Skip to main content

Nadi Kampus

Tidak fasih berbahasa Melayu, 2 siswa NTU sahut cabaran serlah kebolehan dalam pertandingan dikir barat

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak fasih berbahasa Melayu, 2 siswa NTU sahut cabaran serlah kebolehan dalam pertandingan dikir barat

Dua mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Rayyan Lim Rui Yang (kanan) dan Bryan Loo Qi Le (kiri), merupakan anggota kumpulan Nusa Sarjana, kumpulan dikir barat lelaki NTU yang akan berentap di pertandingan PSS 2025. (Gambar: Syafeera Sofian/BERITA Mediacorp)

SINGAPURA: Tidak kira apa jua peranan seseorang dalam kumpulan dikir barat, pemahaman dan penghayatan terhadap setiap bait lirik yang didendangkan amatlah penting untuk memastikan penyampaian yang berkesan dan penuh makna.

Tugas ini bukan mudah bagi para pelajar Melayu, apatah lagi bagi mereka yang tidak fasih berbahasa Melayu. 

Dua mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Rayyan Lim Rui Yang dan Bryan Loo Qi Le, tidak menjadikan tahap penguasaan bahasa Melayu yang rendah sebagai hambatan untuk berkecimpung dalam seni dikir barat, bahkan untuk beradu kebolehan di pentas Piala Suara Serumpun (PSS). 

Nusa Sarjana merupakan antara 22 pasukan dikir barat yang akan berentap di pentas Piala Suara Serumpun (PSS), yang bakal berlangsung pada Sabtu (11 Okt) di The Theatre at Mediacorp. (Gambar: Syafeera Sofian/BERITA Mediacorp)

Mereka merupakan anggota kumpulan Nusa Sarjana, kumpulan dikir barat lelaki NTU yang akan berentap di pertandingan PSS 2025. 

Pertandingan tersebut akan menyaksikan 22 pasukan dikir barat – terdiri daripada 11 pasukan wanita dan 11 pasukan lelaki dari politeknik, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) serta universiti - bersaing bagi merebut gelaran juara. Ia bakal berlangsung pada Sabtu (11 Okt) di The Theatre at Mediacorp. 

SEMANGAT ATASI SEGALA CABARAN DEMI PERTAHAN PRESTASI NUSA SARJANA DI PENTAS PSS

Meskipun baru dua bulan berjinak-jinak dalam seni dikir barat, Rayyan tidak mahu melepaskan peluang untuk tampil bersama rakan sepasukannya untuk mempertahankan prestasi Nusa Sarjana di pentas PSS. 

Berasal daripada keluarga kacukan Cina-Melayu, Rayyan mula mengenali dikir barat ketika menuntut di NTU.

“Apabila saya awalnya terdedah kepada dikir barat, saya mendapati ia sangat menarik, mereka bertepuk tangan sambil menyanyi mengikut irama, mengikut tempo,” kongsi mahasiswa Tahun 1 dalam jurusan Sains Matematik dan Analitik Data.

Berbekalkan pengalaman muziknya semasa menyertai kumpulan pancaragam di Sekolah Menengah West Spring, Rayyan mudah menyesuaikan diri dengan irama serta nada yang diperlukan dalam persembahan dikir barat. Maka, tidak mengejutkan sama sekali, beliau diberi peranan sebagai awok-awok dalam penampilan kali ini.

Rayyan mengakui bahawa memahami bait-bait lirik lagu dalam dikir barat merupakan cabaran terbesar yang perlu dihadapinya sepanjang membuat persiapan.

Selain itu, beliau turut menghadapi kesukaran untuk memahami arahan serta tunjuk ajar daripada para mentor dalam usaha memperbaiki mutu persembahannya. Beliau bagaimanapun bersyukur atas kesabaran rakan-rakan sepasukannya, yang sentiasa membantu dan membimbingnya sepanjang latihan.

“Apabila senior atau mentor kami beri arahan dan penjelasan - contohnya, dia mahu ini dilakukan dengan cara tertentu - biasanya saya tidak akan faham. Jadi, saya perlu melihat orang di sebelah dan tanya, "Apa maksudnya?". Ia adalah cabaran untuk orang di sebelah saya,” kongsinya. 

Rayyan malah, sempat berkongsi bahawa kadang-kala, beliau meminta bantuan daripada ibunya yang berbangsa Melayu. 

“Saya bertanya kepada ibu saya apa maksud lirik ini semua. Bila beliau lihat lirik tersebut, dia beritahu saya dia tidak faham apa-apa sebab perkataannya sangat susah,” seloroh Rayyan, sambil tertawa. 

Rayyan Lim Rui Yang (tengah) bersama kedua ibu bapanya. (Gambar: Rayyan Lim Rui Yang)

Apa yang jelas, sokongan daripada ibu bapanya - termasuk bapanya yang berbangsa Cina - menjadi sumber kekuatan dan dorongan utama buat Rayyan untuk terus memberikan yang terbaik dalam setiap latihan dan persembahan.

PSS 2025 bakal menjadi kemunculan kedua Bryan, yang merupakan pelajar berbangsa Cina dari Malaysia. Namun, bagi mahasiswa NTU Tahun 3 dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal itu, Bryan akur bahawa ia masih mencabar untuk melakukan persiapan bagi pertandingan kali ini. 

Beliau merupakan pemain marakas dalam kumpulan paluan Nusa Sarjana - peranan yang juga dipikulnya pada tahun lalu.

Bryan (paling kiri di barisan hadapan) bergambar bersama pasukan Nusa Sarjana, yang beraksi di pentas Piala Suara Serumpun pada 2024. (Gambar: Serumpun Dk Sg)

“Marakas sebenarnya bukan sebuah instrumen yang mudah kerana anda mesti memastikan bunyinya jelas,” ujarnya.

Ditubuhkan pada 2016, Nusa Sarjana berjaya meraih gelaran Naib Juara PSS tahun lalu. Justeru, tidak hairanlah jika Rayyan dan Bryan merasakan tekanan dan debarannya untuk mengekalkan prestasi tersebut.

Nusa Sarjana berjaya meraih gelaran Naib Juara PSS tahun lalu. (Gambar: Serumpun Dk Sg)

“Saya rasa tekanannya terutama daripada mereka yang mempunyai pengalaman sebelum ini dalam dikir barat. Mereka jangka untuk kami cuba mencapai standard itu. Ia sedikit menekankan, tetapi saya faham sepenuhnya. Kerana ini adalah pertandingan. Jadi, walaupun kami semua mengatakan ia sekadar untuk kami berseronok, kami juga sememangnya mahu menampilkan persembahan yang baik,” luahnya kepada BERITA Mediacorp. 

Bagi Bryan pula, penglibatannya dalam dikir barat untuk tahun kedua didorong oleh rasa keseronokan dan semangat setiakawan yang dirasai bersama pasukannya, baik sewaktu latihan mahupun di gelanggang PSS. 

Yang pasti, kedua-dua Rayyan dan Bryan yakin kebolehan pasukan mereka untuk memberi saingan sengit terhadap pasukan lain di medan pertandingan PSS 2025.

Kemuncak edisi ke-16 pertandingan dikir barat itu akan diserikan dengan kehadiran Menteri Negara Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital, Rahayu Mahzam selaku tetamu kehormat.

Pertandingan PSS akan ditayangkan secara langsung di mewatch dan Mediacorp Entertainment di saluran YouTube.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita