Skip to main content

Iklan

Iklan

NEA, HDB siasat upacara persemadian di kolong flat HDB di Clementi

Gambar-gambar yang menunjukkan satu upacara persemadian yang diadakan di kolong blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang terletak di Clementi tular di media sosial baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Gambar-gambar yang menunjukkan satu upacara persemadian yang diadakan di kolong blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang terletak di Clementi tular di media sosial baru-baru ini.

Gambar-gambar yang tersebar itu menimbulkan keprihatinan dalam kalangan netizen yang menyuarakan rasa kurang senang terhadap jumlah orang yang agak ramai menghadiri upacara persemadian berkenaan di tengah-tengah pandemik COVID-19 dan langkah-langkah 'circuit breaker' yang dikuatkuasakan Pemerintah untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.

Insiden tersebut turut mendapat perhatian Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Dalam catatan Facebooknya pada Rabu (20 Mei), NEA sekali lagi mengingatkan bahawa di bawah Peraturan COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara), setiap individu mesti duduk di rumah masing-masing dan jangan keluar rumah kecuali perlu sepanjang tempoh 'circuit breaker' atau pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Meskipun orang ramai dibenarkan menghadiri upacara sedemikian semasa tempoh 'circuit breaker', ia mesti dihadkan kepada 10 orang atau kurang daripada jumlah tersebut dan dihadkan sebaik-baiknya kepada anggota keluarga saja.

Hal tersebut ditekankan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam catatan Facebooknya pada Rabu (20 Mei).

Dalam catatannya itu, NEA turut mendedahkan bahawa pihaknya sudah menjalankan pemeriksaan dan mengeluarkan amaran kepada keluarga serta rumah urus mayat yang mengendalikan upacara persemadian itu supaya mematuhi langkah-langkah pemutus jangkitan.

"Kami akan memantau upacara-upacara sedemikian dengan lebih rapi bagi memastikan langkah-langkah tersebut dipatuhi dan akan mengambil tindakan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan COVID-19," menurut NEA dalam catatan Facebooknya itu.

NEA selanjutnya menyatakan: "Syarikat dan rumah urus mayat mesti memastikan ahli keluarga mematuhi langkah-langkah tersebut. Orang ramai mesti memandang serius terhadap langkah-langkah pemutus jangkitan dan memberikan kerjasama untuk melindungi diri masing-masing, anggota keluarga dan orang lain di sekeliling mereka."

"Kami menggesa orang ramai supaya bersikap sensitif terhadap keluarga yang kehilangan orang tersayang dan mengelakkan daripada berkongsi gambar mahupun video upacara itu di wadah online.

"Sekiranya anda ternampak sebarang pelanggaran langkah #JarakSelamat, anda boleh membuat aduan menerusi aplikasi OneService agar agensi-agensi relevan boleh menyiasat perkara tersebut. Anda juga boleh memuat turun aplikasi OneService menerusi App Store di http://go.gov.sg/oneserviceapp-appstore dan Google Play di http://go.gov.sg/oneserviceapp-playstore," tambah NEA. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa