Skip to main content

Nadi Kampus

SYAIR: Banteras Suap Mesti Dihadap

Anggaran Waktu Membaca:
SYAIR: Banteras Suap Mesti Dihadap
Diterbitkan : 10 Oct 2026 05:02PM
SYAIR: Bribery must be confronted
  • A syair by Dr Azhar Ibrahim Alwee highlights Prof Alatas' thinking on the Sociology of Corruption, focusing on the causes, forms and effects of corruption.
  • Corruption is described as an abuse of power that damages citizens' rights, infrastructure, public morals and social justice.
  • The article rejects the view that corruption has a function, and instead stresses that it is a depravity that brings misery to the nation.
  • The way to fight it is through strict laws, efficient administration, civic education, trustworthy leadership, and intellectual discourse that is read and criticised.
Dijana oleh AI
SINGAPURA:
Related article image
‘The Sociology of Corruption. The Nature, Function, Causes and Prevention of Corruption' (1968). (Gambar: Facebook/KOLEKTOR BUKU2 SEMALAYSIA)

Bismillah pemula ungkapan syair
Bukanlah saya pelantun mahir
Sekadar menyinggung masalah mutakhir
Mengutip hikmah pemikir yang kabir

Bila penguasa pemodal bersekongkol
Banyak pengikut datang berkaul
Janji setia sokong pun mantul
Merata ditabur suapan berketul

Itulah dirungkai dalam kesarjanaan
Prof Alatas meneroka dunia kajian
Tentang korupsi yang wajib dilawan
Dicari punca, ciri dan kesan

Sosiologi Korupsi mantap disusun
Teori dan kaedah sama dihimpun
Korupsi kejahatan merusak rukun
Kuasa diguna menyakau menyamun

Teramat jelas dalam syariat
Juga disebut hikayat hikmat
Begitu sama pesanan adat
Makan suap kerjanya khianat

Korupsi itu berbagai rupa
Tapi kerosakannya melata merana
Hak warga diinjak sesuka
Kerana dana disalah guna

Rapuhlah prasarana dalam negeri
Biaya besar dicuri-curi
Setiap lapisan membawa lari
Sogok-menyogok makin menjadi

Alatas menolak yang menisbi ajuan
Konon korupsi ada fungsian
Ditegaskan ia kebejatan moralan
Kesenjangan sosial ia berkesudahan

Maka diperlu kesedaran tindakan
Ditangani dengan segala kefahaman
Sosiologi Korupsi jadi usulan
Mesti dibaca, dikritik kupasan

Ditawar jalan membasmi rasuah
Perundangan tegas mesti menegah
Pentadbiran cekap bercukup wadah
Pendidikan warga mesti terarah

Paling terpenting kepimpinan bermutu
Hidup beramanah dipegang padu
Ilmu dan nilai kuat menyatu
Tidak bergelumang kroni dan kutu

Bahawa korupsi bukan curian biasa
Bukan setakat dosa ke neraka
Tetapi bala menimpa bangsa
Kemanusiaan kita dirobek sama

Gagasan ilmu wajar dibangunkan
Mengupas masalah jadi pedulian
Tempatkan amanah dalam suburan
Agar buah ilmu tersebar manfaatan

Itulah semangat ilmu berbahagi
Bangunkan ilmu Sosiologi Korupsi
Itulah juga sumbangan abadi
Dari Prof Alatas pemikir mandiri

Tajam-tajam karang di Selat
Nampak pula buaya putih
Bicara rasuah mesti diangkat
Betapa lagi kepimpinan bersih

Nampak pula buaya putih
Pawang laut katanya pantang
Bila sewarga utuh berkasih
Pada korupsi ditolak lantang

Pawang laut katanya pantang
Rupa-rupa ada muslihat
Korupsi mesti diperang tentang
Kalau tidak bangsa melarat

Sekian sudah syair ditamat
Tidaklah kami berpanjang surat
Wacana korupsi dibacalah cermat
Itulah jalan negara akan selamat
Kurangkan Artikel

MENGENAI PENULIS

Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura. Dr Azhar juga merupakan Naib Pengerusi Yayasan Warisan Melayu.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita