekalan terlalu banyak," kata Cik See lagi.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita