NTUC Foodfare Anchorvale ditutup susuli 'penularan berterusan'; ujian percuma COVID-19 bagi pengunjung
Orang awam yang melanggani NTUC Foodfare di 308 Anchorvale Road dari 13 Mei hingga 30 Mei digalakkan supaya menjalani ujian swab COVID-19 setelah satu kelompok jangkitan dikesan di kedai kopi itu.
Cawangan NTUC Foodfare di 308 Anchorvale Road ditutup dari 30 Mei hingga 13 Jun. (Gambar: Lam Pin Min/Facebook)
SINGAPURA: Orang awam yang melanggani NTUC Foodfare di 308 Anchorvale Road dari 13 Mei hingga 30 Mei digalakkan supaya menjalani ujian swab COVID-19 setelah satu kelompok jangkitan dikesan di kedai kopi itu.
"Siasatan epidemiologi kami mendapati terdapat kemungkinan berlaku penularan di kedai kopi itu," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (30 Mei).
Cawangan Foodfare di Anchorvale itu ditutup kepada orang ramai selama dua minggu mulai semalam (30 Mei) untuk memutuskan sebarang rantaian jangkitan selain membantu ia menjalankan pembersihan rapi, menurut MOH. Ia akan dibuka semula pada 13 Jun.
Ujian swab percuma yang bertujuan untuk "mengurangkan kemungkinan risiko penularan dalam masyarakat yang belum dikesan dan lebih luas", jelas MOH.
Dalam satu catatan di Facebook pada Ahad, Foodfare menyatakan para anggota kakitangannya akan menjalani ujian COVID-19 semasa tempoh penutupan cawangan di Anchorvale itu.
Syarikat itu juga meminta maaf atas sebarang kesulitan dan menyatakan ia "tidak akan mengecualikan sebarang usaha" untuk melindungi para pelanggan dan kakitangan.
Mulai 31 Mei hingga 13 Jun, sesiapa saja yang mahu menjalani ujian swab boleh menghubungi atau menempah janji temu di Pusat Ujian Fullerton Healthcare yang terletak di Szechuan Court, pusat beli-belah Raffles City.
Mereka juga boleh pergi ke Hospital Raffles di 585 North Bridge Road atau Raffles Medical di Shaw Centre Orchard.
Orang awam juga boleh menempah janji temu di pusat-pusat pemeriksaan daerah berikut:
Bekas tapak Sekolah Rendah Da Qiao, 8 Ang Mo Kio Street 54
Bekas tapak Sekolah Rendah Coral , 20 Pasir Ris Street 51
Bekas tapak Sekolah Menengah Bedok North, 20 Jln Damai
Orang ramai juga boleh menghubungi lebih awal untuk menempah janji temu di mana-mana Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) Swab dan Hantar Pulang (SASH) di merata negara.
MOH menambah ujian swab bagi kanak-kanak tidak disediakan di pusat pemeriksaan daerah dan ia boleh dilakukan di SASH PHPC terpilih.
Hanya individu yang tidak menunjukkan gejala akan diterima di pusat pemeriksaaan daerah dan tempat ujian swab lain. Mereka yang sakit seharusnya berjumpa doktor atau mengunjungi SASH PHPC.
Orang ramai juga mungkin diarahkan ke tempat ujian lain sekiranya pusat pemeriksaan daerah penuh sesak, menurut MOH.
Mereka yang akan menjalani ujian swab harus membawa kad pengenalan mereka dan mengisytiharkan hari terakhir mereka mengunjungi NTUC Foodfare di 308 Anchorvale Road.
Setakat Ahad, NTUC Foodfare disenaraikan sebanyak empat kali dalam senarai MOH bagi tempat-tempat yang dikunjungi kes COVID-19 semasa tempoh berjangkit.
Fu Fa Food Court di Hougang Green disenaraikan enam kali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.