Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Tampil kali pertama di Piala Suara Serumpun 2024, SIT tekad beri saingan sengit

Tidak dinafikan “rasa takut” timbul setiap kali kumpulan Armada Aria dan Intan Sujana dari Institut Teknologi Singapura (SIT) fikirkan akan penyertaan mereka dalam Piala Suara Serumpun (PSS).

Anggaran Waktu Membaca:
Tampil kali pertama di Piala Suara Serumpun 2024, SIT tekad beri saingan sengit

Kumpulan Armada Aria (kiri) dan kumpulan Intan Sujana (kanan).

SINGAPURA: Tidak dinafikan “rasa takut” timbul setiap kali kumpulan Armada Aria dan Intan Sujana dari Institut Teknologi Singapura (SIT) fikirkan akan penyertaan mereka dalam Piala Suara Serumpun (PSS).

Manakan tidak, mereka bakal bersaing dengan pasukan dikir barat Institut Pengajian Tinggi (IHL) lain yang jauh lebih berpengalaman.

Armada Aria dan Intan Sujana merupakan satu-satunya pasukan yang menyertai pertandingan itu buat julung-julung kalinya tahun ini.

Sungguhpun begitu, ia tidak sekali-kali mematahkan semangat kedua-dua kumpulan dikir barat lelaki dan wanita SIT daripada memberikan persaingan sengit di PSS.

Armada Aria dan Intan Sujana merupakan antara 21 pasukan dari ITE, politeknik dan universiti yang bakal beradu kebolehan pada Sabtu (12 Okt), untuk merebut gelaran juara Piala Suara Serumpun 2024.

Dianjurkan oleh Serumpun Dk Sg, pertandingan itu, yang bertemakan “Cita Sempurna Warisan Sejarah”, bakal berlangsung di The Theatre Mediacorp.

Saban tahun, pertandingan itu dinanti-nantikan semua pasukan dikir barat dari IHL, memandangkan ia dianggap sebagai wadah untuk mereka menonjolkan kehebatan masing-masing, di samping melestarikan seni dikir barat.

Maka tidak hairanlah, penyertaan dalam PSS bagai impian menjadi kenyataan bagi pasukan Armada Aria dan Intan Sujana!

Perjalanan untuk mengecap impian yang dipendam mereka itu sejak ditubuhkan lewat tahun 2023, tentunya tidak datang bergolek.

KURANG SETAHUN DITUBUHKAN, SUDAH BERANI MASUK GELANGGANG PSS

Ditanya apa yang meyakinkan kedua-dua pasukan dari SIT itu bahawa mereka sudah bersedia untuk ‘masuk gelanggang’ Piala Suara Serumpun, kapten Intan Sujana, Sumayyah Md Shariff berkata: “Walaupun kumpulan kami baharu, kami dapat banyak sokongan daripada sekolah untuk menubuhkan kumpulan kami. Dan juga dedikasi, kerja keras daripada ahli-ahli kumpulan kami, meyakinkan kami bahawa kami bersedia untuk bertanding.”
Kapten Intan Sujana, Sumayyah Md Shariff, yang merupakan mahasiswa SIT dalam jurusan kejuruteraan sivil.
Mahasiswa SIT dalam jurusan kejuruteraan sivil itu merupakan salah seorang daripada lima mahasiswa yang mengasaskan kumpulan Armada Aria dan Intan Sujana tahun lalu.

Beliau berkongsi bahawa penubuhan kumpulan dikir barat tersebut didorong atas kesedaran bahawa terdapat minat yang semakin meningkat dalam kalangan mahasiswa SIT terhadap dikir barat.

Bermula dengan hanya lima orang sahaja, kumpulan Armada Aria dan Intan Sujana kini dianggotai hampir 50 mahasiswa SIT.
Sumayyah turut menarik perhatian bahawa sebilangan besar anggota kumpulan Armada Aria dan Intan Sujana yang bakal bersaing di PSS, merupakan mahasiswa SIT tahun pertama. Kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam seni dikir barat. Malah, mereka baru saja berjinak-jinak dalam seni dikir barat kurang tiga bulan lalu.
“Ada beberapa ahli kumpulan kami baharu dalam dikir barat. Kami perlu mula daripada asas dikir barat. Kami perlu lebih masa, untuk memastikan semuanya berada di tahap yang sama,” jelas siswa berusia 23 tahun itu kepada BERITA Mediacorp.

Namun, kesungguhan yang dipaparkan anggota kumpulan dikir barat tersebut untuk menyerap segala ilmu dan menggilap kemahiran dikir barat masing-masing sepantas mungkin, meyakinkan lagi kumpulan itu terhadap ketersediaan mereka untuk menyertai PSS.

MAHASISWA SIT MENUNTUT DI 3 KAMPUS BERBEZA - ANTARA CABARAN BESAR DIHADAPI

Dengan pemindahan sebilangan mahasiswa ke kampus baharu SIT di Punggol pada September lalu, ia sedikit sebanyak menimbulkan cabaran kepada kumpulan Armada Aria dan Intan Sujana, sedang mereka giat melakukan persiapan menjelang PSS.

“Sebagai ketua pelajar, kami cuba sedaya upaya untuk menjadualkan latihan sesuai dengan jadual mereka. Buat masa ini, kami berada di kampus baharu SIT. Mahasiswa kami dari kampus yang berbeza. Agak sukar untuk mereka ke latihan kerana ada juga dari SIT di Dover atau SIT di Politeknik Nanyang (NYP),” ujar Sumayyah.

“Kami perlu banyak berkomunikasi dengan pasukan kami supaya semua boleh memberi komitmen kepada latihan dan kami dapat meneruskan dengan persediaan kami menjelang PSS,” tambahnya.
Dengan hari pertandingan PSS semakin hampir, persediaan mereka semakin rancak dilakukan, di mana mereka kini berlatih empat kali seminggu berbanding dua kali sahaja sebelum ini.

Lebih menyukarkan lagi, tempoh persediaan bagi PSS bertepatan dengan waktu peperiksaan mahasiswa SIT itu.

“Kami selalu memberi motivasi kepada satu sama lain semasa latihan. Saya kagum dengan dedikasi mereka mengimbangi pelajaran dan latihan intensif bagi PSS,” ujar Sumayyah, mengenang kegigihan rakan-rakan seperjuangannya itu.

APA STRATEGI SIT BAGI PSS

Kumpulan Armada Aria dan Intan Sujana sudah mula membuat persediaan mereka bagi PSS, seawal bulan Jun lalu.

Selain dari segi persembahan, anggota dikir baratnya itu juga perlu menulis bait-bait lirik dikir barat mereka sendiri, yang merupakan salah satu daripada syarat yang ditetapkan pihak penganjur PSS.

“Bagi SIT Dikir Barat, bertanding di PSS bukan sekadar pertandingan saja, ia juga memberi peluang menjangkaui batasan kemampuan kami. Kami juga dapat peluang untuk mewakili sekolah kami, dan juga menunjukkan perkembangan SIT Dikir dalam masa yang singkat,” kata Sumayyah.

Tambahnya, kumpulan Armada Aria dan Intan Sujana tidak melakarkan sebarang strategi tertentu mahupun meletakkan sebarang jangkaan bagi PSS.

Apa yang lebih penting bagi mereka, penyertaan sulung mereka dalam PSS itu diharapkan dapat menjadi batu loncatan bagi kumpulan Armada Aria dan Intan Sujana untuk terus berkembang.

“Harapan kami untuk PSS adalah untuk memberi sebaik mungkin. Dan juga mewakili sekolah dengan bangga,” kongsi Sumayyah.

“Menjangkaui PSS, kami harap kami dapat berkembang sebagai satu kumpulan dan kami lebih memahirkan ilmu dikir barat, menginspirasikan mahasiswa SIT lain untuk menyertai kumpulan kami dan mengekalkan tradisi dikir barat.”

Piala Suara Serumpun boleh diikuti dari 11.00 pagi hingga 7.30 malam pada Sabtu (12 Okt) secara langsung di platform mewatch dan Mediacorp Entertainment di YouTube.
Sumber : BERITA Mediacorp/SS/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan