Skip to main content

Nadi Kampus

Shaikh Abdullah cemerlang dalam pelajaran, wakili negara di pentas dunia dalam Taekwondo, Tinju Tendang

Anggaran Waktu Membaca:
Shaikh Abdullah cemerlang dalam pelajaran, wakili negara di pentas dunia dalam Taekwondo, Tinju Tendang
(Gambar: Shaikh Abdullah)
Diterbitkan : 08 Jan 2026 09:11PM
SINGAPURA: Minatnya terhadap filem 'Karate Kid' pada usianya masih kecil telah mendorong Shaikh Abdullah Mohamed Rafi untuk memilih Taekwondo sebagai sukan pilihannya.

Shaikh mula melibatkan diri dalam sukan seawal usia enam tahun selepas mengalami masalah semput sejak kecil. Nasihat doktor agar beliau aktif bersukan menjadi titik permulaan kepada perjalanannya dalam dunia seni mempertahankan diri.

"Saya bermula dalam sukan itu kerana bila saya budak kecil, saya sentiasa ada semput. Jadi doktor saya menasihatkan untuk saya bermula dengan bermain sukan," kongsi Shaikh.

"Saya memilih sukan taekwondo kerana saya suka dengan filem 'Karate Kid' dan apabila saya masuk ke Politeknik Nanyang, saya juga bermain Sukan Tinju Tendang," tambahnya lagi.
Related article image
(Gambar: Shaikh Abdullah)
Daripada sekadar hobi, Shaikh kini muncul sebagai atlet negara yang mengharumkan nama Singapura di persada antarabangsa.

Graduan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan ini telah mewakili negara dalam beberapa kejohanan Taekwondo dan Tinju Tendang di luar negara.

"Saya telah mengambil bahagian dalam banyak pertandingan tempatan dalam taekwondo, dan saya telah memenangi beberapa pingat emas dalam pertandingan tempatan. Bagi sukan tinju tendang pula, saya mula lebih aktif bertanding semasa di universiti," kata Shaikh.

Usaha dan dedikasinya membuahkan hasil apabila beliau berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia.
Related article image
(Gambar: Shaikh Abdullah)
"Pada tahun 2024, saya telah menyertai kejohanan India Open dan berjaya memenangi dua pingat emas. Selepas itu, saya bertanding dalam Piala Dunia Uzbekistan dan berjaya merangkul satu pingat perak serta satu pingat gangsa," kata beliau.

"Tahun ini pula, saya menyertai Piala Dunia Thailand dan berjaya memenangi pingat gangsa," tambahnya lagi.

Menurutnya, tahap persaingan antarabangsa jauh lebih mencabar berbanding kejohanan tempatan, dengan atlet yang lebih berpengalaman, pantas dan berfizikal besar.

"Tahap persaingan di sana sangat berbeza berbanding standard pertandingan tempatan. Atlet-atlet yang bertanding di sana lebih pantas, bertubuh lebih besar dan mempunyai pengalaman yang lebih luas," kata Shaikh.

"Oleh itu, ia menjadi satu cabaran untuk saya bersaing di peringkat tersebut kerana saya tidak mempunyai banyak pengalaman dalam sukan tinju tendang sebelum ini, memandangkan saya bermula dengan taekwondo," katanya lagi.
Related article image
(Gambar: Shaikh Abdullah)
Walau bagaimanapun, kepercayaan terhadap jurulatih serta disiplin latihan yang konsisten membantunya mengatasi kekurangan pengalaman dalam tinju tendang.

Walaupun tidak berpeluang menyertai Sukan SEA tahun ini kerana acara yang disertainya tidak dipertandingkan, Shaikh masih menyimpan harapan untuk mewakili negara pada edisi akan datang.

"Tahun ini saya tidak berpeluang untuk menyertai Sukan SEA kerana sukan Tinju Tendang tidak dipertandingkan," kata Shaikh.

"Jika ada peluang untuk saya bertanding pada masa hadapan, saya akan mengambilnya. Dan jika masih ada harapan, mungkin saya akan beri diri saya satu lagi peluang untuk cuba menyertai Sukan SEA yang seterusnya," tambahnya lagi.

Ketika ini, Shaikh merupakan anggota pasukan taekwondo SUSS dan menjalani latihan Tinju Tendang bersama pasukan kebangsaan di bawah naungan Persekutuan Tinju Singapura serta Sutari Martial Arts.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita