Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Siswa pengajian Melayu NUS ini pilih masuk 'cheerleading' meski kaki bola sejak kecil

Anggaran Waktu Membaca:
Siswa pengajian Melayu NUS ini pilih masuk 'cheerleading' meski kaki bola sejak kecil

Muhammad Asyraf mula menceburi sukan sorak di NUS pada 2021. (Gambar: Asyraf, Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

SINGAPURA: Tahukah anda bahawa cheerleading atau sukan sorak 'muncul' ketika kebanyakan universiti hanya menerima mahasiswa lelaki?

Satu rencana pada awal 1990-an bahkan melaporkan anggota pasukan sorak sebahagian besarnya adalah kaum Adam yang merupakan atlet dalam sukan seperti bola keranjang atau tinju, yang mahu menyokong rakan-rakan mereka.

Sukan sorak dikatakan hanya mula disertai ramai wanita semasa Perang Dunia Kedua, iaitu ketika pelajar lelaki terpaksa menjalani perkhidmatan ketenteraan. Maka ciri sukan itu sempat berubah sehingga ada yang menganggap cheerleading dewasa ini hanya untuk perempuan sahaja.

Namun bagi Muhammad Asyraf Abdul Mutaliff, 24 tahun, beliau mengambil langkah berani untuk mencuba sendiri sukan itu sekalipun dirinya aktif bermain bola sepak semasa di maktab rendah.
Asyraf bersama anggota pasukan sorak NUS. (Gambar: Md Asyraf)
Minatnya terhadap sukan sorak berputik selepas menonton satu siri dokumentari di Netflix.

"(Ia) mengisahkan tentang Kolej Navarro di mana pelajarnya membuat persiapan bagi pertandingan sukan sorak. Kemudian saya mendapat tahu NUS mempunyai sebuah pasukan cheerleading," cerita Asyraf yang sedang menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau adalah mahasiswa tahun keempat dalam jurusan Sains Politik dan minor dalam pengajian Melayu.

Diam tak diam, Asyraf sudah menceburi sukan sorak selama hampir empat tahun.

"Masyarakat lazimnya tahu cheerleading daripada menonton filem Barat dan media sosial. Mereka tidak tahu rasanya menjadi seorang anggota sukan sorak. Saya dapat melihat bahawa sukan ini bukanlah sekadar 'angkat' kawan," luahnya kepada kru Nadi Kampus.
Asyraf (dua dari kiri) bersama pasukan sorak Alpha Verve NUS. (Gambar: Md Asyraf)
"Cheerleading juga satu cara untuk bersenam dan membina keakraban dengan rakan-rakan, selain sekadar bersuka ria."

BOLA SEPAK VS SUKAN SORAK

Asyraf akur ibu bapa mahupun rakan-rakannya pada awalnya terkejut apabila mendapat tahu beliau mahu menyertai pasukan sorak NUS.

Ini tidak menghairankan memandangkan anak sulung dua beradik itu dikenali sebagai seseorang yang lasak dan aktif bermain bola sepak sejak masih lagi di sekolah rendah. Imej beliau jauh daripada tanggapan umum masyarakat terhadap cheerleading.
Asyraf (dua dari kiri) bermain bola sepak semasa menuntut di Maktab Rendah Serangoon. (Gambar: Md Asyraf)
"Ibu bapa saya tidak begitu selesa saya ceburi sukan ini tetapi saya memberitahu mereka ini sesuatu yang saya betul-betul mahukan. Selepas beberapa bulan mereka macam mengalah," ujar Asyraf.

"Kedua-dua ibu bapa dan rakan-rakan saya pun melihat video yang saya hantar. Baru mereka sedar bahawa cheerleading bukan sesuatu yang dilakukan oleh kaum wanita sahaja."
Asyraf (paling kiri) bersama anggota pasukan sorak lain di NUS. (Gambar: Md Asyraf)
Dalam sukan sorak, Asyraf merupakan 'male base' yang membuat pelbagai aksi nekad termasuk mengangkat anggota lain dalam satu rutin yang padat dengan bermacam-macam pergerakan akrobatik.

Jadual latihan sukan soraknya pula ternyata cukup sibuk. Beliau perlu mengikuti latihan selama tiga kali seminggu. Ini di samping menjalani latihan di gimnasium yang memberi tumpuan kepada senaman membina otot bahu, kaki dan sebagainya.

"Dari segi teknikal, sukan bola sepak dan sukan sorak sangat berbeza. Bola sepak memerlukan seseorang itu lincah berlari ke sana sini. Dalam sukan sorak pula, ia lebih memerlukan kekuatan fizikal dan teknik khusus," jelas bekas pelajar Maktab Rendah Serangoon itu.

"Misalnya, aksi secara berpasangan... Saya perlu mengangkat seorang 'flyer' dan saya haruslah mengurusnya sepanjang dia diangkat, memastikan saya dapat mengimbanginya supaya beliau berasa selamat," tambah Asyraf.
DIPILIH JADI KAPTEN, SUDAH RAIH PENCAPAIAN

Sebenarnya, Asyraf baru dilantik sebagai kapten pasukan sorak NUS Alpha Verve Cheerleading pada April lalu.

Beliau terpilih selepas satu pemilihan diadakan, melibatkan kira-kira 50 mahasiswa lain.

"Tanggungjawab saya termasuk memastikan pasukan saya terus bersemangat untuk menjalani latihan secara cekap supaya setiap daripada mereka juga mendapat peluang untuk melakukan cheerleading," kata Asyraf.

Menganjurkan latihan juga katanya satu perkara mencabar. Bayangkan anda perlu memastikan lebih 20 orang dapat membuat pelbagai 'stunt' lalu mementaskan sesuatu aksi berdurasi antara dua hingga tiga minit untuk tontonan ramai... Tentu tidak mudah!

Lebih mengagumkan lagi, pasukan sorak NUS sudah berjaya meraih satu pengiktirafan ketika bertarung dalam arena antarabangsa, di bawah pimpinan Asyraf.
(Gambar: Md Asyraf)
"Pada bulan lalu, kami telah ke Kuala Lumpur untuk satu pertandingan dan kami telah mendapat tempat kedua dalam divisyen yang disertai. Kami juga merancang untuk pergi ke Taiwan pada akhir tahun ini," kongsi Asyraf.

Ditanya pula tentang tanggapan cheerleading mungkin tidak 'macho', ini jawapan spontan Asyraf:

"Saya akan katakan tak kenal, maka tidak cinta. Di Singapura saya rasakan bahawa cheerleading ini sebenarnya lebih didominasi oleh kaum lelaki kerana kami amat fokus kepada pelbagai 'stunt' dan elemen-elemen yang memerlukan banyak kekuatan fizikal. Ia benar-benar menguji keupayaan fizikal anda."

Menyifatkan cheerleading sebagai sukan yang unik juga, Asyraf berharap sesiapa yang berminat tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai sukan ini semata-mata kerana khuatir akan stereotaip yang wujud dalam masyarakat.

"Tidak ada banyak peluang untuk seseorang mengangkat 'flyer' atau melakukan pelbagai aksi nekad."
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan