Skip to main content

Nadi Kampus

Syahirah Akashah akhirnya genggam ijazah, cemerlang dalam kerjaya meski lalui perjalanan lebih panjang

Anggaran Waktu Membaca:


SINGAPURA: Perjalanan pendidikan saya bukanlah mudah. Ketika saya pertama kali memutuskan untuk mengejar Sarjana Seni dalam Psikologi dan Pengurusan Sumber Manusia, program ‘double-major’ yang ditawarkan oleh Universiti Murdoch melalui Kaplan, saya risau saya tidak akan berjaya.

Ketakutan ini berasal daripada kegagalan saya dalam peperiksaan GCE ‘O’ Levels pada tahun 2014. Tidak seperti adik beradik dan kaum keluarga saya, saya terpaksa mengambil jalan yang lebih panjang untuk mencapai matlamat saya. Saya terpaksa mempertimbangkan apa yang ingin saya capai selepas peperiksaan saya dan apa yang ingin saya lakukan dalam hidup. Pada usia 16 tahun, pertimbangan ini sangat berat bagi saya, dan saya takut mengecewakan ibu bapa saya sekali lagi.

Pada tahun 2016, pada waktu saya berehat daripada pembelajaran dan bekerja separuh masa di sebuah restoran tempatan, saya memutuskan untuk kembali ke sekolah dan mengejar pengajian asas dalam psikologi. Tidak mudah untuk membuat keputusan seperti itu, terutama pada usia di mana kebanyakan remaja masih berseronok dengan rakan-rakan sebaya mereka. Satu-satunya motivasi yang membuat saya terus maju adalah ibu bapa dan pengorbanan mereka yang membolehkan saya mengejar diploma swasta.

Sepanjang perjalanan saya, saya bertemu beberapa individu yang memberi saya inspirasi untuk melakukan yang terbaik dan mendorong diri saya lebih jauh. Motivasi utama saya adalah untuk berjaya dalam hidup dan membanggakan ibu bapa agar saya dapat membalas semua pengorbanan mereka. Dorongan ini membawa saya untuk memperoleh diploma dalam bidang psikologi dari institusi pendidikan swasta dan satu lagi diploma dalam bidang kaunseling dari Kaplan pada tahun 2018.

Selepas memperoleh diploma-diploma saya, saya memutuskan untuk memberi tumpuan kepada kerjaya saya. Saya dengan cepat mendapat jawatan sementara sebagai eksekutif dengan sebuah agensi, tetapi oleh kerana pasaran kerja yang mencabar, saya terpaksa bersaing dengan lulusan lain untuk mendapatkan jawatan tetap.

Pada Julai 2019, saya ditawarkan jawatan sementara dengan Mahkamah Agung Singapura, di mana saya terdedah kepada pelbagai situasi dan bertemu dengan ramai orang dari berbagai latar belakang yang berbeza, membolehkan saya mengaplikasikan apa yang telah saya pelajari. Akhirnya, saya diberi jawatan tetap sebagai seorang pengurus pada usia 21 tahun. Memimpin sebuah pasukan lim anggota pada usia yang begitu muda adalah mencabar, tetapi itu memberi saaya motivasi untuk terus mengikuti pengajian saya dalam bidang-bidang Psikologi dan Sumber Manusia untuk menjadi pemimpin yang lebih baik.

Saya memulakan pengajian saya pada bulan Februari 2020, tepat ketika pandemik COVID-19 bermula, memaksa kelas berpindah secara online.
Menyesuaikan diri dengan pembelajaran online adalah mencabar, tetapi saya menghargai universiti yang menyediakan alternatif. Pada masa ini, saya juga beralih pekerjaan dari Mahkamah Agung ke ST Engineering e-Services.

Menyeimbangkan pekerjaan baharu dan pengajian saya adalah sukar, sering menghadiri kelas semasa saya dalam perjalanan berulang-alik atau semasa bekerja lembur. Walaupun sangat mancabar, saya dinaikkan pangkat sebanyak empat kali dalam masa tiga tahun, dengan setiap projek baharu menawarkan lebih banyak fleksibiliti dan peluang untuk pertumbuhan.

Menyeimbangkan tanggungjawab baharu saya di tempat kerja sambil memimpin sebuah pasukan 16 orang, menjadi pelajar yang gigih, menghabiskan masa dengan keluarga dan tunang saya dan menyelesaikan laporan dan tugasan adalah sangat-sangat mencabar bagi saya. Ada juga saat-saat di mana saya seperti mahu menyerah kalah baik pengajian atau kerja saya kerana saya rasa tertekan.
Namun, saya memiliki sistem sokongan dan tiang kekuatan yang mendorong saya. Tanpa dorongan dan bantuan mereka, saya tidak akan mencapai apa yang saya miliki hari ini.

Selama empat tahun yang lalu, saya menghadapi pelbagai cabaran semasa berusaha untuk mendapatkan Sarjana Seni dalam Psikologi dan Pengurusan Sumber Manusia. Saya terpaksa mengulangi modul-modul kerana hampir gagal dalam peperiksaan dan mengulangi tugasan yang dianggap tidak memuaskan.

Cabaran-cabaran ini membuat saya lebih kuat, dan saya mengingatkan diri saya bahawa perjuangan yang saya hadapi akan menjadi kejayaan saya suatu hari nanti. Kenangan semua pengalaman ini akan selalu bersama saya, termasuk kehilangan beberapa orang tersayang seperti dua orang nenek saudara dan seorang datuk saudara semasa musim peperiksaan saya.

Mereka amat penting bagi saya dan memainkan peranan datuk dan nenek sewaktu saya membesar kerana datuk dan nenek saya sendiri telah meninggal dunia.

Salah satu kenangan yang paling berharga adalah apabila bos dan mentor saya, Vylee Fong, yang memahami dan membenarkan saya menghadiri kelas semasa lembur. Sokongan ini menjadi pengalaman pembelajaran kumpulan, di mana semua rakan-rakan sekerja saya turut mendengar perbincangan kelas dan memberikan idea.

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang telah membantu saya melalui setiap ujian, memproses pemikiran negatif saya, dan cabaran emosi dan akademik yang saya hadapi. Saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa saya atas doa dan motivasi berterusan mereka, membantu saya memberi tumpuan pada tugasan saya dan mengekalkan persekitaran yang nyaman di rumah semasa peperiksaan dalam talian.
Saya juga sangat menghargai tunang saya, Muhammad Shazni Siraj Ahmad kerana membantu saya memproses segala yang berlaku di sekolah dan tempat kerja dengan saya, sering mendengar keluhan dan rungutan saya, dan memberi saya nasihat yang baik.

Saya juga berterima kasih kepada sahabat baik saya, Muhammad Faizal Esa, yang mendaftar untuk program ijazah bersama saya dan melalui ujian yang sama. Kami sering berbicara tentang bagaimana semuanya akan berlalu dan bagaimana hidup akan menjadi lebih baik setelah kami menyelesaikan ijazah kami. Sebagai teman sekelas saya, dia selalu mengingatkan saya untuk mendaftar modul berikutnya ketika saya lupa jendela pendaftaran untuk trimester yang akan datang.
 
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mentor saya yang juga bos saya di tempat kerja, Vylee, yang membantu meninjau beberapa penelitian saya untuk memastikan saya menjawab soalan tugasan dan menggalakkan saya dengan mantranya, “Masa-masa sulit tidak akan bertahan, tetapi orang yang kuat akan berjaya.”

Dia adalah bos pertama yang memberi saya peluang untuk berjaya dalam pekerjaan saya. Tanpa bimbingan, kepercayaan, dan dorongan darinya, saya mungkin tidak akan mencapai jawatan saya sekarang sebagai Ketua Projek pada usia 25 tahun.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru saya, Dr. Mohamed Fadhil, kerana selalu memberi saya semangat kerana selalu memberitahu saya bahawa saya memiliki potensi untuk menjadi lebih hebat dan mencapai apa yang saya inginkan jika saya mencuba yang terbaik dan tidak menyerah kalah.

Terima kasih semua! Ijazah ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa semua sokongan padu anda!
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita