Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan: Bisikan Pena lestari sastera dalam kalangan belia

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Kita perlu bekerjasama memupuk minat dalam bahasa Melayu serta melahirkan generasi yang aktif, kreatif dan kritis.

Begitulah yang dikongsi AP Sembawang GRC, Mariam Jaafar, yang menghadiri acara sayembara Bisikan Pena 2023 pada Sabtu (11 Mac).
 
(Gambar: Bisikan Pena)
Buat julung-julung kalinya, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS) mengadakan acara sayembara bagi Bisikan Pena secara gah setelah dua tahun berdepan dengan pandemik.

Bisikan Pena merupakan satu acara teras di bawah naungan PBMUKS yang bertujuan untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan belia dan memupuk kesedaran tentang isu-isu sosial dalam masyarakat Melayu melalui karya-karya puisi dan cerpen.

Bisikan Pena, yang lebih dikenali sebagai Pesta Pantun, sudah diperbaharui untuk merangkumi peraduan cerpen di samping peraduan puisi.

“Ini merupakan kali pertama acara sayembara kami dibuka kepada tetamu yang lebih banyak disebabkan penyekatan pandemik. Bagi pihak kami, ini merupakan satu pemandangan yang bermakna kerana kami dapat mengumpulkan para belia yang mempunyai minat penulisan di bawah satu bumbung bersama pengiat-pengiat lain,” kata Encik Hasif Salehin, penyelaras projek Bisikan Pena.

Seramai 105 pelajar dari 20 buah sekolah menengah, maktab rendah dan politeknik menjalani bengkel-bengkel yang dikendalikan penulis berpengalaman seperti Dr Sa’eda Buang, Encik Shahril Samri dan Cikgu Asnida Daud sebelum menghasilkan karya mereka.
(Gambar: Bisikan Pena)
Para pelajar didedahkan kepada cara menjana idea, berfikir dengan kritis, menyampaikan puisi dan menerapkan kemahiran teknologi dalam karya mereka.

“Penerapan teknologi dalam karya para peserta penting untuk kekal relevan dalam dunia hari ini. Dalam bengkel saya, saya telah menceritakan bagaimana teknologi dapat mengindahkan lagi penyampaian puisi mereka,” kata Cikgu Asnida Daud yang juga Pakar Kanan di Kementerian Pendidikan, Bahagian Teknologi Pendidikan.

Tahun ini, penganjur menetapkan “Pencarian Jati” sebagai tema Bisikan Pena 2023 untuk menggalakkan para pelajar berfikir tentang identiti mereka dari pelbagai sudut pandangan seperti seorang pelajar, anak bangsa, manusia dan sebagainya.

Bagi peraduan cerpen, karya mereka perlu mengikuti sub-tema “Muhasabah” yang bertujuan untuk menggalakkan para belia merenung tentang jati diri mereka dan karya mereka dinilai penulis Cik Nur Khairiah Amin.

Karya dan penyampaian puisi yang dinilai pendidik Cik Annaliza Bakri dan penulis Encik Farihan Bahron diberikan tema “Kemalaran Jati Dalam Perubahan” serta “Kesejatian vs Kepalsuan”.
(Gambar: Bisikan Pena)
Tahun ini juga, dua piala baru telah diperkenalkan - Piala Persembahan Terbaik dan Piala Pemuisi Harapan - bagi menghargai usaha para pelajar dalam berkarya.

“Pertandingan ini merupakan pendedahan bagi saya mendalami dunia sastera Melayu. Bengkel-bengkel yang dikendalikan Cikgu Asnida telah membuka mata saya terhadap penerapan teknologi dalam persembahan karya-karya kami,” kata Arina Hadirah Suhardi dari Madrasah Alsagoff Al-Arabiah yang merangkul Piala Pemuisi Haparan petang itu.

Ibu bapa dan anggota keluarga juga turut diundang untuk memberi semangat kepada para peserta dan mendengar hasil karya para pelajar.

Berikut merupakan para pemenang semalam:

Peraduan Cerpen

Juara - Muhammad Zihny Zaini dari Gan Eng Seng School
Naib Juara - Nusaibah Binte Naeim dari Cedar Girls' Secondary School
Tempat Ketiga - Iffah Aishah Binte Muhmmad Nazri dari Madrasah Alsagoff Al-Arabiah

Peraduan Puisi (13 - 15 tahun)

Juara - Sekolah Menengah Changkat Changi
Naib Juara - Sekolah Menengah Tanjong Katong
Tempat Ketiga - Sekolah Menengah Queenstown
Piala Persembahan Paling Kreatif - Sekolah Menengah Tanjong Katong
Piala Pemuisi Harapan - Nur Iqmal Yaqin Bin Shaerul Nizam dari Sekolah Menengah Changkat Changi

Peraduan Puisi (16 - 19 tahun)

Juara - Maktab Rendah Kebangsaan Kumpulan 1
Naib Juara - Madrasah Alsagoff Al-Arabiah
Tempat Ketiga - Maktab Rendah Kebangsaan Kumpulan 2
Piala Persembahan Paling Kreatif - Politeknik Republik
Piala Pemuisi Harapan - Arina Hadirah Binte Suhardi dari Madrasah Alsagoff Al-Arabiah

MENGENAI PENULIS:
Muhammad Danial Afiq Bin Fharick, ialah mahasiwa Tahun 1 Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau merupakan Ketua Program bagi acara ‘Bisikan Pena’.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan