Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Silat, anyam ketupat antara kegiatan meriahkan sambutan ‘Raya Raya Raya’ siswa SIT

Anggaran Waktu Membaca:
Silat, anyam ketupat antara kegiatan meriahkan sambutan ‘Raya Raya Raya’ siswa SIT

Hadirin bergambar setelah tamatnya acara ‘Raya Raya Raya’ (Gambar: WAU! MCS)

BERITAmediacorp: “Raya-raya, raya-raya
Selamat Hari Raya
Kami ucapkan kepada satu dunia”


Lirik lagu ‘Dolla - Raya Raya Raya’ merupakan sumber inspirasi bagi nama acara Hari Raya yang dianjurkan oleh beberapa kelab di Institut Teknologi Singapura (SIT). Tahun ini, acara tersebut diberikan nama 'Raya Raya Raya' dan kini kembali diadakan secara langsung selepas pandemik COVID-19. Acara ini adalah satu kolaborasi dengan beberapa kelab siswa di SIT seperti - WAU! Persatuan Budaya Melayu, Kelab Siswa Internasional, Diversity and Inclusion (D&I) dan Silat. Seramai 50 siswa SIT turut hadir di acara tersebut pada Jumaat, 12 Mei 2023.

Malam yang penuh keceriaan ini menawarkan pelbagai aktiviti yang melengkapi jadual acara malam tersebut. Acara dimulakan dengan jamuan makan malam yang menghidangkan hidangan seperti Nasi Goreng dan Ayam Goreng Bumbu. Para siswa menikmati hidangan yang disajikan sambil berbual dan berkenalan antara satu sama lain. Dengan hidangan yang enak ini, tercipta suasana mesra dan perasaan keakraban dalam kalangan semua yang hadir.
Siswa menjamu selera dengan pelbagai pilihan lauk raya. (Gambar: WAU! MCS)
Selepas jamuan makan malam, aktiviti-aktiviti seperti 'Teka Lirik' dan permainan 'Batu Seremban' diadakan di dewan sukan. Para siswa berasa sangat seronok dan ramai bersemangat serta bersorak sambil bermain aktiviti-aktiviti tersebut.

“Dengan acara perjumpaan Raya seperti ini, ia dapat menonjolkan bahawa SIT mengambil berat tentang kebajikan siswa-siswanya dan kami amat mengalu-alukan sokongan dari SIT dalam merancang dan melaksanakan acara seperti ini di masa hadapan,” Ujar Noor Armand, Presiden kepada WAU! Persatuan Budaya Melayu.
Siswa bermain dengan batu seremban. (Gambar: WAU! MCS)
"Acara 'Raya Raya Raya' memberikan peluang kepada para siswa SIT dari pelbagai bangsa untuk berinteraksi dan membina persahabatan. Saya dapat merasai semangat solidariti dan perpaduan kerana dapat berkongsi dan merayakan acara ini bersama mereka. Salah satu sorotan utama adalah permainan Batu Seremban. Kami sangat seronok bermain bersama-sama dan tertarik dengan konsep permainan yang mudah namun mencabar," ujar Iffah Farzanah, seorang pelajar Radiografi Diagnostik Radiography tahun 1.

Para siswa juga menikmati persembahan seni Silat yang mengkagumkan. Gerakan yang indah dan kecekapan seni bela diri ini memukau penonton serta memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang warisan budaya nusantara.
Persembahan Silat oleh kelab SIT Silat. (Gambar: WAU! MCS)
Acara turut mengadakan sesi menganyam ketupat, di mana para siswa mempelajari teknik anyaman. Ini memberikan kesedaran dan penghargaan terhadap seni tradisional yang semakin langka.
Siswa pelajari cara anyam ketupat. (Gambar: WAU! MCS)
Sebelum mengakhiri acara tersebut, penyerahan hadiah diadakan bagi kumpulan yang mendapat markah yang tertinggi dalam permainan ‘Teka Lirik’ dan ‘Batu Seremban’. Para siswa turut mengambil bahagian dalam sesi pengambilan gambar bersama. Momen bergambar ini memungkinkan mereka untuk mengabadikan kenangan indah mereka semas berkongsi keceriaan dan kebahagiaan pada malam tersebut.
Hasil titik peluh anyaman siswa-siswa. (Gambar: WAU! MCS)
Acara ‘Raya Raya Raya’ adalah salah satu kejayaan yang dapat mempromosikan hubungan yang harmoni dan kesedaran budaya dalam kalangan siswa. Melalui aktiviti-aktiviti yang menarik, acara ini dapat memupuk nilai-nilai inklusif dan saling memahami, serta memberi kenangan yang indah kepada semua yang hadir.


MENGENAI PENULIS:
Nur Husnina Binte Rozaini, Tahun 1, Radiografi Diagnostik dan Setiausaha WAU! Persatuan Budaya Melayu.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan