Ustazah Suhaila Sulaiman, pendidik al-Quran untuk golongan kurang daya pendengaran
Ustazah Suhaila Sulaiman giat adakan kelas pembelajaran al-Quran di masjid setempat bagi golongan tersebut daripada orang dewasa sehinggalah kanak-kanak. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Golongan kurang daya pendengaran ini sebenarnya masih boleh menghayati sendiri pembacaan al-Quran. Kaedahnya? Dengan bahasa isyarat!
Bagi Ustazah Suhaila Sulaiman, beliau sedar akan keadaan itu ketika sedang menuntut di Universiti Sains Islam Malaysia dalam jurusan Quran Sunnah.
Daripada sekadar menyertai kegiatan sukarelawan, hati Ustazah Suhaila mula terpaut untuk terus berbakti kepada golongan kurang daya pendengaran demi memastikan mereka turut berpeluang untuk menimba ilmu dalam al-Quran.
"Dari situ, saya terfikir bagaimana di Singapura, bagaimana di tempat saya sendiri? Bagaimana kalau mereka tidak ada peluang dan tak ada akses yang mana mereka dapat sama dengan orang yang boleh mendengar? Peluang untuk belajar agama. Peluang untuk belajar al-Quran," kongsi Ustazah Suhaila kepada BERITA Mediacorp.
Beliau kini giat mengendalikan kelas al-Quran khususnya bagi golongan kurang daya pendengaran daripada orang dewasa sehinggalah kanak-kanak, di masjid setempat antara lainnya.
INI CARA GOLONGAN KURANG DAYA PENDENGARAN BACA AL-QURAN ...
Tidak jauh beza dengan kaedah pembacaan orang biasa, golongan kurang daya pendengaran juga terlebih dahulu mesti kenal huruf asas al-Quran iaitu Rasm.
Setelah itu, mereka akan diperkenalkan kepada rupa bentuk huruf dalam al-Quran apabila ia disambungkan daripada kedudukan awal, tengah dan akhir setiap perkataan.
Untuk sekadar membaca ayat-ayat dalam al-Quran, setiap satu huruf harus dinyatakan tanpa bersuara tetapi dengan diisyaratkan.
Misalnya, membaca perkataan "Bismillahirahmanirrahim", mereka perlu mengisyaratkan daripada huruf "ba" sehinggalah huruf "mim".
SEJAUH MANA MASYARAKAT SG PEKA TERHADAP KEPERLUAN GOLONGAN ISTIMEWA TERHADAP PEMBELAJARAN AL-QURAN?
Berkat sokongan daripada beberapa pihak terutama sekali masjid tempatan, Ustazah Suhaila dapat memanfaatkan ruang di masjid untuk mengendalikan kelas-kelas agamanya untuk golongan kurang daya pendengaran Muslim.
Walaubagaimanapun, bekas pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah itu berkata lebih banyak boleh dilakukan untuk memupuk kesedaran dalam membina sikap inklusif terhadap masyarakat kurang daya pendengaran dalam pembelajaran al-Quran.
Ini terutama sekali kerana terhadnya dana, sumber dan sokongan sedia ada untuk memastikan kelas pendidikan agama sedemikian boleh dimampui dan senang diakses golongan itu.
Beliau turut berkongsi wujudnya cabaran untuk memastikan golongan itu tahu tentang adanya kelas-kelas sepertimana dikendalikannya.
Kanak-kanak masih merupakan golongan usia sukar untuk didampingi Ustazah Suhaila.
Ustazah Suhaila turut akur bahawa terdapat segelintir masyarakat yang masih mempunyai tanggapan bahawa golongan istimewa itu terkecuali daripada ibadah seperti membaca al-Quran semata-mata kerana mereka kurang daya pendengaran.
"Pada pendapat saya, mungkin masyarakat kita masih kurang pengetahuan tentang adanya fiqh ibadah untuk (golongan kurang upaya) juga dan bukan sahaja untuk orang yang biasa dan kerana itu al-Quran dan juga ibadah-ibadah yang lain juga mereka tidak dikecualikan," jelas Ustazah Suhaila.
Lantas, beliau menekankan peri pentingnya untuk meningkatkan usaha memupuk pengetahuan dan persekitaran inklusif bagi golongan kurang upaya seperti golongan yang kurang daya pendengaran, untuk turut melaksanakan ibadah mereka sebagai seorang Muslim.
SEMANGAT PELAJAR PELBAGAI LATAR BELAKANG JADI SUMBER KEKUATAN USTAZAH SUHAILA TERUS MENGAJAR
Tugas sebagai seorang pendidik bukanlah mudah, apatah lagi dalam mengajar mereka yang kurang upaya.
Melihat raut wajah pelajar yang penuh kesyukuran diberi peluang mendalami al-Quran sudah cukup menjadi semangat bua Ustazah Suhaila untuk terus mendidik.
Mengenang detik peribadi bersama salah seorang pelajarnya yang menyentuh hati, Ustazah Suhaila berkongsi:
"Ada yang pernah berkongsi dengan saya. Mereka seorang sahaja yang pekak dalam keluarga. Adik-beradik yang lain semua pergi untuk belajar agama atau al-Quran dari kecil di masjid, tetapi hanya dia sahaja yang tidak mempunyai peluang itu. Sehinggalah bertemu dengan saya dan dia sangat bahagia kerana ada juga peluang untuk kenal dan belajar al-Quran."
Jelas jiwa pendidik ini tetap kental untuk terus menabur bakti khususnya bagi golongan kurang daya pengetahuan Muslim setempat.
Lebih daripada sekadar mengajar golongan itu membaca al-Quran, beliau menanam hasrat untuk mempergiat usaha membina persekitaran inklusif dalam pembelajaran al-Quran bagi golongan kurang daya pendengaran.
"Harapan saya sebagai seorang pendidik bukan sahaja untuk memastikan dan memperjuangkan usaha agar (golongan kurang upaya) dapat pendidikan agama tapi untuk juga menyebarkan kesedaran kepada yang lain bahawa mereka juga berhak untuk mendapat pendidikan agama yang sama seperti kita," ungkap Ustazah Suhaila penuh semangat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.