Skip to main content

Nadi Kampus

Usahawan muda tempatan hasilkan koleksi tudung bertemakan F1 pada harga berpatutan

Anggaran Waktu Membaca:
Usahawan muda tempatan hasilkan koleksi tudung bertemakan F1 pada harga berpatutan

Pengasas Sairabyaisa Aryssa Iskandar, 19 tahun, yang sedang memakai selendang bawal 'papaya rules' dari koleksi tudung F1 rekaannya 'GRANDPRIX25.

SINGAPURA: Hujung minggu yang dinanti-nantikan peminat sukan permotoran semakin hampir – Grand Prix Singapura Formula 1 Singapore Airlines 2025 akan berlangsung bermula 3 Oktober ini.

Dan sempena demam perlumbaan Formula 1 (F1), usahawan muda Aryssa Iskandar, 19 tahun memanfaatkan peluang ini dengan menghasilkan koleksi tudung bertemakan F1 menerusi jenama tudungnya sendiri, Sairabyaisa.

Minat Aryssa terhadap perlumbaan F1 timbul ketika menghadiri perlumbaan tersebut di Singapura tahun lalu. 

Namun, sebagai gadis berhijab, Aryssa merasakan sukar untuk mengenakan pakaian yang sesuai mengikut tema acara tersebut. 

Aryssa Iskandar di acara perlumbaan F1 buat pertama kalinya tahun lalu di Marina Bay. (Gambar: Aryssa Iskandar)


" Tahun lepas sebelum pergi (perlumbaan) Formula 1 saya nak cari pakaian untuk ambil gambar dan sebagainya. Saya cuba pergi ke reruai F1 di Orchard, pertamanya pakaian dijual tidak sesuai untuk wanita yang berhijab dan harganya sangat mahal, " kongsi usahawan muda itu.

Dari situ tercetus idea untuk menghasilkan koleksi GRANDPRIX25 Sairabyaisa yang menampilkan tiga corak berbeza; 'Papaya rules', 'Smooth Operator' dan 'Slip Stream'.

SAIRABYAISA JENAMA SG BERANI REKA KOLEKSI HIJAB BERTEMA F1

" Saya rasa saya orang pertama (reka tudung bertema F1) di Singapura, mungkin juga di Asia. Kalau anda cuba cari, tidak ada satu jenama pun yang pernah buat koleksi tudung Formula 1, " kata Aryssa.

Setiap selendang mempunyai corak kereta F1, sekaligus menjadikan koleksi ini sangat unik dan menarik perhatian. 

Penuntut Politeknik Temasek ini ambil masa kira-kira sebulan setengah untuk reka corak, dan memilih warna bagi tudung-tudung koleksinya itu. 

"Saya ada buat beberapa draf rekaan koleksi ini. Faktor yang dipertimbangkan adalah saya tidak mahu terlalu banyak elemen kerana saya rasa kalau pakai baju jersi dengan tudung yang bercorak-corak, susah nak gayakan, " tambahnya pula.

Model Sairabyaisa gayakan selendang bawal 'smooth operator' yang sudah habis dijual. (Gambar: Aryssa Iskandar, @Sairabyaisa/Instagram)
Usahanya itu terbukti berbaloi atas sambutan yang memberangsangkan sejak koleksi ini dikeluarkan. Malah, corak 'Smooth Operator' sudah habis ditempah pelanggan manakala stok bagi corak 'Papaya rules' dan 'Slip Stream' sangat terhad.

KOLEKSI GRANDPRIX25 PENTING BERGAYA, DAN HARGA MAMPU DIMILIKI

Selendang ini dijual pada harga S$26 sahaja. 

"Saya letak harga itu kerana saya bimbang orang tidak mahu beli kalau mahal sangat. Sebab utama saya hasilkan koleksi ini juga kerana saya mahu adakan pilihan yang mampu dimiliki bagi wanita yang berhijab, " jelasnya kepada BERITA Mediacorp.

Selain berharap dapat melihat pelanggan menggayakan selendang jenamanya pada hari perlumbaan yang beliau bakal hadiri, Aryssa juga berkata " Saya harap bahawa koleksi GRANDPRIX ini sesuatu yang saya hasilkan pada tahun-tahun akan datang."
 

Sumber : BERITA Mediacorp/SF
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita