Siswa NTU suntik keceriaan kepada 9 keluarga; ubah suai rumah sewa
Lebih 70 belia meluangkan hujung minggu mereka (21 & 22 Jun) untuk menggembleng tenaga menjadikan rumah sewa sembilan keluarga, yang merupakan penerima zakat Masjid Al-Amin, lebih selesa dan rapi. (Gambar: Yusra)
Keluarga-keluarga itu, yang merupakan penerima zakat Masjid Al-Amin, tinggal di rumah sewa di sekitar kawasan Bukit Merah dan Telok Blangah.
Lebih 70 belia meluangkan hujung minggu mereka (21 & 22 Jun) untuk menggembleng tenaga menjadikan rumah sewa keluarga tersebut lebih selesa dan rapi.
Sepanjang dua hari, mereka memeras keringat untuk memberi sentuhan baharu mengikut keperluan dan kemahuan keluarga tersebut - bermula dengan membersihkan rumah, mengecat dinding sehinggalah menyusun semula perabot.
Kos mengubah suai kesemua sembilan rumah sewa itu dianggarkan menelan belanja lebih S$2,000.
Sejak 2015, program Yusrevamp, kendalian mahasiswa NTU di bawah naungan Persatuan Muslim NTU, itu diadakan setiap tahun khususnya untuk menyediakan wadah bagi para belia mendampingi golongan yang memerlukan bantuan dalam masyarakat.
Selain program mengubah suai rumah, kumpulan mahasiswa NTU itu turut membawa keceriaan kepada golongan pekerja hijrahan semasa sambutan Syawal tahun ini, dengan membawa mereka bersiar-siar di Taman Tasik Jurong.
"Program 'Yusrevamp' ini bukan sekadar tentang menceriakan semula rumah mereka. Ia juga tentang berinteraksi dan membina hubungan yang bermakna dengan mereka. Hakikatnya, kita semua adalah manusia yang memerlukan sentuhan kemanusiaan — kita saling mencari dan memberi ketenangan antara satu sama lain," jelas Ketua Yusra, Siti Adriana Zahirah, yang merupakan seorang mahasiswi Tahun 4 dalam jurusan Falsafah.
Maka tidak hairanlah, sebahagian besar daripada peserta tahun ini bukanlah peserta kali pertama bagi program Yusrevamp.
Antaranya termasuk Syakir Moharum, mahasiswa NTU tahun 4, dalam jurusan Dasar Awam dan Ehwal Global.
"Saya menyertai Yusrevamp tahun lepas di kawasan Bukit Merah juga, dan saya telah banyak meraih manfaat dan lihat perubahan dalam rumah-rumah penerima zakat. Dan mereka pula amat bersyukur dapat melihat golongan muda mempunyai keinginan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, itulah manfaat yang saya lihat dan insya-Allah saya akan terus menyumbang kembali," kongsi Syakir.
Beliau bahkan, meluahkan rasa terharu melihat bagaimana program tersebut masih mendapat sambutan memberangsangkan - bukan sahaja mahasiswa NTU, bahkan juga dari Institut Pengajian Tinggi (IHL) lain - sekalipun ia diadakan seiring dengan cuti sekolah bagi kebanyakan universiti tempatan.
Dengan sambutan menggalakkan yang diterima dalam kalangan sukarelawan kali ini, Ahli Program Yusra, Alya Maisarah Anwar berkongsi bahawa terdapat rancangan untuk meneruskan penganjuran 'Yusrevamp' pada tahun-tahun akan datang.
"Kami ingin bekerjasama dengan lebih banyak masjid supaya kami dapat dampingi lebih ramai penerima bantuan zakat. Fokus kami juga adalah untuk bantu mereka yang belum pernah terima "revamp" sebelum ini.
"Peluang untuk mencantikkan rumah mereka sebegini bukanlah sesuatu yang selalu berlaku, jadi kami harap dapat teruskan usaha ini untuk beri kegembiraan dan keselesaan kepada mereka yang memerlukan," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.