Skip to main content

Iklan

Iklan

NUANSA: Orang Laut penyumbang kepada kemajuan S'pura tetapi sering diketepikan

Antara ahli kabinet perintis Singapura yang berdarah Orang Laut ialah Othman bin Wok (1924-2016) yang menyandang jawatan menteri selama 14 tahun (1963-1977) dan diplomat.

Anggaran Waktu Membaca:
NUANSA: Orang Laut penyumbang kepada kemajuan S'pura tetapi sering diketepikan

Gambar Orang Laut. (Gambar-gambar: Petikan dari video)

SINGAPURA: ANTARA ahli kabinet perintis Singapura yang berdarah Orang Laut ialah Othman bin Wok (1924-2016) yang menyandang jawatan menteri selama 14 tahun (1963-1977) dan diplomat.

Bahkan ibu bapanya juga berdarah Orang Laut. Ayahnya Wok bin Ahmad ialah guru serta pengetua sekolah, dan ibunya, Embong binti Mohamed, seorang suri rumah.

Ketika dikatakan beliau sebagai “Orang Laut Terakhir” dalam wawancara di media setempat pada 2014, beliau tertawa berdekah-dekah. Namun, secara serius katanya, memang ciri Orang Laut kian pupus di Singapura. Menurut Encik Othman, terdapat banyak salah faham mengenai Orang Laut yang merupakan orang asli atau anak jati di Kepulauan Riau, termasuk Singapura dan Johor.

Terdapat stigma atau tempelan buruk pada Orang Laut. Mereka ditintakan dalam tulisan pengembara dan pegawai penjajah Barat (British dan Belanda) sehinggalah sejarawan Carl A Trocki yang menilai mereka sebagai pemalas, bodoh dan menyamun di laut.

Ketika Thomas Stamford Raffles, wakil Syarikat Hindia Timur British, menjejakkan kakinya di Singapura dan diikuti pemeteraian perjanjian dengan Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman, dipercayai kalangan Orang Laut menjadi saksi peristiwa bersejarah nusa ini. Hal ini dirakamkan oleh Buyong Adil dalam bukunya, Sejarah Singapura Sebelum 1824 (DBP,1972).

Orang Laut merupakan sebahagian daripada rumpun Melayu. Mereka hidup di kampung-kampung pesisiran muara sungai atau di perahu berbumbung dipanggil, ‘sakajang’. Ramai Orang Laut yang arif dalam ilmu kelautan dan sering terlibat dalam pelayaran jauh termasuk bersama Laksamana Hang Tuah (menurut diari penakluk Portugis, Alfonso Alburquerque).

Lazimnya, mereka hidup berkelompok menurut kesukuan yang namanya sempena pokok atau kawasan kediaman mereka. Sebahagian mereka memeluk Islam dan bilangan kecil beragama Kristian. Namun dipercayai ramai yang masih mengamalkan agama nenek moyang.

Mereka bertebaran di pesisir Selat Melaka, Selat Singapura sehingga sebahagian Kepulauan Riau.

SIASAH MELAYU LAMA

Orang Laut memainkan peranan penting dalam sejarah pembentukan kerajaan, termasuk Empayar Seriwijaya (abad ke-7 sehingga 13 Masihi). Dengan menggunakan kemahiran mereka untuk melindungi jalan perkapalan, Seriwijaya muncul sebagai kerajaan yang ampuh dan pernah meneroka kawasan takluk sehingga ke Sri Lanka dan tenggara benua kecil India.

Gambar Orang Laut. (Gambar: Petikan dari video)

Setelah Seriwijaya pudar terutama selepas diserang balas oleh raja Cola pada abad ke-10 Masihi, muncul kerajaan Singapura yang kecil dalam abad ke-13 tetapi masih bergantung pada Orang Laut.

Apabila Singapura diserang Majapahit, raja terakhirnya Parameswara berhijrah ke Muar dan kemudian mendirikan Kerajaan Melaka. Kebangkitan Melaka sebagai kerajaan maritim juga bergantung pada kesetiaan Orang Laut. Bagaimanapun, peranan Orang Laut dalam sejarah Melayu mula merosot dengan perpecahan Kerajaan Melaka-Johor. Lebih jauh lagi, pada abad ke-18, orang Bugis menembusi gelanggang kuasa orang Melayu dan meminggirkan kepentingan Orang Laut.

KELOMPOK ORANG LAUT

Orang Laut tinggal di Singapura dan di sepanjang pantai Johor yang berdekatan sebelum kedatangan Inggeris pada tahun 1819. Suku Gelam, sebuah puak Orang Laut dari kepulauan Batam, mempunyai penempatan kapal dan pondok berhampiran muara Sungai Singapura, tidak jauh dari Kampung Temenggung.

Orang Melayu dan Orang Laut di Singapura di bawah naungan Temenggung Abdul Rahman. Suku Gelam menyantuni temenggung sebagai pelindung mereka. Penghulu mereka bertindak sebagai utusan kepada temenggung.

Menurut Sarafian Salleh dalam buku kumpulan esei, Beyond Bicentennial (WS, 2020), beberapa tahun selepas penubuhan Singapura sebagai loji perdagangan Kompeni Hindia Timur British, beberapa kelompok Orang Laut bergerak ke depan laut di Telok Saga dan Selat Sinkeh di Pulau Brani, sebuah pulau kecil di sisi terdekat pulau besar Singapura.

Sejak awal abad ke-19, kumpulan lain - Orang Seletar - yang digambarkan sebagai nomad sungai atau perahu, tinggal dan berburu di sepanjang tepi Selat Lama di sebelah utara Singapura dan muara Sungai Seletar.

Walaupun mereka kebanyakan tinggal di perahu mereka, mereka mengumpulkan makanan dari pantai dan hutan bakau. Mereka juga menggunakan anjing untuk memburu babi liar.

Orang Melayu menyebut Orang Seletar sebagai Orang Utan Seletar (Orang Hutan Seletar). Orang Seletar kemudian berada di bawah perlindungan politik sultan Johor (keturunan Temenggung Abdul Rahman).

Orang Kallang dikatakan telah lama berdiam jauh di paya bakau di Sungai Kallang. Mereka merupakan salah satu dari sekian banyak suku yang menjadi ikutan Temenggung dalam sejarah awal Singapura.

Meski bersifat nomad atau berpindah-randah, mereka tetap memancing di dekat muara sungai untuk menangkap ikan. Setelah Inggeris tiba di Singapura pada tahun 1819, mereka menjadi pendayung kapal untuk mengangkut penumpang antara kapal berlabuh dan pelabuhan.

Orang Kallang juga mengumpulkan dan memproses daun nipah (pohon kelapa) untuk membuat pembungkus rokok serta mengumpulkan kayu bakau untuk dijadikan bahan bakar. Itulah sebabnya ada kawasan Kampung Rokok di Lembangan Kallang.

ZAMAN MODEN

Pada abad ke-20 M, mereka tersebar ke pulau-pulau selatan pesisir, wilayah pantai utara pulau Singapura termasuk Tanjong Irau dan Punggol, serta Geylang.

Pada tahun 1948, ekoran Darurat yang diisytiharkan pemerintah British dalam rangka membendung kegiatan subversif komunis, Orang Selat, yang tinggal di perairan di sekitar pantai selatan Johor, pindah ke pantai utara Singapura.

Gambar Orang Laut. (Gambar: Petikan dari video)

Mereka mempunyai jaringan kekerabatan yang luas di beberapa pulau selatan Singapura seperti Pulau Semakau, Pulau Seraya dan Pulau Sudong, yang dihuni masyarakat Orang Laut dalam sejarah awal Singapura.

Memandangkan Orang Selat adalah nelayan pada waktu malam, perintah berkurung menyukarkan mereka mencari nafkah. Akibatnya, mereka meminta izin untuk bergerak melintasi Selat Tebrau ke Singapura.

Lama kelamaan, ramai Orang Laut yang terserap dalam budaya Melayu kerana memeluk Islam. Sebagai hasil dari usaha perbandaran dan pembangunan Singapura, pemukiman mereka dirobohkan, dan mereka dipindahkan ke flat perumahan umum di berbagai daerah di Singapura.

Encik Sarafian menangkis mitos dan tanggapan buruk tentang Orang Laut yang dianggapnya sebagai penyumbang kepada kemajuan Singapura tetapi sering diketepikan.

Maka itu, wajar juga kisah Orang Laut dipaparkan di Taman Warisan Melayu – serupa dengan usaha dilakukan untuk menampilkan etnik Melayu yang lain – demi menghargai peranan dan sumbangan mereka kepada rantau ini, khususnya Singapura.

Raman Daud. (Gambar: Raman Daud)

MENGENAI PENULIS

Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

Sumber : BERITAmediacorp/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa