Skip to main content

Nadi Kampus

Wanita 24 tahun lakar peta di Google lokasi tandas awam dilengkapi kemudahan cebok

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita 24 tahun lakar peta di Google lokasi tandas awam dilengkapi kemudahan cebok

Gambar: toiletswithbidetsg/Instagram

Diterbitkan : 18 Apr 2024 02:31PM Dikemas Kini : 18 Apr 2024 08:40PM
SINGAPURA: Ada orang mungkin menjalin hubungan sosial kerana berkongsi minat dan hobi yang sama seperti berbasikal dan memasak.

Begitu juga dengan kumpulan Toilets with Bidets Singapore. Anggota kumpulan ini berganding bahu untuk mengumpul maklumat mengenai semua tandas awam, yang dilengkapi dengan kemudahan alat cebok (bidet) di Singapura.

Diasaskan oleh seorang warga Singapura yang berusia 24 tahun dan hanya ingin dikenali sebagai "R", Toilets with Bidets Singapore memperkenalkan satu peta di wadah Google Maps yang mengenal pasti tandas awam yang dilengkapi dengan alat cebok. Ia merupakan panduan online, yang boleh dimanfaatkan mereka yang ingin membuang air besar dengan tenang dan membersihkan diri mereka dengan sepuas-puasnya di tandas awam.

Dilancarkan pada 2022, Cik R memberitahu Mediacorp bahawa terdapat kurang daripada 30 lokasi yang dikenal pasti ketika itu.

Berdasarkan tinjauan Mediacorp pada Rabu (17 Apr), kini terdapat lebih 270 lokasi yang sudahpun dikenal pasti dengan tandas yang dilengkapi dengan kemudahan bidet pada peta tersebut di merata Singapura.

Mediacorp difahamkan halaman tersebut telah menarik sekitar 900,000 tontonan setakat ini. Ia bahkan, mencuri perhatian ramai baru-baru ini setelah tularnya sebuah video yang menampilkan peta tersebut.

Berdasarkan peta tersebut, kawasan tengah  Singapura nampaknya merupakan daerah terbaik sekiranya anda memerlukan bidet tatkala ke tandas awam. Ini memandangkan terdapat 108 tandas awam dilengkapi bidet dikenal pasti di daerah berkenaan.

Cik R, yang bekerja sepenuh masa sebagai seorang pentadbir, memberitahu Mediacorp, sebagai pengguna bidet, dia mendapati sukar untuk menemui bidet dalam tandas awam. Usaha untuk mencari maklumat online sebelum ini juga hanya sia-sia saja.

Selepas terbaca satu catatan di platform X pada 2021 yang tertera hasrat seseorang untuk menemui satu aplikasi yang dapat mengenal pasti semua toilet dilengkapi bidet di Singapura, dia pun membulatkan tekadnya untuk melakukan sesuatu.

"Saya melakukan perkara terbaik seterusnya (pada ketika itu) dan mencipta akaun Instagram."

Dia bermula dengan menyenaraikan sendiri tandas dengan bidet yang ditemuinya, tetapi kemudian, pengikutnya di Instagram mula menyerahkan maklumat kepadanya mengenai bidet lain yang mereka temui.

Selepas usaha mengumpul maklumat itu semakin rancak dijalankan, Cik R menyedari bahawa meletakkan data pada wadah seperti Google Maps dapat memudahkan pengguna.

Proses pengumpulan data mengambil masa kira-kira enam bulan sebelum menerima maklumat yang mencukupi untuk melakarkan peta tersebut.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita