Siswa NUS anjur Me-Karnival, tekan peranan belia bina masyarakat inklusif

Pihak penganjur acara Me-Karnival, yang terdiri daripada sekumpulan mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) dipanggil NUS Mekar, bergambar bersama para panelis sesi 'Flash Mentoring' di acara itu pada Sabtu (31 Mei). (Gambar: NUS Mekar)
Diadakan buat julung-julung kalinya, ia berlangsung pada Sabtu (31 Mei) di Anjung Wisma Geylang Serai.
Seramai 60 belia menyertai acara Me-Karnival itu.
Ia dikelolakan oleh sekumpulan mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) dipanggil NUS Mekar, di bawah Persatuan Bahasa Melayu Kebangsaan Melayu (PBMUKS).
Sejak ditubuhkan dua tahun lalu, kumpulan mahasiswa NUS tersebut giat mengadakan acara berskala kecil-kecilan dengan kerjasama organisasi seperti MIJ Hub, untuk menyediakan peluang bagi belia dan pelajar berkeperluan khas untuk berinteraksi.
Ditanya mengenai keistimewaan acara Me-Karnival, Muhamad Nasrullah Jamaluddin, Naib Penyelaras Projek, menarik perhatian bahawa ia membawa pendekatan berbeza, menekankan penglibatan mendalam belia dalam usaha membina masyarakat inklusif
"Dengan memahami cabaran dan keperluan mereka, masyarakat dapat menghapuskan stigma dan salah tanggapan terhadap mereka, mewujudkan peluang yang sama rata dalam aspek pendidikan, pekerjaan dan kehidupan seharian.
"Apabila lebih ramai memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan berkeperluan khas, masyarakat akan menjadi lebih bersedia untuk menyokong serta menghormati perbezaan, sekali gus mewujudkan suasana yang harmoni dan prihatin untuk semua," jelas mahasiswa NUS tahun ketiga dalam jurusan Infrastruktur dan Pengurusan Projek itu.
Bertunjangkan matlamat itu, pelbagai kegiatan menarik dirancang rapi bagi acara Me-Karnival termasuk sesi 'Flash Mentoring'.

MASYARAKAT SG MASIH BELUM CUKUP INKLUSIF; USAHA PUPUK PEMAHAMAN DAN KESEDARAN MASIH DIPERLUKAN
Daripada sekadar melihat betapa rencamnya reaksi masyarakat Singapura terhadap golongan berkeperluan khas di tempat awam, ia sebenarnya mencerminkan tahap keterbukaan masyarakat terhadap keperluan golongan tersebut.
"Kita selalu lihat orang yang berbeza di tempat awam dan cenderung mengelak daripada berinteraksi dengan mereka. Kita tidak tampil ke depan untuk menawarkan bantuan, sebaliknya kita fikirkan “Saya tak tahu, saya tak nak layan” maka kita tidak menghiraukan mereka," kata pengasas Syamil Learning Garden, Norlizan Mohidu Kunyalee.
Maka, Cik Norlizan menjelaskan perbincangan tentang pembinaan masyarakat inklusif seperti yang diketengahkan di sesi 'Flash Mentoring' itu, masih dianggap penting kerana "warga Singapura, secara keseluruhannya, masih belum cukup terbuka kepada inklusiviti atau keterangkuman".
Beliau merupakan antara tiga panelis yang ditampilkan dalam acara 'Flash Mentoring'.

Selain berkongsi kisah dan pengalaman peribadi mereka menyokong pembangunan pelajar berkeperluan khas, mereka merungkai peranan belia dalam usaha besar mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif.
Cik Norlizan menekankan bahawa sudah tiba masanya untuk memperkasa belia supaya tampil sebagai generasi pelapis - bukan hanya untuk menyokong golongan berkeperluan khas, malah untuk mengisi peranan sebagai ahli terapi dan guru di sekolah.
Dalam mengalu-alukan belia untuk tampil menyahut cabaran itu, beliau sempat menitipkan pesanan kepada belia untuk "jangan takut untuk mencuba dan mendalami bidang ini (menolong orang keperluan khas).
"Walaupun gentar pada awalnya, anda pastinya akan menyedari perasaan kasih sayang terhadap kanak-kanak ini kalau anda berani untuk mencuba," ujarnya.
Antara belia yang menyambut baik penganjuran acara Me-Karnival itu termasuk Batrisyiya Wira.
"Mempunyai empati dan bukan sekadar simpati adalah satu pemikiran penting yang harus kita amalkan. walaupun sukar, mengambil masa, dan dunia autisme sangat kompleks di mana setiap kanak-kanak berbeza," kata mahasiswa NUS tahun pertama itu.
Meskipun acara Me-Karnival dianjurkan khususnya buat belia, ia turut menerima sambutan daripada masyarakat pelbagai usia.
Melati Muhaiyah, seorang guru yang turut hadir di acara itu, berkongsi: "Saya berpeluang mendengar pandangan dari sudut yang berbeza - dari seorang ibu, pendidik, serta penggiat hak-hak orang keperluan khas dari Purple Parade. Oleh itu, saya mendapat gambaran yang lebih menyeluruh mengenai kehidupan seorang yang berkeperluan khas.
"Sebagai guru, saya akan mempraktikkan apa yang dipelajari di sekolah saya sendiri."
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.