Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Siswa NTU tekad tingkat kesedaran awam bantu golongan kurang upaya intelektual

Anggaran Waktu Membaca:
Siswa NTU tekad tingkat kesedaran awam bantu golongan kurang upaya intelektual

Kistina Qautsar Mohamed Affandi (kanan), menerima sijil selepas acara floorball dianjurkan RSPID dan Universiti Teknologi Nanyang. (Gambar: RSPID)

SINGAPURA: Isu dan cabaran golongan kurang upaya intelektual (PWID) masih sesuatu yang kurang difahami ramai.

Bagi Kistina Qautsar Mohamed Affandi, 20 tahun, yang kini menuntut di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), peluang untuk menjadi sukarelawan sejak 2023 merupakan pilihan terbaik bagi mengenali dan mendekati PWID.

Kini, pelajar bidang perniagaan tahun kedua itu dipilih sebagai pengerusi kumpulan kokurikulm 'Regular Service Project For the Intellectually Disabled' atau RSPID.

Kumpulan tersebut merupakan antara salah satu portfolio di bawah Kelab Khidmat Kebajikan NTU yang melakukan kerja-kerja sukarela, termasuk meningkatkan kesedaran tentang PWID, menggalakkan sekitaran inklusif dan memberi pengasuh masa untuk berehat selepas menjaga PWID sepanjang minggu.
Kistina bersama 'trainee' ketika aktiviti renang. (Gambar: RSPID)
KORBAN HARI REHAT UNTUK ANJUR AKTIVITI BERSAMA RSPID

RSPID, dengan kerjasama MINDS dan West End, menganjurkan dua sesi aktiviti pada setiap Sabtu, pada pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 2.30 petang hingga 5.20 petang.

Kistina dipadankan dengan seorang 'trainee', di mana dia akan membimbing dan melakukan pelbagai aktiviti bersama.

Antara aktiviti yang dijalankan bersama pelatihnya itu yang berusia 17 hingga 60 tahun, termasuk nyanyian, tarian, seni dan kraf, zumba dan sukan seperti bola sepak, badminton, lari berganti-ganti, 'captains ball' dan boccia.
Kistina bersama sukarelawan RSPID. (Gambar: RSPID)
HAMPIR BATALKAN NIAT JADI RELAWAN

Menurut Kistina, sudah menjadi niatnya untuk melakukan kerja-kerja sukarela.

"Saya memilih untuk melakukan kerja sukarela bersama PWID kerana saya rasa bahawa mereka merupakan golongan yang kurang difahami ramai," katanya.

Melalui penglibatannya dalam RSPID, Kistina percaya dia dapat menyumbang kepada usaha tersebut.
Kistina bersama sukarelawan dan 'trainee' RSPID. (Gambar: RSPID)
Namun, pengalamannya pada satu sesi pengenalan RSPID membuat Kistina hampir-hampir tinggalkan niat menyertai kumpulan itu.

"Pelatih saya tidak berapa fasih bercakap dan dia juga agak pemalu. Jadi saya rasa yang saya tidak boleh berinteraksi dengannya, dan saya fikir dia tidak rasa seronok apabila melakukan sesi aktiviti itu dengan saya.

"Ketika saya sedang berehat selepas sesi itu tamat, pelatih saya itu datang ke arah saya dan dia memegang tangan saya, lalu membawa saya berjumpa ibunya. Dia memberitahu ibunya bahawa saya gurunya, dan ibunya juga mula berbual dengan saya," kongsi Cik Kistina.

Ia merupakan insiden yang sangat bermakna baginya, yang merasakan usahanya, walaupun kecil, tetap meninggalkan kesan kepada individu yang dibantu.
Kistina dalam satu aktiviti sukan bersama RSPID. (Gambar: RSPID)
LEBIH BANYAK USAHA BOLEH DILAKUKAN UNTUK TINGKATKAN KESEDARAN

Kebanyakan 'trainee' menghidap lebih daripada satu penyakit, termasuk autisme, ADHD, dan sindrom down, kongsi Kistina.

Tambahnya lagi, ramai masih tidak tahu tentang isu dan cabaran yang dihadapi golongan kurang upaya intelektual.

"Saya rasa kita tidak akan dapat memahami cabaran yang dihadapi PWID dan keluarga mereka sepenuhnya, kerana kita tidak mengalami apa yang mereka lalui," kata Kistina.

Menurutnya lagi, pengalaman sebagai sukarelawan memberinya peluang untuk lebih memahami dan menyelami suara hati golongan itu.

"Yang paling penting, kita harus memberi mereka layanan yang sama."
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan