Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Ungu Pen lancar 2 buku baru; perkaya bahan bacaan Melayu genre fiksyen untuk remaja

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Mengisi jurang bagi sumber bacaan Melayu tempatan dalam genre fiksyen, khususnya untuk para remaja dan belia.

Itulah antara dorongan utama syarikat penerbitan Ungu Pen, apabila ia melancarkan dua buku cerita terbaru - Telefon Bimbit Puaka and Bebas: Antologi Fiksyen Remaja - sempena Pesta Penulis Singapura 2022.

‘Bebas: Antologi Fiksyen Remaja’ disasarkan kepada golongan pembaca berusia 13 tahun dan ke atas manakala ‘Telefon Bimbit Puaka’, sesuai bagi yang berusia lapan tahun dan ke atas.

Majlis pelancaran buku-buku tersebut diadakan pada Ahad (6 Nov) di Muzium Tamadun Asia.

Menyedari kurangnya penulisan bahasa Melayu untuk para pelajar di peringkat sekolah rendah atasan dan menengah, Ungu Pen mempelawa para penulis tempatan untuk mencoret kisah-kisah pendek untuk memenuhi keperluan pembaca sasaran.

Seramai 10 penulis tempatan tampil menyumbang karya masing-masing dalam buku berjudul ‘Bebas Antologi Fiksyen Remaja’. Buku itu bertujuan merungkai isu-isu yang sering kali membelenggu para belia seperti konflik dengan kawan-kawan mahupun anggota keluarga serta isu sosial penting yang jarang dibincangkan.
Cik Atiqah Zulkiflie, 19 tahun, mahasiswi Universiti Nasional Singapura (NUS). (Gambar: Ungu Pen)
Antara penulis yang terlibat sama termasuk Cik Atiqah Zulkiflie, 19 tahun, mahasiswi Universiti Nasional Singapura (NUS). Malah, beliau merupakan antara penulis termuda dalam kalangan penulis-penulis mapan itu.

Menerusi karya sulungnya yang berjudul ‘Berani Bersuara’ yang disertakan dalam ‘Bebas: Antologi Fiksyen Remaja’, Cik Atiqah berharap agar beliau dapat memberi galakan kepada para belia seusianya yang mungkin bersifat pemalu supaya mempunyai sisi berani untuk mengorak langkah dalam apa jua peluang yang ada dalam kehidupan.

Buku ‘Telefon Bimbit Puaka’ pula merupakan hasil karya seorang penulis muda, Cik Atikah Hakim yang juga merupakan seorang guru sekolah menengah tempatan. Bertemakan misteri dan pengembaraan, buku tersebut menyulam kisah seorang murid sekolah rendah yang mempunyai pengalaman pelik dengan telefon bimbit barunya.
Buku ‘Telefon Bimbit Puaka’ pula merupakan hasil karya seorang penulis muda, Cik Atikah Hakim yang juga merupakan seorang guru sekolah menengah tempatan. (Gambar: Ungu Pen)


Sumbangan daripada para penulis muda seperti Cik Atiqah amat dialu-alukan oleh pengasas Ungu Pen, Cik Maria Mahat. Malah, Cik Maria menekankan peri pentingnya untuk menyediakan wadah sebegini agar dapat dimanfaatkan para penulis muda dalam menyuntik semangat untuk menghasilkan karya-karya Melayu.

Mengulas mengenai pendekatan yang diambil Ungu Pen dalam menghasilkan dua buku terbaru tersebut, Cik Maria berkata: “Menjangkaui aspek sastera, kami juga ingin memanfaatkan peluang ini untuk mengetengahkan isu-isu dan konflik-konflik yang diketahui dan boleh dikaitkan oleh para pembaca, sebagai cara untuk bukan sahaja mengekalkan minat dan mencetuskan rasa ingin tahu, bahkan sebagai cara untuk mengundang para pembaca muda kami untuk melakukan renungan.”

Pengasas Ungu Pen, Cik Maria Mahat. (Gambar: Ungu Pen)
Cik Maria juga berkongsi kepada BERITAmediacorp pengamatannya mengenai pasaran bahan bacaan Melayu genre fiksyen, yang sarat dengan teladan dan mudah dikaitkan oleh para belia dalam konteks kehidupan di Singapura, kian terhad.

Dalam pada itu, Cik Maria menjelaskan bahawa Ungu Pen berazam untuk meneruskan pendekatan sebegini dalam memperkayakan bahan-bahan bacaan bagi para remaja dan belia dalam usaha memperdalam rasa cinta kepada bahasa Melayu dan membangunkan kesusasteraan.

Cik Maria turut menyifatkan penghasilan 10 buku secara keseluruhan bagi tahun ini, sebagai pencapaian yang memberangsangkan dalam Ungu Pen sebagai penerbit bebas buku tempatan, meneruskan pendekatan demikian.

Kedua-dua buku tersebut dijual pada harga S$15 senaskhah.

Anda yang berminat untuk membelinya, boleh mendapatkan buku-buku tersebut di laman www.ungupen.com atau di kedai buku di The Arts House, Tingkat 1 sepanjang berlangsungnya Pesta Penulis Singapura 2022.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan