Siswa NUS ajak kupas peranan tarian Melayu dalam perkasa masyarakat setempat

Gambar: NUSMSS
Lebih daripada sekadar bentuk seni, tarian Melayu mampu dianggap sebagai wadah untuk memperkasa masyarakat setempat dalam apa jua aspek kehidupan seharian mereka.
Ini sekalipun terdapat perubahan dalam peranan seni itu dalam kehidupan seharian masyarakat hari ini, dengan berlatarbelakangkan perubahan pesat landskap tarian Melayu.
Demikian yang menjadi tumpuan perbincangan di sebuah acara seminar anjuran Persatuan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUSMSS) dan kumpulan tarian Melayu dari Universiti Nasional Singapura, NUS Ilsa Tari.
Berjudul "Ragam & Rakyat", acara seminar itu berlangsung pada Sabtu (25 Jan) di Perpustakaan Negara.
Ia merupakan kolaborasi sulung antara kedua-dua persatuan mahasiswa tersebut.

Kira-kira 30 hadirin daripada pelbagai latar belakang, termasuk golongan pelajar serta penggiat tarian Melayu, turut menyertai perbincangan hangat itu.

Antaranya termasuk nama besar dalam dunia tarian Melayu tempatan, pengarah kreatif Teater Tari Era Encik Osman Abdul Hamid.
PERBINCANGAN PADAT NUANSA, PERANAN TARIAN MELAYU
Menjelaskan kelainan pada perbincangan yang ditampilkan dalam acara seminar itu, ini kata mahasiswa NUS Tahun 4 Hariz Emran: "Seminar ini berbeza daripada perbincangan lain berkenaan dengan tarian Melayu dari segi ruang lingkup yang cuba diketengahkan. Kebanyakan perbincangan di luar sana seringkali meneliti tarian Melayu hanya dalam konteks bidang seni itu sendiri, contohnya pengalaman dan sumbangan penggerak seni ini yang mungkin juga merentas sempadan.

"Sebagai suatu kelainan, acara ini menyediakan peluang mendalami peranan tarian Melayu dan hubungannya dengan cara hidup seharian masyarakat kita selain daripada hanya suatu bentuk seni tradisional," jelas Hariz, yang merupakan Presiden NUSMSS.
Daripada sekilas pandang latar belakang panelis yang diundang, ia jelas menonjolkan matlamat pihak penganjur untuk menjadikan perbincangan tersebut lebih padat dengan nuansa mengenai peranan tarian Melayu.
Meskipun kedua-dua Encik Alfian Sa’at dan Encik Ariffin Abdullah tidak mempunyai penglibatan langsung dalam seni tarian Melayu, Hariz menarik perhatian bahawa kedua-dua panelis itu telah menawarkan "pandangan luar dan cerapan yang berbeza" berdasarkan pengalaman dan kepakaran mereka sebagai penggiat dalam bidang masing-masing, iaitu pementasan teater dan muzik tradisional Melayu.

Setiap genre muzik tradisional Melayu serta jenis tarian yang mengiringinya ada bentuk gaya dan terkandung sejarahnya tersendiri.
Sementara itu, Encik Alfian Sa’at pula menawarkan sudut pandangan selaku seniman teater, di mana beliau mengupas keupayaan seni tarian Melayu untuk dijadikan "wadah penceritaan serta cerminan budaya dan masyarakat".

PERANAN ANAK MUDA TERUS PERKAYA WACANA TARIAN MELAYU SETEMPAT
Dr Noramin Farid meluahkan rasa terharu dengan adanya seminar sedemikian, yang dianjurkan terutama sekali oleh golongan anak muda.

"Untuk kali ini juga, saya sangat suka melihat pemimpin-pemimpin muda daripada kumpulan-kumpulan yang terlibat, yang mereka sendiri inginkan perbincangan sedemikian dan saya sangat mengharapkan ini akan menggalakkan lagi anak-anak muda untuk terus bertanya dan ingin tahu tentang budaya mereka," ujar Dr Noramin kepada BERITA Mediacorp.
Beliau turut berkongsi bagaimana ruang perbincangan sedemikian penting bukan sahaja bagi penggiat tarian Melayu tempatan bahkan, masyarakat secara meluas. Ini memandangkan ia menekankan peri pentingnya peranan seni tarian Melayu "sebagai wadah pendidikan dan perjuangan", terutama dalam kalangan masyarakat majmuk yang berbilang bangsa seperti di Singapura.
Dengan sambutan memberangsangkan yang diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat, Hariz menyuarakan harapan agar acara itu mampu "meluaskan serta mendalamkan lagi minat dan pengetahuan dalam kalangan khalayak umum terhadap tarian Melayu."
"Bahawasanya seni tarian Melayu bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi pelbagai fungsinya. Contohnya, tarian Melayu mampu dilihat sebagai lambang jati diri, wahana penerapan nilai-nilai murni, pencatatan sejarah masyarakat dan juga wadah pembicaraan isu-isu kemasyarakatan," jelasnya.
Lantas, pihak penganjur mengalu-alukan lebih ramai penggiat dan pelajar tarian Melayu untuk terus tampil, menyumbang suara dan usaha untuk membangunkan seni itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.