Skip to main content

Iklan

Iklan

Orang ramai cari lokasi alternatif untuk saksikan bunga api NDP secara langsung; banyak kawasan di Marina Bay ditutup

Seawal tengah hari tadi lagi (21 Ogos), sebilangan keluarga sudah mula hadir di luar Hab Sukan Singapura untuk mendapatkan tempat bagi pemandangan terbaik pertunjukan udara dan bunga api Hari Kebangsaan. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seawal tengah hari tadi lagi (21 Ogos), sebilangan keluarga sudah mula hadir di luar Hab Sukan Singapura untuk mendapatkan tempat bagi pemandangan terbaik pertunjukan udara dan bunga api Hari Kebangsaan.

Dengan banyak kawasan di sekitar Pentas Terapung Marina Bay ditutup kepada orang ramai, mereka yang datang perlu mencari lokasi alternatif.

"Kalau dulu itu lain ada juga dekat-dekat jambatan pun boleh kan. Jadi disebabkan dekat sana tidak ada jadi paling dekat sinilah dengan harapan dapatlah juga tengok bunga api, bawa anak-anak dan anak saudara," kata seorang pengunjung yang berada di kawasan Kallang itu, Cik Azizah Osman.

Seorang lagi pengunjung, Encik Nasri Ismail bahkan sudah berada di kawasan Hab Sukan bersama keluarganya sejak pukul 1.00 petang tadi.

Ada juga yang datang lengkap berbaju merah dan putih seperti Cik Ayang.

"Saya datang sini daripada pukul 2.00 petang. Saya hendak menyambut ulang tahun Singapura, jadi saya hendak tengok kapal terbang dan juga bunga api," kongsi beliau.

AMBIL PELUANG RIADAH BERSAMA KELUARGA

Selain untuk mendapatkan tempat dahulu, ada juga yang datang awal untuk beriadah bersama keluarga.

Kira-kira sejam sebelum bermulanya NDP, lebih ramai yang datang, ada yang lengkap membawa tikar untuk berkelah, kerusi dan kamera.

Bagi Cik Azra Amiera Arman, beliau mengambil peluang membawa anak saudaranya berbasikal selain untuk menonton pertunjukan bunga api NDP dari kawasan Hab Sukan Singapura itu.

"Di sini pun kita dapat luangkan lebih banyak masa dengan keluarga kami dan lepas itu, boleh lakukan banyak lagi kegiatan. Kalau di tempat (berdekatan Pentas Terapung Marina Bay) anda boleh jalan-jalan saja," kongsi seorang lagi pengunjung, Cik Azra Haziera Arman.

Pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Fifi pula mengambil kesempatan ini untuk mengambil udara segar di luar setelah banyak meluangkan masa di rumah waktu pandemik ini.

"Hari ini kita nak menyambut Hari Kebangsaan jadi menanti-nantikan bunga api, kapal terbang dan bunga api... walaupun kita selalu dekat rumah. Jadi tiba masanya untuk kami keluar dapatkan udara segar."

Walaupun ada yang datang secara berkumpulan, mereka rata-rata mematuhi langkah-langkah keselamatan COVID-19.

Duta-duta jarak selamat juga kelihatan membuat rondaan.

Walaupun jauh sedikit daripada kawasan Marina Bay, orang ramai yang datang ke situ rata-rata berpuas hati kerana masih dapat menyaksikan pertunjukan tanpa hadangan.

Ada juga yang menyaksikan acara NDP secara langsung menerusi telefon bimbit mereka. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa