Skip to main content

Iklan

Iklan

NUANSA: Adat Beraya dan Perubahan

Pandemik Covid-19 merobah banyak aspek kehidupan dunia, termasuk cara menyambut hari kebesaran. Umat Islam tidak terkecuali dalam memberikan makna atau erti baharu dalam pelbagai perayaannya. Tetapi di mana garis pemisah antara perayaan agama dengan adat atau budaya sesebuah kaum?

Anggaran Waktu Membaca:
NUANSA: Adat Beraya dan Perubahan

(Gambar: BAY ISMOYO/AFP)

BERITAmediacorp: Seperti tahun lalu, pandemik Covid-19 merobah banyak aspek kehidupan dunia, termasuk cara menyambut hari kebesaran. Umat Islam tidak terkecuali dalam memberikan makna atau erti baharu dalam pelbagai perayaannya. Tetapi di mana garis pemisah antara perayaan agama dengan adat atau budaya sesebuah kaum? MOHD RAMAN DAUD cuba mengupas persoalan ini.

Gambar hiasan.

(Gambar hiasan)

TAMPAKNYA Aidilfitri tahun ini masih serupa tahun lalu iaitu dalam suasana ‘darurat’ akibat wabak COVID-19 yang masih mencengkam. Mentelah lagi muncul gelombang demi gelombang jangkitan serta varian (corak) kuman yang baharu seperti berlaku di India yang kini dianggap ‘pusat jangkitan terbesar’.

Dalam rumpun Melayu di rantau ini, lazimnya Aidilfitri yang diberikan nama ‘Hari Raya Puasa’ atau ‘Lebaran’ (di Jawa) yang bererti ‘terlepas daripada ikatan berpuasa’ . Pada umumnya di rantau ini, Aidilfitri mendapat sambutan besar berbanding hari kebesaran Islam yang lain. Ini kerana terdapat tanggapan umum bahawa selepas menahan diri selama sebulan, tibalah masa untuk ‘bergembira’ atau ‘beraya’.

Boleh dikatakan resam atau adat menyambut hari raya berlaku agak baku (standard) dengan selesa seperti bermula dengan mandi, berpakaian indah untuk solat Aidilfitri, bermaaf-maafan pada pagi raya sesama anak-beranak dalam keluarga di bawah satu bumbung, kunjung-mengunjung yang disulami dengan berjamu selera dengan pelbagai lauk-pauk dan kuih-muih, bertanyakan khabar dalam suasana mesra dan juga bermaaf-maafan, memberikan duit raya untuk anak dan orang tua-tua.

KAWAH LEBUH RUMPUN MELAYU

Begitulah yang sudah teradat dalam sambutan Hari Raya di Singapura. Menurut Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad (1924-2016), Singapura merupakan ‘kawah lebur’ kosmopolitan yang menyatukan pelbagai suku kaum Melayu – dari yang terbesar, Jawa sehingga terkecil, Banjar. Mereka sudah mengakui diri mereka sebagai ‘masyarakat’ Melayu, hujahnya dalam adikaryanya, Nilam (2007). Oleh itu, suasana beraya yang teradat tadi boleh dikatakan berkembang sepanjang 200 tahun berlalu di nusa ini.

Menurut Cikgu Ariff, dalam membangun adat, insan saling ambil-mengambil amalan berguna antara satu sama lain selagi tidak melanggar hukum tertentu yang dianggap suci seperti agama.

Sebenarnya, resam atau ‘adat (dari kekata Arab) berlaku kerana mengambil kira keadaan dan masa. Orang tua-tua menilai adat dalam empat bentuk. Pertama dan utama, adat yang tidak boleh berubah atau dipanggil ‘adat nan kawi’ iaitu yang berlandaskan Islam. Tiga lagi cabang adat boleh berubah iaitu adat istiadat (seperti upacara perkahwinan), adat teradat (kebiasaan seperti mempelawa orang lain untuk sama-sama makan) dan adat yang diadatkan (atas arahan pihak berkuasa seperti raja atau pentadbir).

PERUBAHAN PADA ADAT

Bagi sambutan Aidilfitri, adat nan (yang) kawi (standard) termasuklah bertakbir, berpakaian baharu dan bersolat Aidilfitri di masjid dan amat digalakkan mengucapkan:

“Taqabballah minna wa minkum wa ja’alna min aidin wal faizin wal maqbulin”.
Ertinya: Semoga Allah menerima (amal ibadah Ramadan) kami dan kamu. Wahai Allah Yang Maha Mulia, terimalah! Dan semoga Allah menjadikan kami dan kamu termasuk orang-orang yang kembali dan orang-orang yang menang serta diterima (amal ibadah).

Tegasnya, Ramadan bak ‘madrasah’ atau sekolah yang memupuk umat Islam untuk membersihkan rohani dengan rasa syukur, sabar dan reda. Oleh itu, perayaan bagi kejayaan selepas Ramadan iaitu pada 1 Syawal (Aidilfitri) perlulah mencerminkan ciri-ciri ini – secara sederhana, rendah diri dan bebas maksiat.

(Gambar hiasan: Ahmad Gharabli/AFP)

Ternyata, terpapar yang teradat iaitu ucapan tadi sering diganti dengan “Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin” dan yang terkini pula ucapan bergaya anak-anak muda sebagai “mari kosong-kosong” (melunaskan hutang kesilapan sesama sendiri dan memulakan lembaran perhubungan baru).

Dalam aspek bermaaf-maafan, pernah seorang ustaz muda menulis di akhbar tempatan yang menyifatkan amalan itu sebagai bid’ah (Arab: suatu yang diada-adakan) dan wajar dibasmi. Namun ada kalangan asatizah mapan di sini tampak membolehkannya kerana dianggap suatu adat yang baik dan tidak bertentangan dengan Islam.

Adat beraya tidak lengkap tanpa hidangan seperti ketupat, lontong, lemang dengan lauk pauk seperti rendang, lodeh dan serondeng) dan kuih-muih. Sehingga pertengahan 1970-an, terdapat hidangan yang dipanggil ‘kepala meja’ seperti agar-agar besar yang perlu dipotong oleh pengunjung terhormat yang lazimnya memberikan duit raya yang besar kepada tuan rumah.

Namun suasana perayaan serba selesa dan meriah tadi menjadi semacam kerinduan sejak tahun lalu. Ini menyusuli langkah tegas pihak berkuasa mengarahkan tatacara khas demi mengatasi pandemik iaitu mengelakkan pertemuan, sentiasa menjaga jarak selamat, memakai pelitup dan kebersihan diri serta sekitaran. Ia bukan saja berlaku di Singapura, tetapi seluruh dunia.

ALTERNATIF

Sambutan raya pada intinya ialah proses diri dan bermasyarakat agar bersih daripada maksiat dan kembali ke jalan lurus (Islam).

Hari Raya juga bak proses “titik kembali” untuk melepaskan kerinduan seperti berlaku di negara jiran Malaysia dan Indonesia, iaitu ‘balik kampung’ atau ‘mudik’ – keluarga dari bandar kembali untuk beraya di kampung. Namun dek pandemik, proses ini dihentikan demi keselamatan nusa.

Mujurlah masih ada pilihan lain untuk tetap menghormati dan mengeratkan jalinan insan iaitu menerusi telefon bijak atau serba-serbi rangkaian (Internet of Things, IoT). Kosnya juga agak murah. Ini bermakna seorang nenek yang duduk berjauhan masih dapat menatap wajah cucunya dan bersembang. Sejak COVID-19, boleh dikatakan hidup tidak lengkap tanpa telefon bijak atau komputer. Kepesatan teknologi maklumat dan perhubungan pasti mempengaruhi cara insan berinteraksi tetapi adakah ini dapat menggantikan suasana intim lagi mesra bersandarkan hubungan bersemuka atau zahir? Apakah pula kesan psiko-sosial atau kejiwaan bermasyarakat kelak?

Apapun sambutan Aidilfitri masih tetap berlaku selagi berlaku pancaran syiar Islam yang teguh dan suasana yang aman lagi terpelihara. Pun hakikatnya, tidak semua negara seaman dan senyaman seperti Singapura. Hal ini harus kita insafi dan syukuri.

Setiap yang bermula akan berakhir. Begitu juga diharapkan pada pandemik ini. Yang pasti, adat kita berhubungan kian berubah bak dikatakan orang tua-tua – sekali bah, sekali pantai berubah. Semoga Aidilfitri yang bakal tiba dan luar biasa tetap membawa keceriaan serta menjadikan kita Muslim yang lebih baik.

Raman Daud. (Gambar: Raman Daud)

MENGENAI PENULIS
Raman Daud ialah seorang mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

Sumber : BERITAmediacorp/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa