Syair Sanjungan Ilmuan Adaban - Mengenang Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas
Tampil tokoh memberi kepimpinan
Gagasan besar mencerah ummatan
Dengan niat memperteguh peradaban
Itulah tuan Profesor SMN al-Attas
Hayat ilmunya tertuang di kertas
Dengan kajian yang asli dan membekas
Hujahnya pepat, halus dan keras
Pada Pengajian Melayu bermula kerjaya
Ilmuan berbangsa ke medan menara
Karyanya padu tergilap bahasa
Sambil berhujah memahat gaya
Kalau ditinjau pastilah kagum
Karyanya terhimpun khas dan umum
Tanggapan rancu diselar didentum
Saranan hujahnya teori terkuntum
Pengajian Melayu dibangunkan mula
Peradaban Melayu dan Islam bersenyawa
Inti menjelaskan budaya dan bangsa
Menepis apa yang penjajah kata
Islam bukan berkulit menempel
Pada kebudayaan Melayu ia mengepil
Islam bukan mengajarkan kerdil
Namun rahmatan bertunjang adil
Andaian orientalis itulah disanggah
Prof Naguib al-Attas berhujah membedah
Itulah terlafaz di sebuah kuliah
Pada 1972, di UKM kampus nan megah
Kebudayaan Melayu tunjang negara
Malaysia maju berbagai bangsa
Peradaban besar digembleng sama
Islam, Kongfucu, Hindu dan Buddha
Itulah nada pandangan luas
Dari ilmuan yang berfikiran bebas
Peradaban manusia saling dikemas
Agar manusia insaf dan cerdas
Bila manusia beradab berbangsa
Kemuliaan diri dapat diganda
Itulah anjuran dasar agama
Itulah adab diberikan makna
Seorang ilmuan yang gagasannya luas
Ilmu yang dibaca melega dan memuas
Itulah anjuran beradab lekas
Agar ilmu tak diinjak, tak dipepas
Beliaulah ilmuan mengembailkan tempat
Pada Hamzah Fansuri bersufi Wahdat
Kajian PhDnya besar manfaat
Perbetuli tanggapan yang tidak tepat
Bacaan sejarah disusun berhemah
Asal Batu Bersurat tahunnya disanggah
Naskhah-naskhah lama sama dibedah
Inilah ilmuan yang membangun menambah
Kesimpulan Nuruddin Ar-Raniri ia perbetuli
Tersimpang amalan suluk juga diteguri
Sebab kerancuan sama dicari
Balah bukunya mengupas Amalan Sufi
Makna dan asal syair dikaji
Kupasan panjang amat teliti
Pengajian Melayu dapat manfaati
Sumbangan Islam pada sastera diiktirafi
Itulah sama diterbit Aqaid al Nasafi
Naskhah tertua zaman Islamisasi
Bagaimana ajaran Islam mengawali
Mentauhidkan Nusantara dengan saksi
Prof Naguib berjasa besar sebagai ilmuan
Ketua di Jabatan Bahasa dan Persuratan Melayu ia bermulaan
Kemudian di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan
Nanti terbangun ISTAC pusat kajian Keislaman
Diputerakan pada 5 Ogos 1931 di Bogor
Beliau berkerjaya sampai tersohor
Sebagai Profesor Diraja beliau dimasyhur
Itulah jasawan ilmuan yang memegang obor
Obor Ilmulah membangun adab
Sehingga manusia dapat diharap
Menjadikannya mulia dan bertanggungjawab
Di depan adil dan akal dapat ditanggap
Kini tirai usia menutup sudah
Prof Naguib kembali ke Rahmatullah
Tuhan terimalah ilmuan yang jasanya berkhazanah
Kami panjatkan doa berserta Al-Fatihah
Banyak laut disyairkan wali
Perahu tamsilan berkelana di laut
Ilmuan tekun menggunung budi
Besar jasanya sampai tak tersebut
Perahu tamsilan berkelana di laut
Pawang berpesan teguhkan kemudi
Ilmu yang berguna dicari dikaut
Pada guru yang ilmunya membakti
Pawang berpesan teguhkan kemudi
Agar ke pulau tersesat tidak
Pada Ilmuan besar kita hormati
Prof S M Naguib Alatas disebut hendak
Al-Fatihah untuk Guru Besar Pengajian Melayu,
Agar ilmu dan bakti Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dikenang padu
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.