Skip to main content

Iklan

Iklan

NUANSA: Pusara Karayuki-San di S'pura - suatu kisah para pelacur Jepun yang kurang diketahui umum

Berdasarkan pamflet pelancongan dan maklumat yang diperolehi oleh Ryo dari sebuah yayasan yang mengatur hal ehwal mangsa peperangan, kami telah ke Chuan Hoe Avenue.

Anggaran Waktu Membaca:
NUANSA: Pusara Karayuki-San di S'pura - suatu kisah para pelacur Jepun yang kurang diketahui umum

Pusara Karayuki-San di Singapura. (Gambar: TripAdvisor/ KGB777)

BERITAmediacorp: Selain Perang/Pendudukan Jepun di Singapura, banyak perkara lain yang ramai antara kita tak tahu tentang orang Jepun di sini. Tahukah anda:

(a) Orang Jepun kali pertama dikesan di Singapura pada tahun 1871. (b) Pada tahun 1878, ada 2 rumah pelacuran Jepun di Jalan Melayu dan menjelang 1905 ada lebih 600 pelacur Jepun di lebih 100 rumah pelacuran di seluruh Singapura. Ini kisah begitu menyayat hati tentang mereka... 

Tanah Perkuburan Jepun di Singapura. (Gambar: Laman Visit Singapore)

HUJUNG tahun 1990-an, teman saya dari Jepun; Ryo Suzuki namanya, telah menelefon dari Tokyo. Dia terbang ke Kuala Lumpur, kemudian langsung mengajak saya ke Singapura. Dia ingin mencari, demikian katanya.

Saya tidak diberitahu mencari apa. Akan tetapi, tahu-tahu kami sudah dalam perut kereta api menuju ke pulau selatan. Hanya sehari setelah itu, usai berehat di sebuah hotel murah di Bugis, saya mengetahui yang Ryo ingin ke ‘Little Japan’.

Berdasarkan pamflet pelancongan dan maklumat yang diperolehi oleh Ryo dari sebuah yayasan yang mengatur hal ehwal mangsa peperangan, kami telah ke Chuan Hoe Avenue, hujung Jalan Yio Chu Kang kira-kira sembilan kilometer dari Jalan Tengah (Middle Road) dan Daerah Pusat Bandar Singapura (CBD).

‘Little Japan’ itu, seingat saya bukanlah sebuah daerah kecil yang menempatkan toko atau kafe Jepun. Sebaliknya yang dimaksudkan adalah tanah perkuburan.
Bangsa Jepun yang pertama, mungkin, dikesani di Singapura pada tahun 1871.

Menurut Japanese Association of Singapore, dalam sebuah akhbar dalaman untuk komuniti tersebut, angka itu menjadi 1,409 orang pada tahun 1911. Pada tahun 1939 ia berganda kepada 4,000 orang dan pada tahun 1945 sekitar 6,000 orang. Angka ini bukanlah mereka yang terlibat dengan Perang Dunia Kedua. Dalam erti kata lain, mereka bukan tentera Jepun, tetapi merupakan orang awam.

Apakah yang orang awam Jepun lakukan di Singapura sepanjang tahun 1930-an dan 1940-an? Inilah misteri yang Ryo tidak beritahukan ketika itu. Dia hanya bilang, dia ingin mencari. Saya belum diceritakan, mencari apa.

Pada tahun 2018, apabila saya ke Tokyo memenuhi undangan Yayasan Keamanan Sasakawa untuk memberikan kuliah mengenai Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14, saya sempat menemui kembali Ryo. Peluang menemui kawan lama itu tidak saya lepaskan untuk melerai misteri atau rahsia kunjungannya ke Singapura pada tahun 1998.

Saya masih ingat Ryo menangis di sisi sebuah pusara teresak-esak. Akan tetapi, sebagai menghormati seorang lelaki yang seingat saya jarang terlihat menangis; maka saya diamkan sahaja. Hanya dua dekad kemudian saya berani bertanya.
"Karayuki-san", balas Ryo lambat-lambat. Untuk seketika saya bingung juga memandangkan saya bukanlah pakar bidang Pengajian Jepun.

Apabila saya menghimbau kembali pemergian ke Singapura tersebut, saya masih ingat kami berada di kawasan perkuburan Jepun, saat matahari tegang membakar dengan terik kulit wajah Ryo yang terlihat ibarat udang dipanggang.

Dewan utama di Tanah Perkuburan Jepun itu. (Gambar: TripAdvisor/ MaxManila)

Tanah perkuburan itu diasaskan oleh Tagajiro Futaki pada tahun 1891, seorang pengusaha rumah pelacuran. Saya akan menggunakan istilah pekerja seks selepas ini, kerana apa yang Ryo ceritakan kepada saya kemudiannya sangat menikam hati, mengakibatkan saya ikut menangis.

Futaki, seorang pemilik kebun getah dan dua rumah untuk kegiatan seks, telah memohon kepada kerajaan Singapura waktu itu untuk mendapatkan enam ekar tanah persendirian dan dua ekar lagi tanah yang menyambung kepada kawasan lebih terbuka kepada publik. Tanah itu untuk menjadi tempat persemadian pekerja seks berbangsa Jepun di Singapura. Mereka diberi gelaran karayuki-san.

"Namanya Niko. Beliau adalah kakak tengah nenek saya." Mata Ryo kosong bagai tiada destinasi.

Pada tahun 1917, Osada Shuto seorang pengembara berbangsa Jepun dan pengurus ladang getah di Malaya mencatatkan pengalamannya dalam sebuah buku bertajuk Zunanroku (Sebuah Rekod Pemetaan Negeri Selatan). Dalam banyak-banyak nukilan beliau, salah satunya adalah mengenai pengalaman melawat tanah perkuburan karayuki-san di Singapura ketika itu. Shuto menulis lebih kurang terjemahannya begini:

"Kebanyakan pusara yang saya temui, bertindanan antara satu sama lain, adalah milik karayuki-san berusia 17 dan 18 tahun. Sisa pusara yang kusam itu tidak dapat diredam melainkan menerbit perasaan pahit yang bersulam. Mereka wajar diberi kasih sayang. Mereka tidak punya keturunan yang akan datang mengunjungi pusara ini, untuk memberikan penghormatan. Untuk meletakkan bunga dan ranting dari pohon kudus jintan manis. Takziah mendalam untuk tulang-temulang ini, terdedah disapa angin dan embun di sebuah tanah yang jauh dan begitu asing buat mereka."

Apakah yang gadis remaja berbangsa Jepun ini lakukan di Singapura, jauh dari tanah air, terhumban di negeri yang tiada saudara-mara dan pergi ke negeri abadi tanpa belas dan rindu?

Nenek saudara Ryo misalnya menjadi mangsa kemiskinan. Ketika dunia mengalami krisis dan penghormatan untuk wanita di hujung kaki, mangsa yang paling mudah adalah perempuan. Ini kerana perempuan hanya boleh menangis. Di sebalik esakan itu mereka akan menurut sahaja.

Pada hujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, negara Jepun mengalami kemelaratan yang mencengangkan. Keluarga yang terlalu miskin, tidak dibantu; terpaksa melakukan satu tindakan nekad - menjual anak-anak gadis mereka - dan nasib anak-anak remaja ini sangat buruk. Mereka paling ramai dihantar ke China justeru diberi jolokan karayuki-san (tempahan untuk ke China) walaupun sebetulnya ‘pasaran’ mereka adalah untuk seluruh rantau Asia-Pasifik. Nenek saudara Ryo adalah salah seorangnya.

Karayuki-san dijual bukan untuk langganan lelaki Jepun tetapi sebaliknya untuk bangsa-bangsa lain, mengakibatkan mereka akhirnya diniagakan sehingga ke kota pelabuhan yang jauh dari kampung halaman. Kebanyakan gadis ini adalah dari Amakusa dan Shimabara di Nagasaki.

Setiap malam mereka akan melayani sehingga 30 orang lelaki, bergantung kepada kota pelabuhan yang sibuk. Dan Singapura adalah salah satunya.

Antara batu nisan yang terdapat di kawasan perkuburan itu. (Gambar: TripAdvisor/ mimiandchrisontour)

Meskipun terdapat angka rasmi yang rendah, dipercayai ada kira-kira 19,000 karayuki-san dipaksa menjadi pekerja seks pada tahun 1910 di seluruh dunia. Pada tahun 1878 misalnya sudah ada dua rumah pelacuran di Jalan Melayu, hujung Jalan Tengah (Middle Road). Menjelang tahun 1905, karayuki-san menjadi masyhur dan terdapat 633 orang pekerja seks berbangsa Jepun di 109 rumah pelacuran seluruh Singapura. Pada tahun 1903 pula, 70 peratus bangsa Jepun di Singapura adalah mereka yang terlibat dalam perniagaan seks ini.

Tanpa keluarga, gadis-gadis mentah ini dibawa dengan kapal dari Jepun, dan terpaksa hidup bersendirian di negeri asing. Siangnya mereka menangis nasib. Malamnya mereka ditindih derita. Tanpa kebajikan yang sempurna, pekerja seks ini cepat sekali jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia. Di kawasan perkuburan inilah karayuki-san disemadikan. Nisan pusara mereka selalunya dengan kayu, dan dimamah usia dengan segera. Lama-kelamaan pusara itu tiada bernama dan tidak diketahui milik siapa.

Tidak banyak yang Ryo tahu tentang nenek saudaranya. Kali akhir neneknya beroleh sepucuk surat yang menyatakan kakaknya itu di Singapura. Itu lama sekali sebelum perang. Kemudian hubungan mereka adik beradik terputus. Nenek saudara Ryo tersebut berusaha memadam keaiban sebagai karayuki-san dengan berbohong: "Aku kini perempuan hartawan yang bahagia." Tentu, yang tidak diperikan adalah nasibnya buruk sekali dihayak kelasi.

Tanah perkuburan itu sunyi metah. Seakan-akan ada roh nestapa mengintai kami di celah pohon.

Pusara-pusara ini selalunya dipelihara oleh teman-teman karayuki-san yang masih hidup. Tanpa ahli keluarga, pekerja seks ini belajar untuk saling melindungi dan berkongsi kasih sayang, meskipun apa yang terbentang kelam di hadapan. Gadis-gadis tersebut berdoa selalu mengharapkan seorang penyelamat yang akan dapat menebus nasib malang mereka. Akan tetapi penyelamat tidak kunjung tiba. Mereka adalah antara golongan tertindas yang tenggelam begitu sahaja dalam sejarah. Padahal mereka punya nama. Mereka punya harapan. Mereka punya doa.

"Namanya Niko, ia bermakna Gadis Merah. Salah sebuah makam itu punya nama," kata Ryo dalam jujuh tangis. Saya menahan sebak.

Satu papan tanda di kawasan perkuburan itu yang menerangkan tentang karayuki-san. (Gambar: TripAdvisor/ Leong Kok Weng)

Saya masih ingat kami berkitar di tanah perkuburan tersebut. Ada rasa pedih meramas hati Ryo. Ketika itu saya belum tahu perihal karayuki-san. Ryo menunjukkan sebuah pusara yang kelihatan bernasib baik kerana punya nama. Milik Satou yang meninggal dunia di usia 22 tahun pada 13 Oktober 1889, dengan alamat 15 Jalan Melayu. Terdapat sedikit maklumat yang tidak berpada, dia diberitakan di nisannya sebagai kelahiran Nagasaki.

Saya masih ingat setelah pulang dari pusara tersebut, senja begitu menyala. Kami menyeberangi tambak untuk ke Johor Bharu meninggalkan senja nan merah di belakang.

Setelah dua dekad, ceritera duka yang dibabadkan Ryo itu kekal mencakar jiwa raga. 

(Artikel ini disumbangkan kepada BERITAmediacorp oleh Dr Faizal Musa.)

RUJUKAN
Kevin Blackburn. 2007. Heritage Site, War Memorial, and Tourist Stop: The Japanese Cemetery of Singapore, 1891-2005. JMBRAS 80 (1): 17-39.

Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.  

Sumber : BERITAmediacorp/ru

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa