Sheqal Armanda ‘terjun botol’ jadi penjaja masakan claypot
“Kenapa tidak buka cawangan yang halal?” Soalan yang diajukan Sheqal Armanda Sabaruddin itu menjadi pencetus perjalanannya menjadi seorang penjaja masakan claypot di Toa Payoh Industrial Park.
![Sheqal Armanda ‘terjun botol’ jadi penjaja masakan claypot Sheqal Armanda ‘terjun botol’ jadi penjaja masakan claypot](https://dam.mediacorp.sg/image/upload/s--yimbc83n--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/mediacorp/berita/images/2024/12/21/whatsapp_image_2024-12-21_at_3.57.14_pm.jpeg?itok=Ox8pOjUi)
(Gambar: BERITA Mediacorp/Nur Syafeera Sofian)
“Salah seorang pelanggan saya ialah pemilik kedai yang menjual menu ini, tetapi ia tidak halal. Itu yang membuat saya cadangkan kepada mereka, kenapa tidak buka cawangan yang halal?
“Rasa saya, tidak ada kedai makan konsep sebegini yang halal. Dari situlah semuanya bermula, “ kongsi Sheqal, 26 tahun, yang meninggalkan pekerjaan tetap sebagai seorang pegawai polis demi merealisasikan impian menubuhkan perniagaan sendiri.
Pengalamannya selama empat tahun dalam bahagian Markas Operasi Khas, digunakan untuk membuat persiapan, membekalkan diri dengan modal kewangan dan kemahiran untuk maju setapak lebih dekat kepada cita-citanya menjadi usahawan.
Sebelum menceburi perniagaan makanan dan minuman F&B di ‘Steamboat Charcoal Claypot Prawn’ , Sheqal sebenarnya sudah mempunyai dua perniagaan lain - jenama baju ‘Okami’ yang dimulakannya pada 2022 bersama seorang rakan niaga dan sebuah agensi pemasaran yang dipanggil ‘Viral Vizions’.
Hasil perbualannya dengan seorang pelanggan Viral Vizions, maka tercetuslah minat untuk menjadi rakan niaga gerai menjual masakan claypot halal.
STEAMBOAT CHARCOAL CLAYPOT PRAWN MULA BUKA PINTU JUN 2024
![](https://dam.mediacorp.sg/image/upload/s--n1_blSJd--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/mediacorp/berita/images/2024/12/21/whatsapp_image_2024-12-21_at_3.58.22_pm.jpeg?itok=J12eUCxy)
“Kami ada pelbagai menu yang dihidangkan. Sajian spesial kami adalah Hokkien Mee, kami guna cara tradisional - gunakan arang untuk membakar claypot,” tambahnya lagi sambil berkongsi aroma makanan ketika disajikan panas-panas.
Selain itu, mereka juga menjual lauk-pauk sampingan seperti telur asin dan ayam masak telur asin, serta ayam ‘buttermilk’ yang dimakan dengan nasi.
VIDEO VIRAL DI TikTok
“Sambutannya agak memberangsangkan. Saya amat terharu dengan sokongan dan sambutan yang diberikan daripada kawan-kawan saya, keluarga saya, dan juga pelanggan-pelanggan yang datang dan turut menjadi pelanggan berulang, “ luah usahawan muda itu sambil melahirkan rasa syukur makanannya diterima ramai.
Bermula dengan menjual 10 claypot sehari ketika dibuka Jun lalu, kedainya kita mampu menyajikan sehingga 40 claypot.
![](https://dam.mediacorp.sg/image/upload/s--w4igmY9q--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/mediacorp/berita/images/2024/12/21/whatsapp_image_2024-12-21_at_3.58.00_pm.jpeg?itok=V1cKhQgl)
Tanpa disangka, akaun mereka sendiri, @steamboatcharcoalclaypot, menarik sekitar 91,400 likes secara keseluruhan.
DOA, DORONGAN IBU BAPA
Menceritakan perjalanannya sebagai usahawan muda, bekas pelajar Politeknik Republic dalam bidang Penerbitan Media dan Reka Bentuk itu menyanjungi dorongan dan sokongan daripada keluarga, khususnya kedua ibu bapanya.
“Banyak cabarannya, tetapi salah satu cabaran terbesar adalah dari segi kewangan,” kata Sheqal yang terharu dengan doa dan bimbingan ibu bapanya, meskipun pada awalnya mereka ragu-ragu kerana bidang perniagaan banyak risikonya berbanding gaji tetap sebagai pegawai polis.
“Mereka terdiam ketika saya berkongsi rancangan meninggalkan pekerjaan di SPF (Pasukan Polis Singapura) kerana mereka juga bekerja di sektor awam, dan ia kerjaya yang stabil,” kata anak sulung tidak beradik itu.
“Jadi ini sesuatu yang amat baharu bagi mereka kerana saya yang pertama dalam keluarga untuk meninggalkan kerjaya sepenuh masa untuk membuka perniagaan sendiri, “ kata Sheqal.
“Setiap orang ada takrifan kejayaan yang berbeza. Bagi saya ia mengenai mencapai impian saya dan ia suatu kepuasan peribadi untuk saya.
“Dalam setiap perniagaan, pasti ada pasang-surutnya, perkara yang penting bagi saya adalah untuk berfikiran positif, selalu bersiap-sedia untuk semua jenis keadaan, jangan mudah menyerah kerana jalan menuju kejayaan penuh dengan rintangan,“ kongsi Sheqal lagi.
“Setiap rintangan yang dihadapi akan membina perwatakan, nilai hidup kita,” katanya menutup wawancara dengan BERITA Mediacorp.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.