Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Sendok Rakyat giat kembangkan inisiatif lestari warisan makanan Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sukar untuk kenal anak-anak muda hari ini yang pernah makan ulam-ulaman. Sebut saja petai, jering dan ulam raja, mereka pastinya tersipu-sipu menolak daripada mencuba ulam-ulaman itu gara-gara rasanya yang diketahui pahit dan baunya yang tidak begitu menyenangkan.

Namun kata orang, tak kenal maka tak cinta.

Sebenarnya, daripada sepinggan sajian Nasi Ulam - yang merangkumi nasi putih disertakan ulam-ulaman sedemikian - pelbagai sejarah dan tradisi masyarakat nenek moyang kita dapat dirungkai dan disusuri.

Inilah antara yang ingin disampaikan Anugerah Murni Mohd Sabta dan Aqid Aiman Azam menerusi inisiatif kendalian mereka, Sendok Rakyat.
Anugerah Murni Mohd Sabta (kiri) dan Aqid Aiman Azam (kanan). (Gambar: Afiqah Hussain/BERITA Mediacorp)
Sendok Rakyat bermula pada pada lewat 2022, sekadar berkongsi sajian tradisional Melayu, masakan Cik Murni sendiri daripada resipi turun-temurun keluarganya, di samping penerokaan mereka terhadap tradisi masakan Melayu.

Antara hidangan tradisional Melayu yang pernah beliau kongsi termasuk budu, lauk Lemak Jantung Pisang dan Celok.
“Bila saya kongsi tentang lauk Celok saya, orang macam, "Mak saya pun suka pandai masak celok". (Makan) bila sakit, ia merupakan (sajian yang) sedap, pedas, panas, masam untuk dimakan. Dengan itu, ramai berhubung melalui demikian. Bukan saja orang Melayu kita, orang (bangsa) Cina ada, orang (bangsa) India pun ada,” kongsi Cik Murni, 26 tahun, yang mempunyai keturunan Bawean dan orang Pulau.

Setiap kandungan yang dimuat naik di Sendok Rakyat menerima sambutan baik bukan sahaja daripada penduduk Singapura yang berbangsa Melayu, bahkan mereka yang berbangsa lain mahupun dari seberang tambak. Ini memandangkan perkongsian sajian tradisional Melayu tersebut rata-rata membuat ramai mengimbau nostalgia memakan hidangan yang sama, iaitu santapan yang disediakan nenek moyang mereka seketika dahulu, tidak kira apa jua latar belakang mereka sekalipun.

“Bila kami mula, kami tidak fikir pasal orang muda minat ke tak. Ia hanya didorong oleh minat kami. Tapi bila kami dah mula, kami sebenarnya terkejut. Sangat gembira melihat, yang minat adalah (mereka yang) sebaya, semuda seperti kami,” ujar Encik Aqid, 31 tahun, dengan nada gembira.

Berbekal dengan semangat yang diterima daripada sambutan memberangsangkan itu, Encik Aqid dan Cik Murni mengorak langkah untuk mengembangkan inisiatif Sendok Rakyat, dengan mengadakan penjualan makanan tradisional masakannya serta menganjurkan bengkel.
Gambar: Sendok Rakyat
“Kalau kami nak kongsi dengan orang tentang masakan Melayu, kami tahu Instagram, laman sosial, gambar, semua tak cukup. Kami tidak mahu menjadi sekadar buku bimbingan, buku resipi. Kami benar-benar mahu mempengaruhi orang, untuk cintai apa yang kita ada,” luah pasangan itu.

Sejauh ini, Sendok Rakyat telah membuka “warong” mereka sebanyak tiga kali untuk menerima tempahan bagi juadah “Lemak Jantung Pisang” dan “Nasi Ulam” mereka.

Selain itu, mereka sudahpun mengendalikan sebanyak tiga bengkel yang berkonsepkan “hands-on” atau praktikal, yang khususnya bertujuan untuk memperkenalkan orang ramai kepada sajian “Nasi Ulam”, daripada cara mempersiapkan juadah itu kepada sejarah di sebalik hidangan tersebut.

Pengendalian bengkel sedemikian, dirancang diperluaskan lagi oleh Sendok Rakyat dalam masa akan datang.

SEBAB NASI ULAM JADI WADAH PERKENAL TRADISI MAKANAN MELAYU DALAM BENGKEL SENDOK RAKYAT

Orang-orang lama hidup dengan seadanya dan begitu sederhana. Santapan harian mereka yang cukup ringkas, jelas mencerminkan cara hidup mereka sedemikian rupa. Meja makan mereka seringkali dipenuhi dengan hasil tanaman dan ternakan sendiri.

Jadi, bagaimana caranya untuk berkongsi gambaran kehidupan sedemikian, kepada orang ramai dewasa ini?

Bagi Sendok Rakyat, Nasi Ulam dianggap sesuai untuk dijadikan wadah untuk memperkenalkan warisan makanan Melayu kepada orang ramai, menerusi bengkel anjuran mereka.
Gambar: Sendok Rakyat
Gambar: Sendok Rakyat
“Nasi Ulam sangat sesuai untuk menyorot kisah bagaimana orang Melayu tinggal secara ekologi, dalam sesuatu persekitaran. (Mereka) hidup dengan sumber yang ada. Anda ambil yang sedia ada. Apa yang boleh diakses,” jelas Encik Aqid.

Sungguhpun cara mempersiapkan hidangan Nasi Ulam tidak memerlukan sebarang bahan dikisar ataupun tumisan, ia bukanlah mudah.

Para peserta bengkel anjuran Sendok Rakyat, dapat menyusuri jerih payah serta mengalami sendiri ketelitian yang diperlukan untuk menyiapkan hidangan Nasi Ulam.
Gambar: Sendok Rakyat
“Perkara yang selalu penting, mengapa kami gemar Nasi Ulam, ialah kerana anda perlu kerja keras untuk hiris, nak potong, campur. Ia memerlukan masa. Ia memerlukan usaha, untuk capai tahap yang diterima untuk (dihidangkan) kepada orang. Sekalipun tak menjadi, yang penting, (peserta bengkel) dapat rasa kesusahan dan usaha untuk membuat Nasi Ulam,” kata Encik Aqid, yang bertugas sepenuh masa sebagai penganjur acara dalam arena seni tempatan.
Gambar: Sendok Rakyat
Sehingga 15 jenis ulam biasanya disediakan bagi para peserta untuk meninjau dan mendalami sepanjang sesi bengkel, kendalian Sendok Rakyat itu. Selain peluang untuk cuba menggabungkan aneka jenis ulam-ulaman dalam hidangan Nasi Ulam masing-masing, mereka juga dapat mempelajari lebih lanjut tentang khasiat setiap ulam tersebut dan sekali gus lebih memahami sebab ia merupakan pelengkap penting santapan harian nenek moyang.

Ditanya di manakah mereka sering mendapatkan ulam-ulaman tersebut, Cik Murni berkata ia sebahagian besarnya didapatkan dari Pasar Tekka. Beliau menambah bahawa sebenarnya, tidak sukar untuk mendapatkan ulam-ulaman di sini sekalipun pilihannya tidak begitu banyak seperti di seberang tambak.
Gambar: Sendok Rakyat
“Ia berbaloi untuk lihat (para peserta bengkel kami) meninjau (ulam-ulaman itu) dan bertanya. "Eh, apa ni?" "Ini ada di pasar." "Ini ada di pasar?" "Ia boleh didapati di negara kita,” ujar Cik Murni, yang bertugas sebagai penganalisis sokongan IT di sebuah firma guaman tempatan.
“PERSOAL KEASLIAN TIDAK PENTING”: SENDOK RAKYAT TEKAD TERUS ‘CEDOK’, LESTARIKAN WARISAN MAKANAN MELAYU

Dengan kerencaman budaya diselangi pengadunan unsur moden sejajar dengan peredaran zaman, tidak hairanlah jika terdapat segelintir yang cenderung untuk mempersoalkan keaslian mana-mana sajian, yang dikatakan merupakan hidangan tradisional.

Ditanya apakah pendekatan yang diambil Sendok Rakyat dalam menangani hal tersebut, Encik Aqid berkata: “Orang cakap, “Oh ini bukan asli.” Ia tidak penting. Orang makan macam itu. Kehidupan sebegitu. Ada yang nikmatinya. Apabila anda susuri kisah bagaimana makanan Melayu berkembang di Singapura. (Ibarat) setiap kampung, ada resipi lain.”

Menggelar diri mereka sebagai “pendukung seni”, Sendok Rakyat merancang untuk terus memperluaskan inisiatif mereka, antaranya dengan menganjurkan lebih banyak bengkel dalam masa akan datang, dalam usaha mereka terus mendalami serta melestarikan warisan makanan tradisional Melayu.

Sempena Pesta Penulis Singapura, Sendok Rakyat bakal mengadakan sebuah bengkel berjudul “The Family’s Secret Recipe - Nasi Ulam” (Resipi Rahsia Keluarga - Nasi Ulam), khususnya bagi kanak-kanak dalam lingkungan usia tiga hingga enam tahun, pada Sabtu (16 Nov).
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan