New Delhi lanjutkan sekatan koronavirus sedang kes India cecah rekod baru
Ibu negara India, New Delhi pada Ahad (25 Apr) melanjutkan sekatan pergerakan sedang krisis COVID-19 di negara itu bertambah buruk, dengan jumlah jangkitan dan kematian mencapai rekod tertinggi.
(Gambar: AP)
NEW DELHI: Ibu negara India, New Delhi pada Ahad (25 Apr) melanjutkan sekatan pergerakan sedang krisis COVID-19 di negara itu bertambah buruk, dengan jumlah jangkitan dan kematian mencapai rekod tertinggi.
Sistem penjagaan kesihatan bergelut untuk menangani lonjakan kes, dengan laporan tentang kekurangan teruk bagi bekalan oksigen dan ubat-ubatan, selain keluarga para pesakit merayu untuk bantuan di media sosial.
India mencatat 349,691 kes baru dan 2,767 kematian dalam tempoh 24 jam lalu, yang tertinggi sejak permulaan pandemik itu.
Bandar raya di utara yang menempatkan 20 juta penduduk dan paling teruk dilanda pandemik di India itu, melaksanakan sekatan pergerakan selama seminggu pada Isnin (26 Apr).
"Kami memutuskan untuk melanjutkan sekatan pergerakan selama seminggu, kata Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal.
"Wabak korona(virus) berterusan dan tidak reda."
Delhi pada Ahad (25 Apr) melaporkan hampir 23,000 kes baharu, dengan lebih 25 peratus daripada mereka yang diuji disahkan positif, selain mencatatkan 350 kematian.
Perdana Menteri Narendra Modi dalam ucapan bulanannya di radio pada Ahad berkata India dikejutkan dengan suatu 'ribut' dan meminta orang ramai supaya mendapatkan vaksin serta "tidak terpengaruh dengan sebarang khabar angin mengenai vaksin itu".
India sudah mentadbirkan hampir 141 juta suntikan vaksin setakat ini, namun para pakar berkata, program suntikan vaksin besar-besaran perlu ditingkatkan dengan banyak di negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk itu.
Selain itu, terdapat kritikan yang semakin meningkat terhadap pemerintah Encik Modi yang didakwa tidak bersedia menghadapi lonjakan kes itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.