Orang ramai bermain tenis, makan di pusat penjaja antara yang akan didenda
Seorang wanita yang enggan beredar dari menjamu selera di sebuah pusat makanan Aljunied dan sekumpulan orang yang berman tenis antara mereka yang didapati melanggar langkah jarak selamat.

(Gambar: MEWR)
SINGAPURA: Seorang wanita yang enggan beredar dari menjamu selera di sebuah pusat makanan Aljunied dan sekumpulan orang yang bermain tenis antara mereka yang didapati melanggar langkah jarak selamat menurut satu kenyataan Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) pada Isnin (13 Apr).
Secara keseluruhan, lebih 200 denda akan diberikan kepada orang awam yang melanggar peraturan, menurut MEWR.
Singapura telah menutup perniagaan yang tidak menyediakan khidmat penting dan memperkenalkan langkah-langkah tegas sebagai sebahagian daripada tempoh "pemutus rantaian" bagi mengekang penularan COVID-19.
Meskipun langkah jarak selamat lebih tegas dilaksanakan, orang awam masih lagi dilihat berlegar-legar atau menggunakan kemudahan, padang permainan dan kawasan yang sudah ditutup pada Ahad dan Isnin, menurut MEWR.
Sekumpulan orang didapati bermain tenis di Akademi Tenis Tanglin yang ditutup, manakala sekumpulan lagi dilihat bermain di sebuah padang terbuka di Tanjong Rhu. Para pegawai penguat kuasaan juga mendapati sekumpulan orang bermain besbol di sebuah padang tertutup privet di Kelab Ragbi Tanglin.
Beberapa orang awam juga didapati pada Isnin tidak memberikan kerjasama sehinggakan pihak polis terpaksa dihubungi, menurut MEWR.
Ini termasuk seorang wanita yang duduk di tempat duduk yang ditandakan di sebuah pusat makanan di Blok 117 Aljunied Avenue 2.
"Bantuan polis diperlukan kerana dia enggan meninggalkan tempat itu, terus makan dan enggan memberikan butiran peribadinya," menurut kementerian itu.
Lebih 2,900 pegawai penguatkuasaan dan duta dikerahkan pada Isnin untuk memastikan orang ramai mematuhi peraturan.
Kementerian itu juga memberi amaran agar orang awam tidak menyerahkan wang kepada orang-orang yang mendakwa sebagai pegawai penguatkuasaan, sambil menegaskan bahawa para pegawai tidak akan menuntut bayaran denda serta merta.
"Surat notis akan diberikan kepada pesalah di tempat itu, atau menerusi pos. Bayaran atau wang tunai tidak perlu diserahkan dengan serta-merta," menurut MEWR.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.