Ustaz muda SG tubuh pusat tuisyen sehenti bagi akademik, pengajian agama
SINGAPURA: Bagi ramai pelajar madrasah, cabaran terbesar bukan sekadar mengurus jadual yang padat, tetapi perlu berkejar dari satu pusat tuisyen ke pusat lain untuk memenuhi keperluan akademik dan pengajian agama.
Kurangnya pusat tuisyen yang menyatukan kedua-dua bentuk pembelajaran di satu lokasi akhirnya mendorong dua beradik alumni Madrasah Aljunied Al-Islamiah untuk menubuhkan ZH Learning Academy (ZHLA).
Ditubuhkan pada tahun 2023, ZHLA kini menjadi pusat tuisyen sehenti yang menawarkan kelas akademik dan pengajian agama bagi membantu pelajar mengimbangi kedua-dua aspek pembelajaran dengan lebih teratur dan berkesan.
Pusat ini juga diiktiraf oleh MUIS dan memenuhi keperluan di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (AMLA), sekali gus memastikan operasi dan pengajarannya selaras dengan garis panduan yang ditetapkan.
Ustaz Zakhir Hafizin Zakariyah, 24 tahun, salah seorang pengasas ZHLA, membesar bersama ibunya, Khairiah Dahari, dan neneknya, Ustazah Rohani, yang banyak menanam nilai kepentingan ilmu dan amanah dalam mendidik.
Didikan sejak kecil inilah yang membentuk keyakinannya untuk mengasaskan sebuah pusat pembelajaran.
MENGIMBANGI PENGAJIAN DAN ASPIRASI MENJADI PENDIDIK MUDA
Kini berada pada tahun akhir pengajian dwi ijazah dalam undang-undang sivil dan syariah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Ustaz Hafizin berkata keinginannya untuk menjadi pendidik lahir daripada keyakinan terhadap keberkatan ilmu bermanfaat.
“Setiap ilmu yang kita kongsi boleh memperbaiki kehidupan seseorang. Bila mereka mengamalkannya, kebaikannya berterusan dan kita juga mendapat ganjarannya. Itulah yang menjadikan bidang ini sangat bermakna bagi saya,” jelas beliau kepada Nadi Kampus.
Dalam masa yang sama, beliau berdepan cabaran besar untuk mengimbangi komitmen akademik dengan tanggungjawab mengurus sebuah pusat pembelajaran.
“Memang mencabar untuk mengurus pusat pembelajaran sambil menyiapkan pengajian undang-undang yang sangat ketat, tetapi saya percaya dengan disiplin, perancangan masa dan tawakal, semuanya boleh dicapai. Apa yang penting, jangan putus asa,” kata Ustaz Hafizin.
Sokongan keluarga, rakan-rakan dan para pelajar turut menjadi pendorong penting untuk beliau meneruskan usaha tersebut.
MEMUDAHKAN IBU BAPA MENGURUSKAN JADUAL ANAK
ZHLA menyediakan kedua-dua jenis pembelajaran di satu tempat - satu konsep yang jarang ditawarkan secara serentak kepada pelajar madrasah di Singapura.
“Kami mahu melahirkan cendekiawan yang holistik dan menguasai kedua bidang ilmu akademik dan pengajian agama agar dapat bentuk ummah masa hadapan,” jelas Ustaz Hafizin.
Lokasi Arab Street dipilih kerana kedudukannya yang strategik dan dekat dengan madrasah-madrasah utama seperti Madrasah Aljunied dan Alsagoff.
“Ramai pelajar perlu ke timur dan barat dalam keadaan kesuntukan masa. Dengan lokasi ini, kami cuba membantu menjimatkan masa dan memudahkan jadual harian mereka,” katanya.
BUKAN SAHAJA PELAJAR MADRASAH KE ZHLA
Selain pelajar madrasah, ZHLA turut menerima penyertaan pelajar sekolah kebangsaan yang mencari bimbingan akademik tambahan.
Ramai hadir atas saranan rakan sebaya atau keluarga setelah mendengar tentang pendekatan pengajaran di pusat itu.
Pada mulanya, pelajar sekolah kebangsaan mengikuti kelas akademik seperti Bahasa Melayu, Matematik atau Sains. Namun, ramai yang akhirnya memilih untuk mendalami pengajian agama.
"Pada mulanya mereka belajar pelajaran akademik dengan kita. Tetapi selepas itu mereka mendapat minat untuk menceburi dalam bidang agama juga," jelas beliau.
MEMBERI KEMBALI KEPADA MASYARAKAT
Sejak kecil, cita-cita Ustaz Hafizin bukan sekadar ingin menjadi seorang guru, tetapi menjadi seorang pemimpin yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Bagi beliau, ZHLA bukan sekadar sebuah institusi pendidikan, tetapi platform untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Bagi kami, ini adalah cara untuk memberi kembali kepada masyarakat. Selagi mampu, kami akan terus menyokong program-program yang membawa kebaikan kepada komuniti," ujar Ustaz Hafizin.
Pusat tersebut juga menawarkan yuran berpatutan agar pendidikan dapat diakses lebih ramai pelajar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.